Moustapha Abbas
Sejak kebelakangan ini, sudah timbul suara-suara yang mahukan sistem diraja di negara ini dihapuskan. Alasannya, sistem monarki sudah dianggap ketinggalan zaman dan ia sepatutnya membuka jalan kepada pembentukan negara republikan. Tetapi pada abad ke-21, masih banyak negara beraja yang tetap mengamalkannya sama ada secara mutlak atau menggunakan sistem raja berperlembagaan. Dan mereka masih memainkan peranan penting dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara, kadang-kadang impak yang diberikan bersifat luar biasa.
Jadi mengapa sistem monarki masih penting dalam dunia hari ini? Pertamanya, kewujudan sistem ini membolehkan pemerintah diraja boleh menjadi suara bebas mengatasi suara-suara politik, sesuatu di mana sesetengah ketua negara yang dilantik tidak boleh mencapainya. Bagi rakyat, raja atau ratu melambangkan sesebuah negara dan titah mereka mempunyai kesan besar kepada populasi sesebuah negara. Mereka juga dilihat simbol kepada sejarah dan kesinambungan sesebuah negara. Kalau mengikut konteks negara kita, Raja-Raja Melayu merupakan simbol kepada sejarah dan kesinambungan negara sejak beribu-ribu tahun dahulu dari era Empayar Melayu Srivijaya hinggalah zaman moden hari ini.
Kedua, jika kita melihat sejarah negara-negara di mana di dalamnya wujud pelbagai kumpulan berbeza, raja dilihat simbol kepada perpaduan dan penyatuan sesama rakyat. Thailand yang menyaksikan bukan sekali dua rampasan kuasa dan pergolakan parti politik menyaksikan raja sebagai simbol penyatuan rakyat walaupun berbeza fahaman dan ideologi politik. Dinasti Habsburg yang pernah memerintah empayar yang luas dan makmur dari Vienna, Austria hinggalah ke rantau Balkan.
Selepas Empayar Austria-Hungary tumbang gara-gara kalah dalam Perang Dunia Pertama, ia berpecah kepada banyak negara di mana sesetengah daripadanya ditadbir oleh rejim-rejim kuku besi tanpa sebarang pengaruh seperti dulu. Dan jika proses pemulihan semula takhta dilakukan di Afghanistan membabitkan Almarhum Raja Zahir Shah pada tahun 2001, Afghanistan berkemungkinan boleh saja terlepas dari isu pemberontakan Taliban yang dihadapi kerajaan sekarang. Ini kerana semasa pemerintahan baginda dari tahun 1950-an sehingga 1973 yang menyaksikan Raja Zahir digulingkan oleh sepupunya merangkap bekas Perdana Menteri, Mohammed Daoud Khan, Afghanistan merupakan sebuah negara yang aman dan makmur tatkala Perang Dingin berlangsung.
Sumber: The Patriots
