“Ingat, ahli-ahli parlimen dari UMNO lebih berdendam dengan Mahathir, bukannya Anwar. Mereka akan sanggup memasuki perjanjian sulit dengan Anwar jika perjanjian ini mampu menyelesaikan permasalahan mereka, khususnya bagi mereka yang mengalami kesempitan dan terseksa”
Raggie Jessy Rithaudeen
(سبب سبنر زاهيد تيدق ستوجو رونديڠ دڠن انور ﴿بهاڬين ساتو
Hampir kesemua ahli parlimen dan pemimpin parti-parti komponen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akur bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan tidak boleh digugat.
Justeru, terdapat usaha oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kesedaran bahawa urusan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah untuk menyelamatkan Melayu-Islam daripada era kegelapan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan DAP menjadi teramat berkuasa.
Sebenarnya, perkara ini adalah benar, kerana dari awal, misi utama adalah penyatuan ummah di peringkat kebangsaan dan negeri menerusi pembentukan gabungan perpaduan dan penyatuan baru bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.
Masalahnya, beberapa pihak dari dalam UMNO sedang cuba menimbulkan persepsi kononnya UMNO melakukan semua ini bagi menyelamatkan PPBM.
Menurut mereka, jika UMNO berdegil agar parlimen dibubarkan dan sanggup menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, Anwar akan diangkat menjadi Perdana Menteri Mei 2020 ini biar apa pun keputusan Mahathir, samada bersetuju untuk berundur ataupun tidak.
Hujah yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkenaan adalah seperti berikut:
1. Sekiranya Mahathir tidak letak jawatan Mei 2020 ini, berkemungkinan besar PPBM akan ditendang keluar dari Pakatan Harapan.
2. Sekiranya ini berlaku, Pakatan Harapan masih lagi akan kekal sebagai kerajaan memandangkan PPBM hanya memeliki 26 kerusi parlimen.
3. Ini bermakna, apabila PPBM dikeluarkan, PH masih lagi memiliki 112 kerusi, cukup untuk jadikan Anwar Perdana Menteri.
4. Dan jika Anwar menjadi Perdana Menteri, sudah pasti seorang pemimpin kanan DAP akan diangkat menjadi timbalannya kerana DAP mempunyai bilangan kerusi kedua terbesar selepas PKR.
Kesemua ini pembohongan belaka.
Ya, tidak dapat dinafikan bahawa Anwar akan melantik seorang pemimpin kanan dari DAP sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya beliau sendiri berjaya menjadi Perdana Menteri.
Tetapi kesemua hujah yang dikemukakan di atas berkisar di sekitar tiga andaian palsu, iaitu:
1. Anwar memiliki sokongan 112 ahli parlimen
2. Anwar dan DAP sanggup menunggu sehingga bulan Mei sebelum cuba menendang Mahathir keluar
3. Azmin akan kekal dalam PKR sekiranya PPBM ditendang keluar dari Pakatan Harapan.
Kita mulakan dengan andaian pertama dan ketiga – kita andaikan bahawa Anwar sememangnya memiliki sokongan 112 ahli parlimen atau lebih, dan kem Azmin akan terus kekal dalam PKR biarpun Anwar menendang PPBM keluar dari Pakatan Harapan.
Dalam sinario ini, sebaik sahaja Anwar menjadi Perdana Menteri, Muafakat Nasional akan mula alami keretakkan.
Ini memandangkan Anwar akan terus memasuki perjanjian sulit dengan pemimpin-pemimpin dari UMNO yang berhadapan dengan tuduhan jenayah, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar akan cuba melakukan ini bagi mengukuhkan majoriti beliau dan memastikan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mereput buat selama-lamanya.
Berbeza dengan Mahathir, Anwar tidak begitu berdendam dengan Zahid serta sebilangan tertentu peimpin dari UMNO yang bersekutu dengan Zahid.
Ini memandangkan Zahid merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang memberanikan dirinya menentang Mahathir secara terbuka di sisi Anwar ketika Anwar masih lagi bergelar Timbalan Perdana Menteri.
Tetapi Anwar tidak akan memaafkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Saya diberitahu, beliau mengesyaki tuduhan liwat II yang dilemparkan terhadapnya pada tahun 2008 merupakan konspirasi politik melibatkan Najib dan Mahathir.
Disebabkan ini, Anwar masih lagi berdendam dengan Najib dan Mahathir dan tidak mungkin akan memasuki perjanjian yang mampu memberi jaminan bahawa nama Najib dan sekutunya dalam UMNO akan ‘dibersihkan’.
Anwar turut sedar bahawa beliau tidak akan dapat menandingi aura Najib.
Justeru, beliau dijangka akan memastikan kes Najib berlarutan cukup lama, mungkin melangkaui Pilihan Raya Umum ke-16.
Kesemua ini menandakan masa depan Najib tidak menentu biar siapa pun yang memegang jawatan Perdana Menteri, baik Mahathir mahupun Anwar.
Zahid pula akan dijanjikan jawatan penting dalam kerajaan bersama sekutu-sekutunya dari UMNO.
Syaratnya, mereka perlu bersetuju untuk bersama Anwar dan kekal bersamanya melangkaui Pilihan Raya Umum ke-15.
Sudah pasti Zahid akan bersetuju dengan syarat ini.
Sebaik sahaja persetujuan ini dimuktamadkan, Zahid dijangka akan membawa sebilangan tertentu ahli parlimen UMNO – melebihi 26 ahli – ataupun UMNO seketul untuk bersama dengan Anwar dalam Pakatan Harapan.
