
Raggie Jessy Rithaudeen

Bernama melaporkan Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir sebagai berkata, MIC masih merupakan sebahagian daripada parti komponen BN.
Menurut Zambry, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi kononnya MIC akan meninggalkan BN, malah hubungan antara kepimpinan tertinggi parti komponen kekal utuh dan baik.
“Saya yakin MIC masih tetap bersama BN sehingga kini. Kita tidak ada isu yang berbangkit berkaitan masalah itu dan tidak dibincangkan pun (dalam mesyuarat).
“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa, sebarang laporan yang mengatakan mereka keluar ataupun tidak, kita tidak mengambil itu sebagai sumber sahih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu hari ini.
Namun, sehari sebelumnya, Malaysiakini memetik tiga sumber dalaman Bersatu dan PN yang tidak dinamakan sebagai berkata, Perikatan Nasional (PN) telah meluluskan permohonan MIC untuk menyertai PN.
Menurut laporan ini, keputusan tersebut didakwa dicapai dalam satu mesyuarat pimpinan tertinggi PN yang berlangsung pada 9 Disember lalu.
“Dalam mesyuarat berkenaan, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, dilaporkan memberi penjelasan panjang lebar mengenai sepucuk surat yang dikemukakan oleh kepimpinan MIC dan perjumpaan dengan pimpinan MIC.
“Muhyiddin menekankan kepentingan MIC dan parti politik lain dalam memperkukuhkan jentera gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Alasan utama penerimaan MIC adalah bagi membolehkan PN menarik sokongan pengundi bukan Melayu, dengan fokus khusus kepada masyarakat India yang menjadi penentu di banyak kerusi bandar,” sumber itu didakwa berkata.
Ini bercanggah dengan penafian MIC pada 1 Disember 2025, di mana parti itu menegaskan bahawa surat yang dihantar kepada PN bukanlah permohonan rasmi untuk menyertai gabungan berkenaan tetapi sebaliknya hanya bagi mendapatkan maklumat awal sebelum parti itu membuat keputusan muktamad mengenai hala tujunya.
Siapa bercakap benar, dan siapa menipu?
