
“Raja-Raja Melayu ingin melihat samada Tan Sri Muhyiddin Yassin mematuhi ‘arahan’ untuk parlimen bersidang segera dan melihat jika kerajaan mampu mempertahankan Pelan Pemulihan Negara apabila pelan ini dibahaskan”
Raggie Jessy Rithaudeen
سبب راج-راج ملايو تيدق مينتا ضرورت دتامتكن سرتا-مرتا، نصيب محي الدين سلڤس بولن اين
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Ramai yang tertanya-tanya kenapa Raja-Raja Melayu tidak mencadangkan agar Darurat ditamatkan serta-merta jika benar Duli-Duli Yang Maha Mulia sedar bahawa Darurat telah gagal dan tidak perlu dilanjutkan selepas 1hb Ogos 2021.
Ada juga yang bertanya samada benar Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan bila parlimen harus bersidang di bawah tempoh Darurat ini dan kenapa Seri Paduka Baginda Tuanku tidak menetapkan tarikh persidangan.
Justeru, saya mengambil keputusan untuk merungkai perkara ini dan perkara-perkara lain yang berbangkit, termasuk nasib kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdasarkan pemahaman saya sendiri dan setelah mendapatkan pandangan daripada beberapa pakar perundangan dan perlembagaan.
Berikut rungkaian saya:
1. Agong memiliki kuasa mutlak di bawah Darurat ini untuk menentukan bila parlimen perlu bersidang
Yang Di-Pertuan Agong secara sah mempunyai kuasa mutlak di bawah Darurat yang dikuatkuasakan pada 12hb Januari 2021 untuk memanggil parlimen bersidang dan menentukan bila parlimen harus bersidang.
Kuasa ini dipersetujui oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menerusi penggubalan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang dimasyurkan oleh Yang Di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Seksyen 14 (1B), bagi tempoh Darurat berkuatkuasa, Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Tidak ada rujukan atau seksyen-seksyen lain dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang perlu dibaca bersama yang membawa maksud kuasa Yang Di-Pertuan Agong sepertimana yang ditetapkan bawah Seksyen 14 (1B) tertakluk kepada nasihat daripada Perdana Menteri.
Justeru, selagi Darurat berkuatkuasa, Yang Di-Pertuan Agong tidak perlu menunggu sehingga dinasihatkan oleh Perdana Menteri untuk memanggil sidang parlimen dan boleh menentukan sendiri bila masa yang paling sesuai untuk parlimen bersidang.
2. Apakah maksud di sebalik Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu?
Raja-Raja Melayu memulakan satu siri perbincangan yang amat tertib, bermula di peringkat negeri, dengan memanggil pakar-pakar dari agensi-agensi berkaitan dan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat bagi mendapatkan maklum balas berhubung situasi terkini membabitkan pentadbiran negeri.
Ini disusuli dengan satu siri pertemuan melibatkan Yang Di-Pertuan Agong dan 18 pemimpin parti politik dan juga pertemuan Seri Paduka Baginda Tuanku dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Selepas pertemuan-pertemuan ini, Yang Di-Pertuan Agong mengadakan satu perbincangan khas selama hampir lima jam dengan Raja-Raja Melayu yang sependapat bahawa parlimen perlu segera bersidang dan tidak ada perlunya Darurat dilanjutkan melangkaui 1hb Ogos 2021.
Berdasarkan tertib dan susunan pertemuan-pertemuan ini dan jangka masa yang terlibat, dan memandangkan nada kesefahaman yang dicapai menerusi perbincangan khas raja-raja Melayu sama dengan nada pelbagai pihak berhubung kegagalan kerajaan, dapat dirumuskan bahawa Raja-Raja Melayu merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
3. Apakah tanda-tanda Raja-Raja Melayu merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Dalam banyak-banyak kesefahaman yang tercapai, Raja-Raja Melayu mengambil maklum angka harian Covid-19 yang besar meskipun dalam pemerintahan Darurat, keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan, suasana politik yang tidak stabil, perpaduan rakyat yang makin retak dan masalah-masalah lain yang dihadapi rakyat, termasuk mereka yang hilang pendapatan.
Raja-Raja Melayu turut mengambil maklum dan bersetuju bahawa program vaksinasi perlu dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi, sejajar dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan perlu mengambil pendekatan “suntik dulu, daftar kemudian” dan membawa vaksin kepada rakyat.
Paling menarik ialah kata sepakat Raja-Raja Melayu berhubung perlunya Proklamasi Darurat ditamatkan selepas 1hb Ogos dan perlunya parlimen segera bersidang, menandakan Raja-Raja Melayu sedar Darurat gagal menangani wabak Covid-19 dan perlunya penglibatan wakil-wakil rakyat pembangkang dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan.
Kata-kata sepakat ini mencadangkan:
1. Raja-Raja Melayu sedar ada yang tidak kena dalam pentadbiran persekutuan dari sudut politik, sosial, kesihatan, ekonomi dan kewangan dan sependapat bahawa Dewan Rakyat perlu segera membahaskan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Muhyiddin.
