Skandal LCS: Putar belit Najib makan diri, fakta terang lagi bersuluh

“Nasihat peribadi saya kepada Najib adalah untuk “duduk diam dan elak membuat sebarang kenyataan di Facebook, kerana segala putar belit anda setakat ini tidak menjadi malah menampakkan dengan jelas tahap sebenar keterdesakan anda (rujuk juga video di hujung bawah)”

Raggie Jessy Rithaudeen

Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu memutarbelit fakta atau mengaburi mata rakyat dengan propaganda murahan berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Najib perlu sedar, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek berkenaan telah dibentang secara rasmi dan berperlembagaan di Dewan Rakyat, bukannya di Facebook.




SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net

Dakwaan Najib kononnya pengerusi PAC, Wong Kah Woh, masih memegang jawatan Ketua Pemuda DAP merupakan satu fitnah dan penghinaan kepada Institusi Parlimen di mana PAC membentangkan laporannya.

Hakikatnya, bukan hanya Wong tidak lagi memegang jawatan berkenaan, laporan yang dibentangkan merupakan hasil persetujuan bersama 14 orang ahli PAC daripada parti berlainan.

Amat jelas Najib terdesak sehingga sanggup menipu penta’subnya dengan propaganda murahan untuk menimbulkan persepsi palsu kononnya PAC dipengaruhi oleh DAP dan berat sebelah.

Dengan cara ini, Najib mengelak daripada mengulas segala kepincangan, kesalahan, kelalaian dan ketirisan kerajaan pimpinan beliau berhubung projek LCS sepertimana yang terkandung dalam laporan PAC.

Antaranya, kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima kapal Littoral Combatant Ship (LCS) TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Menurut laporan PAC, kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan. Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan,” dedah pengerusi PAC.

Loading...

Beliau berkata PAC juga mendapati pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Terdapat juga pendedahan berhubung satu siasatan dalaman yang dilakukan oleh BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation), iaitu salah satu syarikat induk yang memiliki BNS, yang membuat kesimpulan berikut:

…adalah luar biasa apabila (BNS) sudah pun ada sebut harga dari DCNS bertarikh 23 Disember 2010 sebelum pun Surat Lantikan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia/KEMENTAH kepada BNS. Ini menunjukkan kontrak ini telah dimuktamadkan lebih awal di antara vendor (DCNS) dengan pihak-pihak berkepentingan di BHIC/BNS yang berkuasa membuat keputusan. Sejarah DCNS dan amalan korupnya yang merasuah individu-individu semasa rundingan kontrak pertahanan diketahui umum dan telah menjadi kes mahkamah di Perancis setelah pihak berkuasa Perancis menyerbu pejabat DCNS & Thales.

Mohamad Sabu, Liew Chin Tong sekolahkan Najib

Sementara itu, bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menyangkal dakwaan Najib kononnya projek  LCS terbengkalai kerana PH menangguhkannya pada September 2019.

Dalam satu kenyataan bersama, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong turut menjelaskan bahawa kenyataan Najib kononnya projek LCS hanya dapat diteruskan semula pada April 2022 kerana berlakunya pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021 juga tidak benar.

“Garis masa membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan bukan punca projek LCS lambat.

“Status kemajuan projek LCS sepatutnya mencapai 49.12 peratus pada Januari 2016 tetapi hanya siap 39.67 peratus.

“Pada Januari 2017, kemajuan projeknya sepatutnya 59.35 peratus tetapi hanya siap 46.99 peratus manakala dijangka siap 70.58 peratus pada Januari 2018 tetapi hanya siap 50.15 peratus.

“Pada Januari 2020, projek itu sepatutnya siap 82.41 peratus tetapi hanya siap 56.39 peratus dengan variance sebanyak -26.02 peratus.

“Sampai hari ini, reka bentuk terperinci belum siap.

“Kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek ini pada Februari 2020 berpandukan cadangan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) namun kerajaan jatuh pada bulan tersebut juga.

“Dr Mahathir juga memutuskan bahawa mereka yang membuat salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan dan pasukan pengurusan BNS dirombak manakala Projek LCS dianggap sebagai projek sakit dan akan menerima suntikan dana untuk ganti balik dana yang disonglap.

“Kementerian Pertahanan diarahkan untuk membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH,” menurut kenyataan itu.

Kontraktor Scorpene turut terlibat

Ada juga pendedahan bahawa pihak berkepentingan tertentu mahukan sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina kapal LCS walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma.

Sub-kontraktor berkenaan tak lain tak bukan DCNS, iaitu kontraktor sama yang terlibat dalam pembinaan dan perbekalan kapal selam Scorpene.

Menurut pendedahan itu, surat lantikan (“Letter of Award”) dari Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertahanan) untuk melantik BNS sebagai kontrak projek kapal perang LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

Peliknya, DCNS sebagai sub-kontraktor telah menghantar sebutharga dan diberikan Surat Niat sebelum BNS dilantik menjadi kontraktor utama.

Perkara ini sudah pasti berada di bawah pengetahuan Najib, memandangkan rundingan pembuatan kapal perang teknologi asing semestinya melibatkan ketua-ketua kerajaan terbabit, yakni kerajaan Malaysia dan Perancis.

Nasihat peribadi saya kepada Najib adalah untuk “duduk diam dan elak membuat sebarang kenyataan di Facebook, kerana segala putar belit anda setakat ini tidak menjadi malah menampakkan dengan jelas tahap sebenar keterdesakan anda.”

Sebaliknya, apa yang diperlukan sekarang ialah laporan berkala daripada SPRM berhubung perkembangan siasatan yang dijalankan (berdasarkan cadangan Mohamed Haniff Khatri Abdulla) dan penubuhan RCI untuk menyelami tahap sebenar kepincangan kerajaan pimpinan Najib dalam skandal ini.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...