
Raggie Jessy Rithaudeen
Malaysiakini menulis (komen saya di bawah):
PAS perlu mempertimbangkan langkah politik yang lebih matang dengan menyertai Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan masa depan negara, kata Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq.
Gesaan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan terbuka yang semakin memuncak antara dua parti utama Perikatan Nasional (PN), iaitu PAS dan Bersatu, yang kini dilihat kian meruncing.
“Krisis dalaman yang melanda gabungan pembangkang itu memberi isyarat jelas bahawa masa depan negara tidak boleh dipertaruhkan di tangan gabungan yang ‘rapuh dan saling mencurigai.’
“Kemelut terbaru yang digelar sebagai ‘Langkah Perlis’ sebagai bukti bahawa Bersatu lebih mengutamakan agenda kuasa berbanding semangat setiakawan dalam gabungan tersebut.
“Langkah yang cuba dikatakan Bersatu sebagai ‘luka kecil’ itu jelas memperlihatkan politik sempit parti bunga raya tersebut yang lebih tergoda dengan ketamakan kuasa,” katanya pada satu kenyataan media.
Komen saya
Saya setuju sepenuhnya dengan cadangan ini, malah inilah yang cuba saya sampaikan kepada PAS selama ini.
PAS sebenarnya tidak puas hati dengan Muhyiddin dari awal lagi apabila Muhyiddin tidak menerima Titah cadangan Al-Sultan Abdullah agar PN sertai Kerajaan Perpaduan.
Barangkali Muhyiddin tidak setuju sebab tidak dapat jadi perdana menteri, dan alasan kononnya PN tidak boleh bersama kerajaan ‘sebab DAP adalah alasan sesat yang tidak masuk akal.’
Sebabnya, jika PN sertai kerajaan perpaduan, blok Melayu-Islam sahaja (merangkumi MP Melayu dari Umno, PAS, Bersatu, PKR dan Amanah) sudah membentuk majoriti yang cukup selesa.
Ini merupakan penyatuan kepimpinan Melayu-Islam menyeluruh dalam ertikata sebenar dan tidak pernah terjadi dalam sejarah negara.
Yang menarik, penyatuan ini akan berserta kuasa dan membolehkan blok kepimpinan Melayu-Islam menjamin kemartaban Agama, Bangsa dan Raja sentiasa terpelihara, malah diperkasalkan lagi sejajar dengan prinsip perjuangan yang di laung-laungkan oleh PAS selama ini.
Jika Muhyiddin kata DAP masih lagi ancaman sekalipun penyatuan menyeluruh ini tercapai, ianya seolah-olah beliau mengaku bahawa orang Melayu ni lemah, di mana penyatuan menyeluruh sekalipun tidak boleh lindungi Melayu-Islam dari ‘ancaman’ entah apa DAP.
Inilah contoh paling jelas bagaimana PN menjadikan DAP ‘bogeyman’ untuk mencapai matlamat politik sempit mereka, yang pada saya, jelas dipacu kemaruk kuasa dan kedudukan.
Dari luar kerajaan, mereka laung-laungkan “penyatuan Melayu-Islam,” walhal, merekalah yang menolak penyatuan menyeluruh selepas pru15 atas alasan “DAP,” sekaligus mengaku, secara tidak langsung, bahawa Melayu “bersatu macam mana pun tak guna, sebab Melayu ni lemah.”
Dan dalam pada mereka laung-laungkan “penyatuan Melayu-Islam,” merekalah yang sedang bercakaran, tikam menikam dan pijak memijak satu sama lain sehingga PN kini sudahpun pecah, cuma belum diumumkan sahaja.
PAS perlu berhenti menipu penta’asub dan menjaja perjuangan “penyatuan Melayu-Islam” yang terang-terang satu rekaan politik yang menyesatkan.
Jika benar PAS ikhlas mahukan penyatuan, buktikan dengan sertai kerajaan perpaduan, sekaligus memperbetulkan kesilapan Muhyiddin sejurus selepas pru15.
