“Jika Ismail Sabri terus ditekan oleh kepimpinan tertinggi UMNO untuk mengusulkan pembubaran parlimen, beliau perlu membuat kenyataan rasmi yang padu dan tegas bagi mengumumkan pendiriannya sebagai Perdana Menteri kepada rakyat jelata dan UMNO”
Raggie Jessy Rithaudeen
سوده تيبا ماسڽ اسماعيل صبري سكولهكن زاهيد بيذا اهلي ڤرتي، ڤردان منتري
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sudah sampai ke tahap yang memerlukannya menyekolahkan kepimpinan tertinggi UMNO berhubung perbezaan peranan seorang Perdana Menteri dan seorang ahli parti politik.
Sebagai ahli UMNO, Ismail Sabri tertakluk kepada semua keputusan yang ditetapkan parti menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Namun, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak tertakluk kepada sebarang keputusan parti berhubung soal tadbir urus negara atau pengusulan pembubaran parlimen dan hanya bertanggungjawab kepada rakyat, kerajaan dan Yang Di-Pertuan Agong.
Kedua-dua peranan ini tidak saling bertindih, malah, peranan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri berkait dengan keahliannya di Dewan Rakyat dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sekaligus menjadikannya peranan lebih utama berbanding peranannya sebagai ahli UMNO.
Tindakan kepimpinan tertinggi UMNO menekan Ismail Sabri untuk mengusulkan pembubaran parlimen adalah salah, memandangkan parti politik tidak berhak memaksa perdana menteri untuk melakukan sesuatu.
Justeru, jika Ismail Sabri terus ditekan oleh kepimpinan tertinggi UMNO untuk mengusulkan pembubaran parlimen, beliau perlu membuat kenyataan rasmi yang padu dan tegas bagi mengumumkan pendiriannya sebagai Perdana Menteri kepada rakyat jelata dan UMNO.
Saya turut berharap bahawa Ismail Sabri menghadap Yang Di-Pertuan Agong dalam masa terdekat dan mengusulkan pengisytiharan Darurat Politik.
Ini adalah untuk membawa kestabilan politik secara paksa sehingga penggal penuh parlimen tamat, dan dalam tempoh ini, Ismail Sabri boleh mengusulkan Ordinan Darurat yang bersesuaian untuk melumpuhkan terus politik negara.
