
“Jelas apa yang dinyatakan oleh Azmin tidak masuk akal, kerana “kerosakan ekonomi lampau” yang ingin dielakkan olehnya gagal dielakkan disebabkan kegagalan kementeriannya sendiri. Jadi elok Azmin elak daripada bercakap atau mengaburi mata rakyat, kerana semakin banyak dia bercakap, semakin padah natijahnya pada kerajaan.”
Raggie Jessy Rithaudeen
ماكين عزمين چوبا ءسلامتكنء ديري، ماكين عزمين جرت ديري سنديري
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan menunjukkan tanda-tanda tidak setuju dengan gesaan supaya lebih banyak kilang ditutup untuk mengekang penyebaran Covid-19.
Menurut laporan, Azmin menyokong pengguna Twitter @ravin_surandran yang mengatakan kebanyakan kes Covid-19 baru hasil penyebaran “secara rawak” dan bukan dari kilang.
“Kita perlu terbuka sebanyak mungkin. Banyak orang tidak mendapatkan fakta mereka dengan betul. Kilang bukan masalahnya,” tulis @ravin_surandran, yang kemudian dibalas Azmin,”tepat sekali.”
Dua jam kemudian, Azmin kembali ke Twitter, kali ini memetik Dr David Nabarro, Utusan Khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang berkata WHO tidak menganjurkan penutupan, kecuali sebagai jalan terakhir untuk membeli masa.
“WHO telah memberi amaran kepada ekonomi dunia agar tidak mengalami kerugian akibat kerosakan ekonomi yang melampau, terutama yang mempengaruhi mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Nampaknya Azmin sedang cuba untuk mengalihkan perhatian umum daripada kegagalan kerajaan menutup semua sektor ekonomi seperti yang dijanjikan pada 28hb Mei 2021.
Azmin lupa, bahawa:
1. Pihak kerajaan sendiri mendakwa perlu ada “Total Lockdown” setelah ditekan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
2. Setelah mengalah, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (atau ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama) di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1hb Jun hingga 14hb Jun 2021.
3. Ini adalah pengumuman kerajaan sendiri, bukannya pengumuman oleh saya atau mana-mana pihak lain.
4. Lockdown ini kononnya untuk mengurangkan jumlah kes Covid-19 agar sisitem kesihatan negara yang berada di ambang kemudaratan dapat diselamatkan daripada lumpuh terus.
5. Ini seharusnya dijadikan objektif utama kerajaan, dan jika penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi dilakukan dengan betul, angka Covid-19 sudah pasti dapat dikurangkan ke paras tiga atau dua digit dalam masa tiga hingga empat minggu.
6. Dengan itu, Lockdown yang dilaksanakan akan dapat dilonggarkan pada 28hb Jun lepas, sekaligus mengelakkan berpuluh ribu perniagaan kecil dan sederhana daripada gulung tikar.
7. Malangnya, tidak sampai tiga hari selepas “Total Lockdown” atau fasa pertama “Pelan Pemulihan Negara” diumumkan, rakyat diberitahu bahawa lebih 128,000 syarikat dibenarkan beroperasi, ada diantaranya tidak tergolong sebagai syarikat “keperluan asas.”
8. Dan setelah hampir lima minggu “Total Lockdown” dilaksanakan, angka Covid-19 harian kekal pada paras melebihi 5,000 kes selama tiga minggu berturut-turut sebelum melonjak naik terus menghampiri paras asal, iaitu paras ketika “Total Lockdown” mula-mula diumumkan.
9. Justeru, bukan hanya fasa pertama “Pelan Pemulihan Negara” gagal, kerajaan terpaksa melanjutkan lagi fasa ini selama dua minggu.
10. Ini menjadikan jumlah keseluruhan tempoh “Total Lockdown” fasa pertama yang disahkan setakat ini selama enam minggu, menyebabkan berpuluh ribu peniaga kecil dan sederhana bakal lingkup terus.
11. Dan memandangkan kerajaan tidak berniat untuk menutup penuh sektor sosial dan ekonomi, Total Lockdown fasa pertama dijangka akan dilanjutkan lagi melangkaui 12hb Julai 2021, menjadikan jumlah keseluruhan tempoh fasa pertama selama lapan minggu.
12. Natijahnya, rakyat Malaysia yang sedia terseksa akan terus terseksa akibat kerosakan lampau ekonomi negara yang seharusnya boleh dielakkan jika kerajaan mengaku kegagalannya dan membuat pembetulan dari awal lagi.
13. Yang paling terkesan ialah golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.
14. Malah, pelbagai laporan yang diterima menunjukkan jumlah kes bunuh diri meningkat secara mendadak disebabkan peniaga-peniaga kecil dan sederhana besar hilang sumber pendapatan dan mengalami tekanan jiwa.
Siapa yang mampu membawa balik nyawa yang melayang ini? Azmin??
15. Dan jangan lupa, setelah hampir setahun setengah, kadar vaksinasi di negara ini begitu rendah disebabkan monopoli pembelian vaksin melibatkan kementerian tertentu.
16. Ini sudah pasti akan membantutkan lagi usaha mengekang penularan wabak Covid-19 biarpun sektor sosial dan ekonomi ditutup penuh.
17. Maka jelaslah apa yang dinyatakan oleh Azmin tidak masuk akal, kerana “kerosakan ekonomi lampau” yang ingin dielakkan olehnya gagal dielakkan disebabkan kegagalan kementeriannya sendiri dan kegagalan kerajaan secara am.
18. Disebabkan kegagalan ini, bukan hanya angka Covid-19 terus menggila dan jumlah kes bunuh diri makin meningkat, hospital-hospital utama di negara ini terus sesak dengan peningkatan jumlah pesakit Covid-19.
19. Jadi elok Azmin elak daripada bercakap atau mengaburi mata rakyat, kerana semakin banyak dia bercakap, semakin padah natijahnya pada kerajaan dan dirinya sendiri.
WAJIB BACA:
PKPD SELANGOR, KUALA LUMPUR: BUKTI RAKYAT DIMANIPULASI [VIDEO]
