Rosdzaman Dato’ Mohd Yusop
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata satu usul untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta mereka akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 1hb Julai ini.
Saya mengau-alukan usul tersebut dan berharap Perdana Menteri turut akan mencadangkan satu lagi usul untuk mewajibkan Petronas membentangkan urusniaga dan penyata kewangannya kepada Parlimen.
Ini adalah bagi membolehkan ahli-ahli parlimen mengetahui situasi sebenar berhubung syarikat minyak tersebut dan mengambil bahagian secara langsung dalam penetapan halatuju dan agihan dananya.
Petronas pada ketika ini bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perdana Menteri Malaysia biarpun terdapat majlis penasihat yang dipertanggungjawabkan untuk menasihati beliau dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan polisi, kepentingan dan sebagainya.
Perdana Menteri pula berhak menerima ataupun menolak nasihat tersebut dan membuat keputusan menurut budi bicara beliau tanpa perlu merujuk kepada parlimen ataupun kabinet.
Perkara ini tidak seharusnya berlaku, memandangkan Petronas sudahpun menyalurkan beratus bilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan semenjak ianya ditubuhkan bagi tujuan pembangunan dan pentadbiran negara.
Justeru, bukan hanya rakyat berhak mengetahui bagaimana dana tersebut digunakan, barisan kepimpinan kabinet dan juga ahli-ahli parliemen seharusnya dipertanggungawabkan untuk sama-sama memikul tanggungjawab menetukan halatuju syarikat tersebut serta hal-hal yang bersangkut-paut dengan polisi, kepentingan dan pengagihan dananya.
Perkara ini sebenarnya sudah lama disuarakan oleh Lim Kit Siang.
Pada 15hb Oktober 2009, beliau mempersoalkan perbelanjaan dana Petronas oleh Kerajaan Persekutuan sambil mendakwa syarikat gergasi tersebut telahpun menyalurkan setengah trilion ringgit semenjak ianya ditubuhkan pada zaman Tun Hussein Onn.
Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mempersoalkan perkara tersebut pada ketika itu sambil mendakwa, semenjak beliau bersara daripada kerajaan, Tun Abdullah Ahmad Badawi membelanjakan RM253.6 bilion duit Petronas bagi tujuan-tujuan yang tidak dapat dikenalpasti.
Anehnya, Mahathir lupa menceritakan berkenaan RM3.5 bilion yang beliau gunakan untuk menyelamatkan Bank Bumiputra, dana berbilion yang beliau salurkan kepasa MAS dan Proton bagi mengelakkan syarikat-syarikat tersebut daripada muflis, dana berpuluh bilion yang lesap menerusi projek-projek “Twin Towers” dan Putrajaya serta dana yang beliau salurkan ke Sepang yang pada ketika itu dikawal oleh anak beliau sendiri, iaitu Mokhzani Mahathir.
Kesemua ini merupakan sebahagian kecil daripada penyelewengan hampir RM200 billion dana Petronas yang berlaku di bawah zaman pentadbiran Mahathir sebelum ini.
Apapun, sebahagian besar daripada dana yang disalurkan oleh syarikat tersebut kepada Kerajaan Persekutuan sebenarnya dikawal penggunaannya oleh Minister of Finance Inc (MoF Inc) yang ditubuhkan di bawah nama Menteri Kewangan Malaysia.
Umum sedia maklum, bahawa Menteri Kewangan Malaysia pada ketika ini tak lain tak bukan Lim Guan Eng, iaitu manusia yang turut menguasai aset-aset Tabung Haji milik Melayu-Islam menerusi syarikat penggerak khas yang dikawal oleh kementerian beliau.
Sudah lama kita dengar ura-ura kononnya beliau bersama-sama dengan agen-agen beliau di dalam kementerian giat mengubah polisi hingga berlakunya pengagihan semula dana yang seharusnya ditujukan pada golongan Melayu-Islam dan Bumiputra ke cabang-cabang lain yang bukan Islam ataupun Bumiputra.
Daripada kita melayan ura-ura tersebut, adalah munasabah jika kita terus meminta Guan Eng membuat perincian bulanan di Dewan Rakyat bagaimana dana Petronas yang disalurkan kepada kementerian beliau digunakan.
Ini memandangkan Guan Eng sendiri pernah mengumumkan kepada parlimen bahawa Petronas akan membayar tambahan RM30 bilion dalam bentuk dividen khas kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pelan rangka belanjawan 2019.
Tambahan tersebut menjadikan jumlah dividen yang bakal diterima oleh Kerajaan Persekutuan tahun ini sebanyak RM54 bilion yang sebahagian besarnya sedang dan akan diaggihkan oleh Guan Eng menerusi MoF Inc.
Saya tidak kira pembentangan akaun Petronas di parlimen akan menimbulkan sebarang masalah, memandangkan ayah Guan Eng sendiri, Lim Kit Siang, sudah beberapa kali mendesak kerajaan berbuat demikian semasa menjadi ahli pembangkang ketika zaman pentadbiran Mahathir sebelum ini.
Justeru, saya menyeru kepada Kit Siang supaya tampil menyokong hujah saya ini demi memastikan apa yang diperjuangkan beliau selama ini direalisasikan oleh anak beliau sendiri.
