
Shafie Apdal
شافعي اڤدل: كراجأن هاروس بطل داسر 51 ڤراتوس ايكويتي بوميڤوترا
1. Parti Warisan mengambil maklum mengenai dasar Kerajaan yang menetapkan semua syarikat dalam industri logistik tempatan untuk mendapatkan 51% ekuiti Bumiputera. Dasar ini yang sepatutnya berkuatkuasa hujung tahun ini telah ditunda pelaksanaannya kepada 1 Disember 2022.
2. Parti Warisan dengan ini menyeru Kerajaan untuk membatalkan dasar tersebut berlandaskan beberapa perkara. Pertamanya, ia merupakan satu bentuk diskriminasi ke atas pemain industri tempatan. Ini adalah kerana keperluan 51% ekuiti Bumiputera yang ditetapkan adalah tidak terpakai kepada syarikat antarabangsa atau asing. Parti Warisan difahamkan ini kerana industri ini telah diliberalisasikan di bawah kebanyakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Oleh yang demikian, mana-mana syarat yang berbentuk menindas syarikat asing boleh dikira suatu pelanggaran di bawah FTA.
3. Namun demikian, adalah tidak adil bagi Kerajaan mengenakan pula penetapan ekuiti ini kepada pemain industri tempatan. Parti Warisan berpendirian sekiranya pihak Kerajaan telah memutuskan untuk meliberalisasikan industri ini dan terbuka kepada syarikat antarabangsa tanpa apa-apa syarat lain (sebagaimana prinsip “national treatment” di bawah FTA), seharusnya prinsip yang sama terpakai kepada pemain tempatan juga.
4. Keduanya, Parti Warisan ingin menyarankan agar pihak Kerajaan meneliti dengan sepenuhnya pelaksanaan dasar ini, terutamanya kesediaan pemain Bumiputera untuk membeli ekuiti syarikat-syarikat berkenaan. Sekiranya tidak dikaji dengan baik, adalah dikhuatiri kebanyakan syarikat dalam industri ini tidak akan bertahan dan terpaksa gulung tikar. Ini lagi membimbangkan sekiranya peratusan pembeli Bumiputera yang layak dan mampu untuk mengambil alih ekuiti dalam industri adalah rendah, terutamanya ketika negara mengharungi pandemik Covid-19.
5. Sekiranya ini berlaku, besar kemungkinan pemain industri tempatan terpaksa menjual syarikat mereka kepada syarikat asing. Ini merupakan satu langkah yang memudaratkan kerana ia akan menambahkan jurang pemilikan ekuiti antara syarikat tempatan dan antrabangsa. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2% pada tahun 2011 kepada 45.3% pada tahun 2015. Pegangan ekuiti bukan Bumiputera menurun dari 34.8% kepada 30.7% dalam tempoh yang sama. Manakala pemilikan ekuiti Bumiputera turut jatuh dari 23.4% kepada 16.2%.
6. Sehubungan dengan itu, Parti Warisan menolak sebarang bentuk diskriminasi ke atas syarikat tempatan sama ada bumiputera atau bukan bumiputera yang mana akan menguntungkan syarikat asing. Seharusnya Kerajaan memberikan keutamaan kepada syarikat dalam negara untuk menjadi berdaya saing dan mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
7. Parti Warisan berpendirian walaupun tindakan afirmatif adalah perlu untuk mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum di Malaysia, namun demikian ia perlulah dilaksanakan secara adil dan saksama. Ia tidak seharusnya dilaksanakan secara menindas dengan memberi kelebihan kepada industri asing mahupun golongan elit Bumiputera semata-mata.
Sekian.
WAJIB BACA:

