سريبو ساتو سبب اونتوق اڬوڠ اشتهار ضرورت
“Saya yakin Mahathir sudah mempunyai seribu satu sebab untuk memecat Lim Guan Eng dan Tommy Thomas serta mengenakan tindakan undang-undang terhadap Guan Eng, Anwar dan sebilangan tertentu individu, termasuk beberapa pemimpin dari gabungan Pakatan Harapan”
Raggie Jessy Rithaudeen
Malaysia memerlukan sebuah kerajaan baru dengan kadar segera bagi menggantikan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dalam bentuk yang sedia ada.
Ini susulan keadaan ekonomi yang makin meleset serta ketidaktentuan politik melibatkan parti-parti DAP, AMANAH dan PKR yang dilihat kian parah dan tidak lagi mewakili aspirasi perwakilan parti dan rakyat.
Pada pemilihan pucuk pimpinan AMANAH baru-baru ini, presiden parti, Mohamad Sabu, jatuh terus ke tangga ketujuh dengan perolehan 681 undi, 105 mata kurang dari penyandang nombor satu, Khalid Abdul Samad.
DAP pula dibelenggu masalah keretakkan yang amat serius, khususnya di Perak, di mana wujud puak Nga Kor Ming yang sehaluan dengan pucuk pimpinan pusat dan puak Paul Yong Choo Kiong yang anti Lim Guan Eng.
Lim Guan Eng merupakan setiausaha agung DAP merangkap Menteri Kewangan Malaysia. Malangnya, kedudukan beliau sebagai Menteri tidak diyakini sebilangan besar pelabur dari dalam dan luar negara dan juga rakyat jelata.
Ini berikutan penipuan demi penipuan yang dilakukan okeh beliau secara terbuka berhubung kedudukan hutang dan nisbah hutang kepada GDP negara serta kegagalan beliau menguruskan hal-ehwal kewangan negara yang dilihat amat kritikal.
Sokongan terhadap Guan Eng dari kalangan pemimpin parti di peringkat nasional dan juga negeri turut tipis, dengan desas-desus menyatakan sebilangan signifikan ahli-ahli parlimen dan ADUN DAP sedang mempertimbangkan keluar parti untuk bersama gandingan Datuk Seri Azmin Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Begitu juga, di PKR, majoriti pemimpin parti di peringkat nasional mahupun negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak, menolak bulat-bulat kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden parti.
Sebilangan besar mereka sedang mendesak Azmin untuk samada mencabar terus Anwar bagi jawatan presiden ataupun keluar parti untuk bersama ahli-ahli parlimen dari UMNO, DAP, PAS, AMANAH, PPBM, Sabah dan Sarawak yang pro-perubahan.
Sudah tiba masanya bagi Mahathir mengatur langkah untuk memperbetulkan keadaan sosio-ekonomi dan sosio-politik negara yang kian tidak menentu menerusi pembentukkan kerajaan baru dengan apa jua cara sekalipun.
Saya yakin bahawa Mahathir mempunyai seribu satu sebab untuk memecat Lim Guan Eng dan Tommy Thomas serta mengenakan tindakan undang-undang terhadap Guan Eng, Anwar dan sebilangan tertentu individu, termasuk beberapa pemimpin dari gabungan Pakatan Harapan.
Saya yakin bahawa kedua-dua pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudahpun mengemaskini fail-fail berhubung individu-individu tersebut, di mana fail-fail ini jelas memperinci kesalahan-kesalahan mereka dan bagaimana sesetengah mereka telah membawa ancaman kepada keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam menerusi tingkah laku mereka.
Saya rasa negara kita tidak akan dapat bertahan lama sekiranya satu langkah drastik tidak diambil dengan kadar yang teramat segera, termasuklah pengisytiharan darurat atas nasihat Kabiinet (Perdana Menteri) dengan berbekalkan bahan bukti yang saya pasti berada di bawah pengetahuan pihak polis dan Mahathir.
