SPR: PENJELASAN BERHUBUNG ‘UNDI 18’ BAGI MENANGKIS KEKELIRUAN

Pengerusi
 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Azhar Azizan Harun. Sumber (gambar): Utusan Online

Azhar Azizan Harun

Saya perhatikan terdapat beberapa kenyataan mengenai Undi 18 yang kurang tepat kebelakangan ini. Untuk mengelakkan kekeliruan, saya ingin membuat penerangan mengenai Undi 18.

A. Skop Undi 18 


Undi 18 melibatkan 3 perkara, iaitu:

1. Umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun;

2. Umur layak menjadi calon diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun; dan


3. Pendaftaran warganegara yang layak sebagai pemilih secara 
automatik.

B. Pindaan Perlembagaan Persekutuan 


Untuk membolehkan Undi 18 dijalankan, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Untuk itu, Parlimen telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Sesi Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan Sesi Dewan Negara pada 25 Julai 2019 seperti berikut:

1. Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had kelayakan umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun;

2. Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had kelayakan umur menjadi calon dari 21 kepada 18 tahun; dan

3. Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan untuk melaksana pendaftaran pemilih secara automatik.

C. Tarikh Pelaksanaan Undi 18


Undi 18 belum dilaksanakan. Ini adalah kerana pindaan-pindaan Perlembagaan Persekutuan di atas belum berkuatkuasa.

Pada masa ini, SPR sedang meneliti isu-isu berkaitan pelaksanaan penuh Undi 18 untuk menyediakan satu garis masa dan kajian kos yang lengkap mengenai pelaksanaan Undi18. Isu-isu yang berkait, antara lainnya ialah:

1. Menaik taraf sistem ICT SPR;

2. Keperluan data-data dari jabatan/agensi Kerajaan yang lain, 
antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara 
dan/atau Mahkamah serta Kementerian Kesihatan Malaysia;

3. Pindaan kepada mana-mana undang-undang atau peraturan 
pilihan raya yang perlu untuk melaksanakan Undi18;

4. Pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun Undang- undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membolehkan warganegara yang berumur 18 tahun menjadi calon Dewan 
Undangan Negeri;

Dalam masa yang sama, SPR juga perlu melihat dan meneliti perkara-perkara berikut:

4. Kos pilihan raya akan datang;

5. Kemudahan-kemudahan pilihan raya untuk menjamin 
keselesaan pengundi;

6. Keperluan tenaga kerja SPR dan petugas pilihan raya;

7. Kajian mengenai pusat-pusat mengundi baharu yang perlu 
diwujudkan untuk menampung pertambahan jumlah pengundi 
yang mendadak pada pilihan raya akan datang; dan

8. Penetapan lokaliti pengundi-pengundi baharu.

D. Kempen Penukaran Alamat dan Pendidikan Pengundi

Selain daripada perkara-perkara di atas, saya berpendapat bahawa satu kempen secara besar-besaran perlu dilaksanakan. Ini bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada warganegara yang layak untuk didaftarkan mengenai pentingnya mengemaskini alamat mastautin terkini di Jabatan Pendaftaran Negara sebelum Undi18 dilaksanakan. Ini supaya pengundi didaftarkan dalam bahagian pilihan raya di mana mereka bermastautin.

Saya juga berpendapat bahawa satu pendekatan pendidikan pengundi yang menyeluruh perlu dilaksanakan secara berkesan. Justeru, SPR, melalui Akademi Pilihan Raya (APR), telah bersetuju dan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan pengundi di sekolah- sekolah menengah dengan serta merta.

Sesi libat urus akan terus diadakan dari semasa ke semasa dengan semua pihak berkepentingan termasuklah parti-parti politik dari blok kerajaan dan pembangkang mengenai perkara ini.

E. Tarikh Pelaksanaan Undi 18

Mengambil kira perkara-perkara di atas serta keperluan untuk menyediakan satu pendekatan yang menyeluruh dan berkesan, SPR akan membuat pemakluman kepada pihak Kerajaan serta juga pihak pembangkang mengenai status kesediaan SPR untuk melaksanakan sepenuhnya Undi 18 dari semasa ke semasa.

