Singapura dan Malaysia juga mempunyai kerjasama dalam banyak bidang lain. Misalnya, kedua-dua negara sedang dalam perancangan membangunkan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura; berkerjasama rapat dalam soal mengatasi jenayah militan agama; dan jenayah rentas sempadan
Salleh Said Keruak
1. Pada 31 Ogos 1957, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Singapura tidak turut merdeka. Singapura cuma merdeka pada 16 September 1963 apabila bersama Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia.
2. Namun, penyertaan Singapura dalam Persekutuan Malaysia tidak lama. Pada 9 Ogos 1965, Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia menjadi sebuah wilayah yang merdeka. Hari ini rasmilah Singapura menyambut hari kemerdekaannya yang ke-52.
3. Pertanyaannya, bagaimana hubungan Singapura dengan Malaysia setelah kemerdekaannya? Yang pastinya, hubungan kedua-dua negara semakin kukuh dan utuh. Banyak faktor yang mengikat hubungan rapat ini.
4. Kedua-dua negara berkongsi sejarah yang sama, adalah jiran paling dekat, sama-sama menyertai Asean pada 8 Ogos 1967, kebergantungan Singapura terhadap air dan bahan mentah dari Malaysia dan lainnya.
5. Singapura juga mempunyai pelaburan besar di Bandar Iskandar Malaysia. Singapura menjadi pelabur utamanya sebanyak RM11 bilion.
6. Hubungan dagang dua negara ini juga banyak. Singapura ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China. Pada tahun 2016 juga, jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM190.6 bilion, atau 13 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.
7. Bukan hanya itu. Singapura dan Malaysia juga mempunyai kerjasama dalam banyak bidang lain. Misalnya, kedua-dua negara sedang dalam perancangan membangunkan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura; berkerjasama rapat dalam soal mengatasi jenayah militan agama; dan jenayah rentas sempadan.
8. Walaupun mempunyai hubungan yang baik, namun ada ketikanya timbul masalah yang perlu diatasi dengan bijak agar tidak menimbulkan konflik berterusan.Misalnya, dalam kes perjanjian air, kes tanah keretapi Tanah Melayu, kes CPF, kes perebutan Pulau Batu Putih dan Tambak Laut. Semua kes tersebut telah pun diselesaikan secara baik.
9. Untuk hubungan ke depan, semoga dasar trading partner yang digagas oleh PM kita mampu mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Sumber: sskeruak.blogspot.my
