Saya diberitahu pegawai kerajaan bahawa saya dan Ayahanda saya sedang diperhatikan

Mejar Jeneral Tunku Ismail

Baru-baru ini saya telah dihampiri oleh seorang individu untuk membeli sebuah peralatan, yang mana ia juga dimiliki oleh kerajaan. Alat buatan Israel ini digunakan untuk pengintipan serta mengumpul data.

Teknologi ini juga telah digunapakai sebelum pilihanraya untuk membantu dalam perang siber.

Beberapa orang pegawai kerajaan telah berjumpa dengan saya dengan menyatakan bahawa SPRM, Unit Khas, SKMM dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini. Bila ia berkaitan dengan keselamatan negara, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang sangat berharga. Namun, peralatan ini tidak patut diseleweng oleh mana mana pihak untuk kepentingan sendiri.

Saya tahu ia digunapakai oleh kerajaan dahulu, tetapi tidak sepatutnya berlaku di zaman Malaysia Baru – tiada tempat untuk pengamalan sebegini kini.

Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang telah menyampaikan pesan bahawa saya dan Ayahanda saya, DYMM Sultan Johor sedang diperhatikan. Ramai juga “cybertroopers” diletakkan pada halaman JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan.

Ya, saya memang vokal tetapi ianya lahir dari rasa kasih sayang dan tanggungjawab saya kepada negeri Johor serta rakyatnya.

Saya tidak akan berdiam diri jika ada beberapa parti yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor yang unik ini.

Biar saya jelaskan sekali lagi bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan. Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah. Dengan itu, kami akan menyokong segala keputusan yang betul. Namun kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah.

Akhir kata, satu-satunya perkara yang rakyat mahukan adalah kerajaan mengutamakan kemajuan, bukannya bertelagah di dalam negara. Saya berdoa semoga kerajaan menepati janji janji kepada rakyat. Allah Peliharakan Sultan.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Comments

Comments

Comments

Comments