Saya ingin menjelaskan bahawa Undi18 akan hanya dilaksanakan sama ada secara bersekali atau berasingan setelah mempertimbangkan pandangan-pandangan daripada pelbagai pihak.

Jangkaan pelaksanaan Undi 18 ini sama ada secara bersekali atau berasingan ialah di antara 18 hingga 24 bulan dari sekarang.

F. Penglibatan Pengundi 18 Tahun Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sarawak Ke-12 


SPR tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai tarikh pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Oleh itu, tarikh PRU Negeri Sarawak Ke-12 tidak dapat dipastikan. 
Dalam hal ini, persoalan sama ada pengundi-pengundi 18 tahun dapat mengundi pada PRU Negeri Sarawak Ke-12 tidak dapat dijawab secara tepat pada masa ini.

G. Pendaftaran Pemilih Secara Automatik Melibatkan Semua Warganegara Yang Layak Dan Belum Mendaftar 


Apabila dilaksanakan kelak, semua warganegara yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas tetapi belum mendaftar akan didaftarkan secara automatik. Ini bermakna, semua yang layak mengundi kerana telah mencapai umur 18 tahun serta warganegara 21 tahun ke atas yang belum mendaftar sebagai pengundi pada masa tersebut akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik.

H. Pendaftaran Pengundi Pada Masa Ini

Oleh kerana pada masa ini Undi 18, terutamanya pendaftaran pengundi yang berumur 21 tahun ke atas dan layak untuk didaftarkan sebagai pengundi perlu dilakukan seperti sedia ada, iaitu dengan mengisi Borang A di pejabat SPR, kaunter-kaunter bergerak SPR, pejabat pos, penolong pendaftar pemilih atau melalui atas talian di URL mysprdaftar.spr.gov.my. 
Sekiranya mana-mana warganegara tidak mendaftar sebagai pemilih dan pilihan raya diadakan sebelum Undi18 dilaksanakan, mereka tidak dapat mengundi dalam pilihan raya tersebut. Ini adalah kerana nama mereka tiada dalam daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya yang berkenaan memandangkan proses pendaftaran sehingga diwartakan mengambil masa antara 4 hingga 5 bulan. Berhubung perkara ini, perlu diingatkan bahawa daftar pemilih yang akan digunakan dalam mana-mana pilihan raya ialah daftar pemilih terakhir yang telah diwartakan sebelum pilihan raya berkenaan.

I. Bahagian Pilihan Raya Pengundi Baharu 


Bagi mereka yang akan didaftarkan secara automatik kelak, bahagian pilihan raya mereka akan ditentukan mengikut alamat mereka di Jabatan Pendaftaran Negara sebagaimana proses sedia ada. Mereka hendaklah mengemaskini alamat mereka di Jabatan Pendaftaran Negara dari semasa ke semasa. Ini untuk memastikan SPR mempunyai maklumat terkini dalam menentukan bahagian pilihan raya apabila didaftarkan oleh SPR kelak. Ini terpakai bagi pendaftaran secara manual atau secara automatik.

J. Bahagian Pilihan Raya Pengundi Sedia Ada

Bagi mereka yang telah pun mendaftar sebagai pemilih, bahagian pilihan raya mereka adalah kekal seperti sebelum ini iaitu mengikut alamat mereka semasa pendaftaran dibuat. Sekiranya mereka telah bertukar alamat dan alamat baharu dikemaskini di Jabatan Pendaftaran Negara, dan mereka ingin menukar bahagian pilihan raya mereka mengikut alamat terkini, mereka perlu memohon untuk menukar bahagian pilihan raya dengan mengisi Borang A di pejabat SPR, kaunter-kaunter bergerak SPR, pejabat pos, penolong pendaftar pemilih atau melalui atas talian di URL mysprdaftar.spr.gov.my.

Sekian, terima kasih.

Pengerusi
 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...