Apabila PPBM mula ‘memberontak’, Anwar akan bertindak menendang keluar parti berkenaan dari Pakatan Harapan dan mengalihkan perhatiannya terhadap Najib, Mahathir dan anak-anak Mahathir.
Apa pun, DAP dan AMANAH akan bersetuju untuk bertolak ansur dengan Zahid, UMNO dan Anwar kerana:
1. DAP bencikan PAS dan ingin lihat Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang ditimpa kesusahan, sesuatu yang tidak akan saya benarkan
2. DAP bencikan Najib dan ingin lihat Najib terus seksa
3. DAP dan Anwar tidak mungkin berpaling tadah kerana tertakluk kepada perjanjian-perjanjian tertentu dengan ‘tuan-tuan’ mereka dari barat
4. Anwar lebih mempercayai Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng daripada Zahid
5. Anwar akan memerlukan DAP dan AMANAH untuk kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO bersamanya
6. Lim Kit Siang sudah lama tidak berpuas hati dengan Mahathir dan anak-anaknya, dan
7. DAP tidak mungkin dapat memasuki perjanjian dengan PAS
Hasilnya, kita akan memperolehi lebih kurang apa yang kita ada sekarang, cuma bezanya, PPBM dan UMNO akan bertukar tempat, di mana Anwar akan bergelar Perdana Menteri dan Muafakat Nasional akan digantikan dengan permuafakatan baru melibatkan PPBM dan PAS.
Tidak masuk akal? Jangan terkejut, memang ada ahli parlimen dari UMNO yang akan tergamak melakukan perkara sebegini.
Ingat, ahli-ahli parlimen dari UMNO lebih berdendam dengan Mahathir, bukannya Anwar.
Mereka akan sanggup memasuki perjanjian sulit dengan Anwar jika perjanjian ini mampu menyelesaikan permasalahan mereka, khususnya bagi mereka yang mengalami kesempitan dan terseksa.
Perkara ini sebenarnya terbukti apabila UMNO cuba memasuki perjanjian ‘pintu belakang’ dengan Anwar sebaik sahaja Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 biarpun tahu UMNO mungkin terpaksa bekerja bersama DAP.
Malah, pada ketika itu, tidak ada seorang pun ahli parlimen dari UMNO yang kesempitan disebabkan akaun mereka beku ataupun berhadapan dengan berpuluh-puluh tuduhan jenayah.
Ya, janganlah sekali-kali anda terkhilaf atau berperangai jahil sehingga sanggup percaya bahawa segala apa yang dilakukan oleh setiap satu ahli parlimen yang bergelar Melayu-Islam adalah demi permuafakatan, penyatuan dan sebagainya.
Hakikatnya, terdapat sebilangan tertentu ahli parlimen UMNO yang sempit, menghadapi pertuduhan Mahkamah dan mempunyai fail jenayah yang boleh menjurus kepada kes Mahkamah.
Mereka berada dalam keadaan terseksa dan lebih cenderung melakukan apa yang mampu menguntungkan mereka ataupun menyelamatkan tengkuk mereka sebelum memikirkan permasalahan ummah.
Sekiranya Zahid membawa majoriti ahli UMNO atau UMNO seketul untuk bersama dengan Anwar, Najib akan tetap menjadi mangsa terbesar biar apa pun yang dijanjikan oleh Anwar menerusi agen-agen beliau dalam UMNO.
Tetapi Alhamdulillah, kesemua ini tidak mungkin akan berlaku.
Sebabnya, jika Anwar benar-benar menendang PPBM keluar dari Pakatan Harapan, mustahil Azmin dan ahli-ahli parlimen PKR yang bersekutu dengannya akan terus kekal dalam gabungan tersebut.
Ini memandangkan Azmin pada ketika ini menguasai hampir dua per tiga daripada PKR dengan sokongan lebih 31 ahli parlimen dari parti berkenaan.
Sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri, saya boleh beri kepastian seratus peratus bahawa Azmin masih lagi akan mengekalkan lebih separuh daripada sokongan beliau, terdiri daripada mereka yang sedia ‘terjun’ bersamanya.
Percayalah, mereka ini tidak mungkin akan kekal dalam Pakatan Harapan – mereka tahu, Anwar akan cuba mengaibkan mereka bagi mencantas pengaruh Azmin dalam PKR.
Disebabkan ini, jika Anwar benar-benar menjadi Perdana Menteri dan menendang PPBM keluar dari Pakatan Harapan, beliau akan terus kehilangan lebih 51 kerusi Dewan Rakyat tanpa kemungkinan memasuki apa-apa perjanjian dengan PAS.
Ini akan menjadikan jumlah ahli parlimen dari Pakatan Harapan lebih kurang 61 orang sahaja.
Melainkan ahli-ahli parlimen UMNO membuat kenduri baru-baru ini dan tersilap makan ‘beras bodoh’, sudah pasti mereka dapat melihat apa yang saya lihat.
Justeru, mustahil Zahid akan bersetuju untuk membawa ahli-ahli parlimen UMNO keluar daripada Muafakat Nasional untuk bersama Anwar sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri.
Atas sebab inilah Zahid bersetuju untuk berunding dengan Mahathir.
Sekian sahaja buat ketika ini, saya akan kembali esok untuk membincangkan andaian-andaian pertama dan kedua dengan lebih lanjut.
Bersambung…
