“Kumpulan Laskar Siber Rosmah (Rosmah Bean Army) secara tidak langsung melibatkan diri dalam propaganda di media sosial dan sedikit sebanyak menularkan berita palsu, sekaligus menimbulkan tanda tanya sekiranya wang rakyat yang diluluskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada FLOM digunakan oleh Rosmah untuk tujuan itu”
Raggie Jessy Rithaudeen
ساي چابر روسمه منصور نافي كوجودن لسكر سيبير بهارو يڠ كرجڽ سراڠ محضير، محي الدين دان زاهيد حميدي
Kalau minggu lepas, saksi pendakwaan kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor mendedahkan beliau menerima sebanyak RM100,000 setiap bulan bagi membiayai sekumpulan Laskar Siber, hari ini, saksi yang sama memberi nama tiga dari berpuluh-puluh blogger dan Laskar Facebook yang diupah oleh Rosmah.
Sebentar tadi, TTF menerbitkan semula laporan yang mendedahkan pembayaran sehingga RM5,000 keypads Papagomo, Parpukari dan The Unspinners, manakala beberapa individu dan pengendali laman Facebook turut dibayar antara RM1,500 dan RM3,000 sebulan.
Pendedahan itu dibuat oleh bekas pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor, yang berkata kumpulan Laskar Siber itu diupah untuk memantau kandungan media sosial yang kritikal terhadap Rosmah.
Sebenarnya, mereka melakukan lebih banyak dari itu.
Minggu lepas, saya menulis:
Pejabat Perdana Menteri sebenarnya mengarahkan Bahagian Wanita Pertama (First Lady Division atau FLOM) yang ditubuhkan khusus untuk nenangani hal-hal bersangkut paut dengan aktiviti Rosmah untuk mengurangkan profail Rosmah dalam media.
Sebenarnya, pendedahan ini tidaklah begitu mengejutkan, kerana ramai sudah tahu semenjak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan satu divisi khas dalam Pejabat Perdana Menteri yang dikawal secara tidak langsung oleh isterinya.
Perkara ini sememangnya aneh dan diluar batasan kuasa serta norma Pejabat Perdana Menteri, memandangkan Rosmah hanya sekadar isteri Perdana Menteri, bukannya seorang ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan atau dipilih oleh rakyat menerusi proses Pilihan Raya.
Justeru, Najib memang sah mengamalkan politik nepotisme ekstrim malah mengerahkan lagi tenaga kerajaan untuk menguruskan hal ehwal bersangkut paut isterinya, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini dalam sejarah tanah air.
Saya turut maklum berkenaan kewujudan “Laskar-laskar Siber” yang ditaja sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan penglibatan Rosmah dalam mengendalikan salah satu daripada kumpulan Laskar Siber ini (rujuk gambar).
Malah, pada ketika ini sahaja wujud sekumpulan besar Laskar Siber tajaan yang membanjiri media sosial dengan berita-berita palsu dan propaganda dan kerap dilihat mengeluarkan kata-kata menghasut bersifat “anti-Cina.”
Mereka turut dikerah untuk menyerang laman-laman Facebook penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kata-kata hina, fitnah dan hasutan yang ditujukan pada kedua-dua Mahathir dan pemilik laman-laman berkenaan.
Saya berjanji untuk mendedahkan kewujudan kumpulan Laskar Siber tajaan yang baharu itu tetapi menunggu pendedahan lanjut dari Rizal sebelum berbuat demikian.
Sebenarnya, kumpulan yang ditaja oleh Rosmah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 bukan hanya sekadar memantau kandungan media sosial bagi mempertahankan Rosmah, tetapi turut memainkan propaganda bagi menangkis serangan pelbagai pihak terhadap Najib berhubung skandal 1MDB.
Malah, beberapa individu dari kumpulan itu turut terlibat dengan serangan terhadap ‘musuh’ Najib, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abu Kassim dan Tan Sri Abdul Gani Patail yang kesemuanya digugurkan dari jawatan masing-masing kerana membantu bongkarkan skandal 1MDB.
Jadi kumpulan Laskar Siber Rosmah (Rosmah Bean Army) secara tidak langsung melibatkan diri dalam propaganda di media sosial dan sedikit sebanyak menularkan berita palsu, sekaligus menimbulkan tanda tanya sekiranya wang rakyat yang diluluskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada FLOM digunakan oleh Rosmah untuk tujuan itu.
Ya, wang rakyat.
Apakah Rosmah tidak tahu apa yang dilakukan oleh kumpulan Laskarnya sendiri, atau adakah Rosmah sendiri mengarahkan kumpulan Laskarnya untuk menyebarkan propaganda dan berita palsu?
Saya mencabar Rosmah untuk menjawab semua soalan saya dan menyangkal segala dakwaan yang dibuat di atas atau segera memulakan tindakan perundangan terhadap saya jika mana-mana dakwaan saya berunsur fitnah.
Saya turut mencabar Rosmah untuk menafikan kewujudan satu kumpulan Laskar Siber tajaan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang melibatkan jauh lebih ramai blogger, aktivis dan Laskar Facebook.
Kumpulan baharu ini antaralain menyerang kredibiliti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Muhyiddin dalam satu konspirasi terhadap Najib yang sememangnya tidak wujud.
Saya cabar Rosmah menafikan penglibatan beliau dengan kumpulan baharu ini yang diterajui oleh beberapa individu berkepentingan, antaranya, seorang bekas ahli UMNO yang dipecat atas sebab-sebab tertentu.
Akhir sekali, saya mencabar Rizal untuk mendedahkan banyak mana dana RM100,000 dari PMO itu yang ‘dimakannya’ sendiri dan banyak mana yang benar-benar digunakan untuk membayar Laskar Siber Rosmah (Rosmah Bean Army)
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
