Sebab sebenar Mahathir melantik Mukhriz sebagai presiden parti baharu

“Dakwaan kononnya “Mahathir ingin menjadikan Mukhriz Perdana Menteri Malaysia” merupakan propaganda yang ditimbulkan oleh sel-sel media tertentu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Saya tahu, kerana pada ketika itu, saya pernah terlibat secara tidak langsung dengan sel-sel media berkenaan dan diberitahu berhubung propaganda tersebut sebelum ianya ditimbulkan. Ianya rekaan semata-mata”

Raggie Jessy Rithaudeen

سبب سبنر محضير ملنتيق مخريز سباڬاي ڤريسيدن ڤرتي بهارو

Semalam, saya diminta oleh seorang wakil dari sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang terkenal untuk mengulas keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad ,menjadikan anaknya sendiri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebagai presiden parti yang baru ditubuhkannya.

Dengan izin wakil NGO tersebut, perbualan kami adalah seperti berikut (disunting bagi tujuan kejelasan):




Wakil NGO: Bukankah tindakan menamakan Mukhriz sebagai presiden parti baharu Mahathir membuktikan Mahathir ingin menjadikan Mukhriz Perdana Menteri?

Saya: Ada seribu satu penjelasan yang mungkin, mengapakah saudara memilih penjelasan itu?

Wakil NGO: Bukankah itu yang diperkatakan selama ini, bahawa Mahathir ingin jadikan Mukhriz Perdana Menteri?

Saya: Siapa yang kata, mana sumbernya?

Wakil NGO: Di media sosial.

Saya: Apakah sumber di media sosial sahih?

Wakil NGO: Semua orang tahu…

Loading...

Saya: Tahu bagaimana? Mana sumbernya?

Itulah antara intipati perbualan kami yang secara langsung menunjukkan dakwaan “Mahathir ingin menjadikan Mukhriz Perdana Menteri Malaysia” merupakan dakwaan yang dimainkan di media sosial, tidak lebih dari itu.

Apa pun, wakil NGO tersebut akhirnya mengalah dan mengaku bahawa dakwaan tersebut tidak lebih daripada satu propaganda yang tidak pernah dibuktikan kesahihannya.

Atas dasar itu, saya diminta membuat pencerahan berhubung lantikan politik atau kenalan rapat ke syarikat-syarikat berkait kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan parti-parti politik.

Dan atas dasar itulah saya membuat keputusan untuk menulis artikel ini bagi menjelaskan pendapat saya berhubung penamaan Mukhriz sebagai presiden parti baharu Mahathir dan lantikan politik atau kenalan rapat ke syarikat-syarikat berkait kerajaan dan agensi-agensi kerajaan.

Pendapat saya adalah seperti berikut:

A  TINDAKAN MELANTIK KENALAN RAPAT ATAU AHLI POLITIK KE ORGANISASI BERKAIT KERAJAAN

1. Setelah Perikatan Nasional mengambil alih tampuk kepimpinan negara, saya ditanya samada saya bersetuju dengan pelantikan politik atau kenalan rapat ke syarikat-syarikat berkait kerajaan.

2. Saya menjawab, adalah tidak salah malah menjadi satu kelaziman bagi sesebuah kerajaan baharu membuat lantikan politik atau kenalan rapat ke syarikat-syarikat berkait kerajaan dan agensi-agensi kerajaan kerana pucuk pimpinan kerajaan sudah pasti inginkan orang yang boleh dipercayai bagi menerajui syarikat-syarikat ataupun agensi-agensi kerajaan yang penting.

3. Tetapi saya turut berkata, lantikan-lantikan sebegini seharusnya terhad kepada beberapa syarikat berkait kerajaan dan agensi kerajaan yang penting agar prestasi pentadbiran persekutuan tidak terbantut akibat lantikan-lantikan yang tidak sesuai dengan kelayakan atau kemampuan pihak yang dilantik.

4. Saya turut berkata, lantikan-lantikan politik atau kenalan rapat dalam kadar yang tinggi boleh disifatkan sebagai kronisme atau nepotisme (di mana sesuai) memandangkan pihak pentadbiran persekutuan tidak memberikan peluang yang cukup kepada mereka yang lebih layak untuk menerajui syarikat-syarikat berkait kerajaan dan agensi-agensi kerajaan.

5. Saya menambah, lantikan politik dan kenalan rapat dalam kadar yang tinggi mampu menjurus kepada gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, kerana pertalian rapat pihak-pihak yang dilantik dengan pentadbiran pusat akan memudahkan kerja-kerja penafian atau penyelindungan kesalahan.

B  BAGAIMANA PULA DENGAN LANTIKAN KENALAN RAPAT ATAU SAUDARA SENDIRI KE PUCUK PIMPINAN PARTI?

6. Berbeza dengan lantikan dalam syarikat-syarikat berkait kerajaan dan agensi-agensi kerajaan, lantikan-lantikan ke pucuk pimpinan sebuah parti baharu sudah pasti akan melibatkan kenalan rapat atau orang yang mempunyai talian persaudaraan.

7. Ini kerana kesemua mereka yang terlibat dalam penubuhan sebuah parti baharu sudah pasti kenalan rapat, rakan seperjuangan dan mungkin juga mempunyai pertalian persaudaraan antara satu sama lain.

8. Justeru, “pelantikan” pucuk pimpinan sesebuah parti baharu tidak sama dengan proses “pemilihan” ke jawatan-jawatan penting dalam parti yang sudah lama wujud.

9. Apa pun, Mahathir hanya menamakan anaknya sebagai presiden parti dan ini merupakan satu sahaja lantikan dalam berpuluh-puluh lantikan yang bakal dibuat dalam masa terdekat.

