Dato’ Azwanddin Hamzah
Kepura-puraan demokrasi terjadi dalam kehidupan masyarakat dengan berbagai elemennya.
Sejak mencapai kemerdekaan hingga kini, dimensi politik kita sudah banyak berubah dengan corak kehidupannya.
Mengapa manusia bersifat munafik? Apa latar belakangnya? Hati manusia siapa yang tahu. Kemunafikan itu berimplikasi kerugian pada dua dimensi, pada tingkat mikro (individual) dan tingkat makro (sosial).
Pada tingkat mikro, seorang munafik merupakan jenis manusia tercela menurut ukuran nilai mana pun, terutama nilai-nilai agama.
Orang yang mempunyai sifat itu, secara langsung mahupun tidak, sama halnya telah mengingkari eksentensi Tuhan, Zat yang serba Maha Mengetahui segala perkara tentang kehendak dan perbuatan manusia. Justeru, agama sangat melarang terhadap orang yang mempunyai sifat seperti itu.
Dari nilai-nilai moral kemasyarakatan, sifat munafik boleh merugikan si pelaku dan juga orang lain. Sikap tidak sportif yang diperlihatkan orang munafik tidak membawa manfaat apa pun bagi pelakunya mahupun orang lain di sekitarnya.
Parahnya, orang munafik bukan hanya bersikap tidak sportif, lebih dari itu, ia juga suka sekali mencari justifikasi atas suatu masalah yang muncul dan menganggapnya sebagai satu-satunya orang yang telah bertindak benar.
Manusia munafik sering menggunakan justifikasi mengenai tingkah laku yang mereka lakukan dengan maksud agar ia diterima masyarakat. Contohnya, apabila berbuat kerosakan di bumi, mereka menyatakan bahawa bermaksud dan beralasan memperbaiki keadaan.
Dengan demikian, potensi destruktif seorang munafik memang benar-benar nyata. Jika dalam suatu kelompok terdapat satu orang munafik, dapat dimungkinkan segala perkara yang menjadi tujuan kelompok tersebut akan menemui kegagalan.
Atau paling tidak, kerap menemui hambatan-hambatan serius. Sebab, manusia jenis itu ibarat musuh dalam selimut. Sebenarnya ia musuh, namun berwajah dan berlaku seperti seorang kawan.
Karakter orang-orang munafik, ialah manusia yang suka memuji diri dan pada masa sama mencemarkan nama baik orang lain.
Orang munafik juga suka bertingkah laku seperti orang yang mulia dan berbudi luhur untuk mendapatkan pengaruh dan menarik minat dan perhatian orang lain.
Tetapi sebaliknya, jika sudah berhasil mendapatkan perhatian dan dapat mempengaruhi orang lain, mereka segera ‘memangsa’, seperti haiwan buas yang melahap mangsanya.
Seorang munafik bukan hanya mengikis eksistensi diri mereka sendiri dalam ruang sosial, tetapi juga menghambat berkembangnya ruang sosial masyarakat secara baik.
Salah satu bentuk kemunafikan yang paling ketara kini ialah budaya rasuah, mengampu, yang seolah-olah sudah menjadi bahagian daripada masyarakat kita dalam kehidupan sosial sehari-hari.
Pada hal, rasuah, munafik membangun ruang masyarakat dan negara menjadi rosak.
Dalam setiap pengambilan keputusan, masyarakat yang korup tidak lagi memikirkan apa lagi mempertimbangkan yang halal dan haram mahupun hal baik dan buruk.
Yang ada hanyalah bagaimana cara dilakukan itu berhasil dan sesuai dengan keinginan peribadi. Meskipun hal itu bercanggah dengan norma-norma luhur yang berpotensi berkembang dalam masyarakat.
Perkara paling mengkhuatirkan adalah apabila kemunafikan merasuki orang-orang atau pemimpin masyarakat.
Kemunafikan seorang pemimpin dapat membawa impak psikologis dalam bentuk sumpah serapah hingga kutukan yang amat dahsyat datang daripada masyarakat. Pelanggaran terhadap etika dan prinsip moraliti oleh pemimpin yang seperti itu, bukan hanya menghasilkan impak kerugian dalam skala amat besar, melainkan bakal menghancurkan umat dan negara.
Meskipun amat mengkhuatirkan, potensi kemunafikan daripada orang yang mempunyai wewenang dan kekuasaan bukanlah hal yang mustahil terjadi.
Ungkapan bahawa kebanyakan orang munafik banyak berasal daripada kaum politisi, intelektual, para ilmuwan, sarjana atau ulama; ungkapan itu lebih sebagai pemetaan betapa orang yang berilmu dan mempunyai kekuasaan amat berpotensi untuk berbuat kecurangan dengan segala instrumen keunggulan yang dimilikinya daripada orang lain.
Kemunafikan pada akhirnya akan mengarah kepada krisis yang bersifat kemanusiaan dalam berbagai aspeknya, seperti krisis moral, ekonomi, dan politik. Betapa krisis yang bersifat kemanusiaan pada subtansinya merupakan matinya roh iman dan akhlak. Begitulah dahsyatnya bahaya kemunafikan bagi kesinambungan hidup manusia.
Akhirnya, Tuhan menjamin kemenangan dalam perjuangan melawan kebatilan, melawan orang-orang munafik yang penindas dan pemeras yang berusaha memanfaatkan kekuasaan dan pengaruhnya untuk menghancurkan kebenaran dan persaudaraan.
Tuhan tentunya berpihak kepada masyarakat yang menginginkan terwujudnya cita-cita keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat.
Dato’ Azwanddin Hamzah merupakan presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan penasihat tetap kehormat Gagasan Tiga (G3)