2. Raja-Raja Melayu sedar bahawa persidangan Dewan Rakyat akan membenarkan ahli-ahli parlimen selain daripada ahli-ahli parlimen blok kerajaan untuk membahaskan pelbagai isu berbangkit, antaranya, perbelanjaan kerajaan di bawah Darurat dan monopoli pembelian dan pengagihan vaksin.
3. Raja-Raja Melayu ingin isu-isu ini dibahaskan, malah ingin perbahasan ini dilakukan segera bagi membenarkan proses semak imbang dilakukan, sekaligus mencadangkan Raja-Raja Melayu merasakan ada yang tidak kena dengan keputusan-keputusan kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
4. Raja-Raja Melayu tidak ingin Darurat ditafsirkan atau digunakan sebagai “perisai politik” sepertimana yang didakwa oleh pelbagai pihak.
5. Raja-Raja Melayu tahu isu keabsahan kerajaan akan timbul semula jika parlimen bersidang tetapi tetap ingin parlimen bersidang semula.
6. Jika perkara (5) dinilai bersama kesefahaman yang dicapai oleh Raja-Raja Melayu berhubung masalah-masalah politik, sosial, kesihatan, ekonomi dan kewangan yang wujud, ianya petanda paling jelas Raja-Raja Melayu sedar kerajaan masakini telah gagal.
4. Jadi kenapakah Raja-Raja Melayu tidak tamatkan sahaja Darurat?
Raja-Raja Melayu akan bersidang semula secara rasmi pada 30hb Jun ini.
Jika Yang Di-Pertuan Agong memilih untuk menamatkan Darurat berkuat kuasa serta merta, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang dimasyurkan oleh Yang Di-Pertuan Agong akan terbatal bersama.
Ini bermakna, Seksyen 14 (1B) yang memberi kuasa mutlak kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong tanpa perlu nasihat Perdana Menteri tidak akan terpakai lagi.
Memandangkan Raja-Raja Melayu sependapat bahawa Darurat telah gagal menangani penularan wabak Covid-19 tetapi rela menunggu sehingga 1hb Ogos 2021 sebelum tamat Darurat, berkemungkinan besar tempoh ini adalah bagi memberi ruang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan apa yang patut sebelum Raja-Raja Melayu memutuskan apa yang harus dilakukan pada atau selepas 30hb Jun 2021.
5 Apakah yang harus dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Letak jawatan atau beri notis bagi persidangan parlimen dalam tempoh Darurat.
Ini pendapat saya.
6 Kenapa perlu sidang parlimen dalam tempoh Darurat?
Penggunaan istilah “secepat mungkin” oleh Yang Di-Pertuan Agong apabila meminta parlimen bersidang berkemungkinan besar bermaksud Seri Paduka Baginda Tuanku mengharapkan Muhyiddin memulakan, dengan kadar segera, prosedur yang diperlukan untuk membolehkan parlimen bersidang.
Ini menjadi nyata apabila kita melihat, bahawa salah satu sebab utama Raja-Raja Melayu bersetuju diadakan segera sidang parlimen adalah untuk membenarkan ahli-ahli Parlimen membahaskan “Pelan Pemulihan Negara” yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pelan inilah Muhyiddin menyatakan komitmennya untuk mengadakan sidang parlimen pada bulan September atau Oktober, sekaligus bermakna Yang Di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan tarikh tersebut dan mahu parlimen bersidang lebih awal.
Jika dikaji bersama titah Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini bahawa tidak ada halangan bagi parlimen bersidang di bawah Darurat, amat jelas bahawa Raja-Raja Melayu mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan notis untuk membolehkan persidangan parlimen diadakan sebelum tamat Darurat.
7. Apakah sebabnya Raja-Raja Melayu ingin parlimen bersidang sebelum tamat Darurat?
Untuk melihat samada Tan Sri Muhyiddin Yassin mematuhi ‘arahan’ untuk parlimen bersidang segera dan melihat jika kerajaan mampu mempertahankan Pelan Pemulihan Negara apabila dibahaskan.
8. Bagaimana jika parlimen bersidang tetapi Pelan Pemulihan Negara gagal dipertahankan?
Jika kerajaan gagal mempertahankan Pelan Pemulihan Negara di parlimen sebelum tamat Darurat, berkemungkinan besar akan ada perlanjutan Darurat di bawah Perdana Menteri baharu atau penubuhan Majlis Pemulihan Negara bersemangatkan Mageran sepertimana yang diusulkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perkara yang sama mungkin terjadi jika Tan Sri Muhyiddin Yassin TIDAK MEMATUHI ‘arahan’ untuk parlimen bersidang segera atau jika ada tanda-tanda Pelan Pemulihan Negara yang diusulkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mampu dibahaskan sebelum tamat Darurat.
9. Adakah ini sebabnya Yang Di-Pertuan Agong tidak menetapkan tarikh sidang parlimen.
Saya jangkakan begitu.
Lagi pun, Raja-Raja Melayu berada di atas politik dan seeloknya tidak mencampuri secara langsung urusan eksekutif walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian di bawah Darurat ini.
Saya lihat, Raja-Raja Melayu sedang bersantun dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara halus sambil bertegas, menerusi persefahaman yang dicapai, bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah gagal dan perlu ada perubahan.
WAJIB BACA:
