“Jika Yang di-Pertuan Agong tidak berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku, maka Seri Paduka Baginda Tuanku berhak di sisi Perlembagaan Persekutuan untuk menolak permintaan Perdana Menteri yang menasihatinya untuk mengisytiharkan Darurat”
Raggie Jessy Rithaudeen
Kenyataan ringkas dari pihak saya ini adalah untuk memberi amaran sekeras-keras yang mungkin terhadap Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, kerana memutar-belit fakta berhubung kuasa-kuasa Yang Di-Pertuan Agong dalam hal pengisytiharan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Tuanku.
Dalam satu kenyataan, Rais membangkitkan Perkara 40 dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai asas untuk mempersoalkan tindakan Yang Di-Pertuan Agong menolak permintaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.
Menerusi ciapan di akaun Twitter, Rais turut mempersoalkan mengapa Peguam Negara tidak bersuara atas dakwaan pelanggaran Perkara 40 berhubung tugas Yang di-Pertuan Agong.
“Kenapa peguam negara tidak menimbulkan (isu) bahawa peruntukan mandatori Perkara 40 telah diketepikan?
“Ini kan tonggak Raja Berperlembagaan?” kata Rais.
Di sini, saya ingin menjelaskan sejelas-jelas yang mungkin, bahawa Yang Di-Pertuan Agong memiliki hak berperlembagaan untuk menolak sebarang nasihat daripada Perdana Menteri berhubung pengisytiharan Darurat.
Ketahuilah, walaupun Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri, perkara ini tertakluk kepada sebarang peruntukan perlembagaan lain yang memungkinkan Seri Paduka Baginda Tuanku menolak nasihat Perdana Menteri.
Ini termasuklah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan Proklamasi Darurat sekiranya Seri Paduka Baginda Tuanku berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.
Justeru, jika Yang di-Pertuan Agong tidak berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku, maka Seri Paduka Baginda Tuanku berhak di sisi Perlembagaan Persekutuan untuk menolak permintaan Perdana Menteri yang menasihatinya untuk mengisytiharkan Darurat.
Saya dengan ini menuntut agar Tan Sri Rais Yatim memohon maaf secara terbuka kepada Yang Di-Pertuan Agong kerana menghina Seri Paduka Baginda Tuanku dan Institusi Diraja serta memohon maaf juga kepada rakyat Malaysia kerana menjaja Perlembagaan Persekutuan dengan cara yang menghina undang-undang tertinggi negara itu hingga mengelirukan rakyat.
Sekian
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
