Sebab sebenar Team A (Najib) ingin Zahid berundur (Pendedahan)

“Melihatkan kesungguhan Team A untuk cuba gulingkan Zahid, seorang dua ahli parlimen dari UMNO yang tidak bersekutu dengan Team A atau Team B mengambil kesempatan ini untuk menyokong Zahid secara tidak langsung. Ini termasuklah Nazri Aziz, yang sememangnya bersekutu dengan Anwar dari dulu lagi dan inginkan Zahid memujuk Barisan Nasional dan PAS untuk bersama PKR dan DAP dalam satu gabungan perpaduan baharu”

Raggie Jessy Rithaudeen

Tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘melepaskan’ kepada ahli-ahli parlimen UMNO samada ingin menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tidak menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi dan beberapa pemimpin UMNO.

Menurut Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Zahid perlu kembali “menginsafi” peranannya sebagai seorang ketua parti dan menentukan hala tuju parti agar wakil rakyatnya tidak membuat keputusan mahupun tindakan sesuka hati.




“Presiden perlu ada kawalan ke atas parti dan kepada wakil rakyat mewakili parti dalam kerajaan, jangan buat sesuka hati kerana mereka orang parti.

“Itu perlu ada dalam kepimpinan kita, saya harap presiden akan menginsafi balik peranan dan tanggungjawabnya.

“(Jika) betul kepimpinannya, dia (wakil rakyat) akan ikut. Jika ada yang tak ikut, kena tanya di mana salahnya,” Tajuddin dilaporkan berkata.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO seharusnya menimbang semula sokongannya terhadap Perikatan Nasional sekiranya sokongan itu lebih merugikan parti daripada membawa manfaat.

Menurutnya, sudah tiba masa bagi Zahid membuat pendirian jelas kerana janji-janji yang dibuat di Sabah berhubung pembahagian portfolio hampir dimungkiri.

” UMNO perlu memikirkan semula pendekatan politiknya. “Sekiranya Sabah menjadi asas, pengaruh dan masa depan UMNO akan terus terancam dalam jangka pendek, dan ini akhirnya akan melemahkan UMNO,” katanya.

UMNO kini berpecah kepada dua puak utama – Team A dan Team B.

Loading...

Team A diterajui oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Team B yang dahulunya diterajui oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein kini berpecah kepada dua kumpulan yang bersekutu dari segi penentangan mereka terhadap Zahid dan Najib.

Zahid pada asalnya tidak bersama Team A dan cuba berbaik-baik dengan semua atas alasan ingin mencari jalan tengah bagi menyatu-padukan UMNO.

Manakala itu, Najib dan sekutunya dari 2018 lagi mengorak pelbagai langkah untuk memberi tekanan terhadap Zahid atas desakan Datin Seri Rosmah Mansor agar Zahid berundur.

Ini didebabkan Rosmah ingin Najib kembali ke tampuk kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO, di mana perkara ini diberitahu kepada saya oleh Rosmah sendiri secara peribadi.

Walaubagaimanapun, pada penghujung 2018, Najib dan Zahid memasuki satu gencatan politik bagi membolehkan Team A menumpukan sepenuh tenaga terhadap permuafakatan dengan PAS agar Team A kekal relevan dan mampu menangkis tekanan dari Team B yang inginkan Najib dan Zahid berundur.

Zahid turut bersetuju untuk menamakan Najib sebagai “Ketua Umum UMNO” dan “Penasihat Barisan Nasional” serta mencalonkannya bagi jawatan Perdana Menteri selepas parlimen dibubarkan.

Saya difahamkan, Zahid bersetuju berbuat demikian atas keyakinan bahawa Najib akan berundur selepas satu tempoh tertentu bagi memberi laluan kepada Zahid untuk menjawat jawatan Perdana Menteri seandainya Barisan Nasional kembali berkuasa.

Walaubagaimanapun, melihatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapat Najib bersalah atas tujuh tuduhan jenayah, Zahid dikatakan beransur-ansur hilang keyakinannya terhadap kemampuan Najib kembai sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga, kumpulan Najib mula mengesyaki Zahid apabila beliau kerap berurusan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah Najib didapati bersalah.

Tindakan syak-mengesyaki ini akhirnya menjurus kepada persefahaman politik melibatkan orang-orang Anwar, Najib dan Zahid, di mana Zahid dan Najib dikatakan bersetuju melepaskan soal pencalonan Perdana Menteri kepada Anwar seandainya Barisan Nasional dan PKR berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Menurut satu versi, orang-orang Najib cuba memasuki satu perjanjian dengan Anwar secara berasingan tetapi akhirnya terpaksa akur bahawa Anwar lebih mempercayai Zahid daripada Najib.

Manakala itu, versi kedua menyatakan bahawa Zahid dan Najib sendiri bersetuju untuk bekerjasama dengan Anwar dan mengerahkan orang-orang mereka untuk mengadakan rundingan dengan presiden PKR itu.

Apa pun, kumpulan penyokong Najib dari Team A tetap mengambil kesempatan dalam pada ini dengan memberi tekanan kepada Zahid untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional.

Ini dibuat bagi memungkinkan Najib kembali sebagai presiden UMNO sebelum Team A menarik sokongannya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana Team A mengesyaki Zahid dan Anwar akhirnya akan meminggirkan Najib.

Menurut sumber dalam, kesemua ini dilakukan secara sulit dan begitu teliti agar tidak ada sesiapa mengesyaki (termasuk beberapa orang Najib sendiri) bahawa Najib bersetuju untuk berganding bahu dengan Anwar agar PKR dan Barisan Nasional mampu membentuk kerajaan baharu.

Melihatkan kesungguhan Team A untuk cuba gulingkan Zahid, seorang dua ahli parlimen dari UMNO yang tidak bersekutu dengan Team A atau Team B mengambil kesempatan ini untuk menyokong Zahid secara tidak langsung.

Ini termasuklah Nazri Aziz, yang sememangnya bersekutu dengan Anwar dari dulu lagi dan inginkan Zahid memujuk Barisan Nasional dan PAS untuk bersama PKR dan DAP dalam satu gabungan perpaduan baharu.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...