“Bilangan efektif Surat Akuan Bersumpah yang dimiliki Anwar tidak pernah mencecah angka 100”
Raggie Jessy Rithaudeen
Datuk Seri Anwar Ibrahim sah tidak memiliki sokongan majoriti ahli parlimen atau jumlah Surat Akuan Bersumpah yang diperlukan untuk meyakinkan Yang Di-Pertuan Agong bahawa beliau layak memegang jawatan Perdana Menteri.
Dalam usaha saat akhir untuk memperdaya ahli-ahli parlimen yang masih enggan menyokongnya, kem Anwar menimbulkan ura-ura kononnya Anwar sudah memiliki 113 Surat Akuan Bersumpah dan akan mempersembahkannya kepada Seri Paduka Baginda Tuanku dalam masa terdekat.
Bukan hanya ini merupakan pembohongan, terdapat sekumpulan ahli parlimen yang sekali lagi menandatangani Surat Akuan Bersumpah ‘pembatalan’ dan ‘penafian’ yang dijangka akan muncul sekiranya keadaan memerlukan.
Ahli-ahli parlimen ini khuatir nama mereka telah dijaja dan menandatangani Surat Akuan Bersumpah ‘pembatalan’ dan ‘penafian’ sebagai langkah berjaga-jaga bersaksikan pihak tertentu yang kini memegang dokumen-dokumen berkanun berkenaan.
Menurut perkhabaran, ‘senarai’ terkini Anwar melibatkan sekurang-kurangnya 11 ahli parlimen yang telah menandatangani Surat Akuan Bersumpah ‘penafian’ itu.
Ini bukanlah kali pertama nama Yang Di-Pertuan Agong dijaja oleh kem Anwar. Pada satu sidang media pada 23 September lalu, beliau mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Katanya, beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap baginda sehari sebelum itu namun terpaksa ditangguhkan selepas Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Sebaik selepas pengumuman itu dibuat, saya mendedahkan Anwar sekadar menjaja nama Yang Di-Pertuan Agong bagi meyakinkan ahli-ahli parlimen yang masih tidak bersamanya untuk menandatangani Surat Akuan Bersumpah sokongan terhadapnya.
Saya turut membawa ‘senarai’ nama ahli parlimen yang disediakan oleh kem Anwar secara “petik dan letak” tanpa kebenaran ahli-ahli parlimen terbabit.
Susulan itu, beberapa ahli parlimen yang terkesan secara langsung membuat laporan polis bagi meminta diadakan siasatan untuk mengenalpasti dalang di sebalik penularan ‘senarai’ itu.
Kemudian, setelah pihak Istana Negara menetapkan 13hb Oktober 2020 sebagai tarikh pertemuan Anwar dengan Yang Di-Pertuan Agong, jaringan media pro-Anwar memainkan retorik kononnya Anwar akan mengambil alih kerajaan pada tarikh berkenaan kerana bukti sokongan terhadapnya ‘padu’.
Saya tahu ini satu penipuan, kerana bukan hanya persembahan Surat Akuan Bersumpah kepada Seri Paduka Baginda Tuanku tidak boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan, bilangan efektif dokumen berkanun itu yang dimiliki Anwar tidak pernah mencecah angka 100.
Ini memandangkan kewujudan Surat Akuan Bersumpah ‘pembatalan’ dan ‘penafian’ pada ketika itu dan kegagalan Anwar sendiri untuk memperolehi jumlah yang diperlukan untuk dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri.
Penipuan Anwar akhirnya terbongkar apabila beliau gagal mempersembahkan sebarang bukti sahih kepada Yang Di-Pertuan Agong apabila menghadap Seri Paduka Baginda Tuanku pada tarikh yang ditetapkan.
Kini, setelah berulang kali memperdaya ahli-ahli parlimen, kem Anwar sekali lagi menjaja nama Yang-Di Pertuan Agong, kali ini dalam usaha terdesak Anwar untuk meyakinkan seberapa ramai ahli parlimen yang mungkin sebelum 17hb Disember ini bahawa beliau benar-benar memiliki bukti sokongan majoriti.
Cukup-cukuplah Anwar…lembu pun dah tak larat nak terbang dah…
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
