Setahun PH: Anak muda masih menaruh harapan?

Ada Menteri membuat keputusan, namun terpaksa ‘u-turn’ kerana belum cukup kajian. Ada Menteri membuat pengumuman, namun terpaksa dibatalkan setelah menerima banyak bantahan. Tidak cukup dengan itu, hutang 1 trilion dan ketiadaan wang sering dijadikan alasan bagi menutup kelemahan. Sejauh mana anak muda boleh menaruh harapan, hanya masa yang akan menentukan. Sumber (gambar): Fail TTF

Syahir Sulaiman

SETAHUN yang lalu anak muda meletakkan harapan yang tinggi kepada Pakatan Harapan.

Anak muda mengharapkan hutang PTPTN dihapuskan, tol dimansuhkan, GST dibatalkan, dan yang terpenting kos sara hidup dikurangkan.

Selain itu anak muda mengharapkan perubahan dalam negara dengan keadilan ditegakkan, rasuah dihapuskan dan skandal 1MDB dibongkarkan.


Maka ramailah anak muda berumur 20-an dan 30-an keluar mengundi pada 9 Mei yang lalu, sesak di setiap pusat pengundian bermula jam 9 pagi, beratur panjang untuk memangkah parti dan calon yang menjadi pilihan.

Melihat ramainya anak muda yang keluar mengundi, dengan semuanya tunduk menghadap ‘handphone’ yang tidak lekang di tangan, menandakan ada suatu gelombang yang ingin dihantar ke Putrajaya oleh anak muda pada hari pengundian.

Natijahnya suatu keputusan yang di luar jangkaan, BN tumbang buat pertama kalinya sejak negara mencapai kemerdekaan, di tangan PH yang menjanjikan 1001 harapan.

Hari ini genap setahun peristiwa bersejarah itu, namun anak muda yang dahulunya bersemangat untuk melakukan perubahan, kini tersenyum melihat janji dan harapan mereka dipermainkan.

Mengapa anak muda kecewa?

Anak muda kecewa kerana janji manifesto tidak ditunaikan. PTPTN masih perlu dibayar, tol masih perlu dibayar, cukai makin banyak dibayar, malah harga minyak tidak turun sebagaimana dijanjikan.

Anak muda juga kecewa kerana kos sara hidup masih tidak berubah, malah ramai yang rasa makin terbeban. Peluang pekerjaan tidak bertambah, malah ramai juga yang diberhentikan. Harga rumah tidak berubah, malah semakin sukar untuk didapatkan.

PH berbangga rasuah dapat dikurangkan, itu satu pujian.

Namun anak muda hairan melihat kes melibatkan pemimpin PH digugurkan, manakala wakil rakyat BN yang melompat parti terus disucikan. Anak muda mahu setiap tuduhan rasuah dibicarakan di mahkamah dengan adil, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah media’ tanpa batasan.

Anak muda juga sangsi melihat kemampuan pemimpin Pakatan Harapan. Ada yang menipu kelayakan dan ada juga yang ijazahnya dipalsukan.

Ada Menteri membuat keputusan, namun terpaksa ‘u-turn’ kerana belum cukup kajian. Ada Menteri membuat pengumuman, namun terpaksa dibatalkan setelah menerima banyak bantahan. Tidak cukup dengan itu, hutang 1 trilion dan ketiadaan wang sering dijadikan alasan bagi menutup kelemahan.

Kini memasuki tahun kedua pemerintahan, PH meminta rakyat bersabar dan memberi lebih masa kepada kerajaan – janji untuk menunaikan segala manifesto, mengurangkan kos sara hidup dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Sejauh mana anak muda boleh menaruh harapan, hanya masa yang akan menentukan.

Sumber:

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...