10. Apakah anda mendengar Mahathir menamakan isterinya sebagai bendahari parti, cucunya sebagai setiausaha parti, anak perempuannya sebagai naib presiden parti ataupun Tok Gurunya sebagai timbalan presiden parti?

11. Tidak bukan?

12. Jadi bagaimanakah mungkin Mahathir melakukan kesilapan apabila menamakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ketua parti baharu Blok Bebas Kuasa Ketiga?

13. Jangan lupa, tanggal 14hb Januari 2017, Mahathir mengumumkan pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti tersebut yang pada ketika itu merupakan sebuah parti baharu.

14. Hakikatnya, Mahathir mempunyai opsyen menamakan anaknya sendiri sebagai presiden parti itu tetapi enggan berbuat demikian atas dasar menghargai pengorbanan rakan seperjuangannya yang dipecat dari UMNO.

15. Walaubagaimanapun, pada 28hb Mei 2020, Mahathir dipecat sebagai pengerusi PPBM oleh rakan tersebut yang dipilihnya sebagai presiden parti mengatasi anaknya sendiri yang turut dipecat dari UMNO.

16. Jadi apakah Mahathir melakukan kesalahan jika beliau melantik anaknya sendiri kali ini bagi menerajui parti terbarunya demi mengelakkan perkara yang sama berulang dan atas dasar “Mukhriz turut merupakan mangsa pemecatan UMNO?”

17. Lebih penting lagi, apakah pelantikan Mukhriz menjadi penghalang kepada mana-mana individu untuk menandinginya bagi jawatan presiden bila berlaku pilihan raya parti di masa hadapan?

C  PERBEZAAN ANTARA PARTI BAHARU MAHATHIR DAN PARTI-PARTI LAIN YANG SEDIA WUJUD

18. Jika kita kaji sejarah, kita akan dapati bahawa Mahathir merupakan satu-satunya pemimpin Melayu-Islam yang melarang anaknya sendiri daripada berkecimpung dalam dunia politik secara aktif dan menyerlah semasa beliau masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri buat kali pertama.

19. Hanya setelah beliau meletakkan jawatannya pada tahun 2003 beliau membenarkan Mukhriz bertanding bagi jawatan-jawatan utama dalam UMNO, termasuk jawatan Ketua Pemuda UMNO menentang Khairy Jamaluddin pada Pilihan Raya parti 2009.

20. Mukhriz kemudiannya diangkat menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 2013, sekaligus melakarkan namanya sebagai pemimpin nombor satu kerajaan negeri dalam pada ayahnya tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan pusat, negeri atau parti.

21. Pengalaman Mukhriz sebagai Menteri Besar selama hampir empat tahun (11 Mei 2018 – 17 Mei 2020 dan 6 Mei 2013 – 3 Febuari 2016) menjadikannya orang paling senior dan berkelayakkan dalam parti baharu Mahathir selain daripada Mahathir sendiri yang pernah menjadi Perdana Menteri.

22. Berdasarkan hujah-hujah ini, apakah salah bagi Mahathir mengangkat anaknya sendiri sebagai presiden parti atas dasar kelayakkan yang ada pada Mukhriz yang tidak ada pada ahli-ahli parti yang lain?

D  PROPAGANDA KONONNYA MAHATHIR INGIN JADIKAN MUKHRIZ PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-10

23. Saya ingin berterus terang kepada anda semua berhubung dakwaan kononnya “Mahathir ingin menjadikan Mukhriz Perdana Menteri Malaysia.”

24. Untuk makluman, dakwaan ini merupakan propaganda yang ditimbulkan oleh sel-sel media UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

25. Saya tahu, kerana pada ketika itu, saya pernah terlibat secara tidak langsung dengan sel-sel media berkenaan dan diberitahu berhubung propaganda tersebut sebelum ianya ditimbulkan.

26. Hakikatnya, kenyataan “Mahathir ingin menjadikan Mukhriz Perdana Menteri Malaysia” merupakan satu ‘keputusan’ yang dibuat oleh sel-sel media berkenaan dan tidak bersandar kepada sebarang fakta atau bukti kukuh.

27. Malah, sehingga kini, tidak ada sebarang maklumat, dokumen atau audio rasmi yang pernah disiarkan oleh mana-mana pihak bagi membuktikan kesahihan dakwaan tersebut.

28. Kesemua ini dilakukan bagi memberikan tekanan kepada Mahathir agar beliau teragak-agak menjadikan Mukhriz presiden PPBM kerana takut isu pelantikan Mukhriz dimainkan oleh UMNO di Pilihan Raya Umum ke-14.

29. Ini merupakan salah satu sebab mengapa Mahathir bersetuju menjadikan Muhyiddin sebagai presiden PPBM.

Kesimpulannya, bukan hanya dakwaan “Mahathir ingin menjadikan Mukhriz Perdana Menteri Malaysia” propaganda semata-mata, sudah tiba masanya Mukhriz dinilai berdasarkan pengalaman dan kelayakkan beliau sendiri, bukannya berdasarkan pertalian persaudaraan beliau dengan Mahathir.

Jangan lupa, pelantikan Mukhriz merupakan satu sahaja lantikan berbanding berpuluh-puluh lantikan yang dibuat oleh pihak pentadbir baru-baru ini melibatkan ahli-ahli politik dan kenalan-kenalan rapat kerajaan.

Jika pelantikan Mukhriz ke jawatan presiden sebuah parti baharu yang sememangnya melibatkan kenalan-kenalan rapat dipersoal oleh mana-mana pihak, bukankan pihak yang sama harus mempersoal kerajaan terlebih dahulu berhubung lantikan kenalan-kenalan rapat dan (atau) ahli-ahli politik ke syarikat-syarikat berkait kerajaan dan agensi-agensi kerajaan dalam kadar tertinggi di sejarah negara ini?

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...