Suka Tak Suka, Malaysia Akan Terheret Dalam Percaturan Perdagangan AS-China (ULASAN PENUH)

TONTON JUGA ULASAN PENUH DI SINI (KLIK DI SINI)

Raggie Jessy Rithaudeen

Pada 9 April, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 50% ke atas barangan dari China sebagai tambahan kepada 54% yang telahpun dikenakan sejak 3 April.

Trump bertindak demikian selepas China enggan menarik balik tarif balas yang dikenakan ke atas produk AS.




Hakikatnya, pihak yang paling rugi suslan tindakan China mengenakan tarif balas ke atas AS adalah China sendiri, yang memiliki lebihan dagangan sekitar AS$300 bilion bersama AS.

Namun, China tetap cuba melawan AS, barangkali dengan harapan bahawa negara-negara Asia lain yang terkesan dengan tarif Trump akan terpegun dengan keyakinan China dan mengalihkan sebahagian besar nilai dagangan mereka kepada China.

Namun, China kini terperangkap, kerana Trump dapat bau niat China dan terus menangguh tarif kepada semua negara selama 90 hari, melainkan China.

Sebagai musuh geopolitik utama Amerika, China sebelum ini secara terbuka mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadap AS dan mengamalkan kaedah perdagangan yang meragukan sehingga menjejaskan sektor pembuatan Amerika.

Trump berusaha menutup kebocoran defisit AS, dan China berada di kedudukan teratas senarai negara-negara yang menikmati lebihan besar nilai dagangan bersama AS, sehingga merugikan ekonomi dan perniagaan Amerika.

Selepas Perang Dunia Kedua, AS menyokong ekonomi negara-negara yang sedang membangun dan belum membangun pada ketika itu—termasuk China—dengan memberi akses tanpa beban tarif kepada pasaran AS.

Langkah ini bertujuan mengekang pengaruh komunisme menerusi dasar perdagangan yang menggalakkan pembangunan kapitalis di seluruh dunia.

Loading...

AS juga sedar bahawa negara-negara dunia yang membangun pesat akan mewujudkan kelas pertengahan global yang mampu menyokong industri pembuatan AS serta permintaan eksport.

Pendekatan ini juga memperkukuh pergantungan global kepada dolar AS dan mengukuhkan dominasi matawang itu dalam perdagangan dan rundingan antarabangsa.

Namun, dasar ini tidak lagi berpihak kepada kepentingan AS.

Apabila ekonomi negara-negara membangun berkembang persat, syarikat-syarikat AS mula memindahkan pengeluaran ke negara-negara berkenaan bagi mendapatkan manfaat daripada peningkatan populasi kelas pertengahan serta kos operasi yang lebih rendah.

Perpindahan ini merangsang pertumbuhan di luar negara, tetapi manfaatnya tidak seimbang dari sudut kemajuan sektor pekerjaan dan pembuatan di AS.

Malah, negara-negara seperti China dan Vietnam terus mengenakan tarif tinggi terhadap barangan AS, sekali gus memperdalamkan defisit dagangan dan beban hutang AS.

Barangan import murah dari negara-negara ini turut menjejaskan pengeluar tempatan AS disebabkan perosotan nilai dan permintaan produk mereka.

Hasilnya ialah pasaran kerja yang semakin mengecil di AS dan gaji yang tidak seiring dengan realiti ekonomi.

China juga berusaha melemahkan dominasi dolar AS di peringkat global menerusi sokongan terhadap BRICS.

Berpandukan semua ini, Trump memutuskan untuk menjadikan pasaran dagangan dunia lebih adil dengan menghapuskan cengkaman golongan elitis globalis terhadap rantaian ekonomi dunia.

Untuk itu, beliau mengenakan tarif pada kadar diskaun ke atas semua negara yang mengenakan tarif langsung atau tidak langsung terhadap barangan AS.

Tujuan diskaun ini adalah untuk membuka ruang rundingan kepada negara-negara dunia, dan setakat penulisan ini, lebih 135 negara telah beratur untuk berunding, termasuk Vietnam, yang nampaknya bersetuju untuk berdagang dengan AS pada kadar tarif “sifar-sifar”.

Namun, China kekal dengan pendirian “tidak mahu berganjak”, kerana jika presiden Xi Jinping melutut kepada Trump, ia boleh memberi implikasi politik yang serius terhadap masa depan politiknya.

Xi juga cuba menunjukkan kepada negara-negara Asia bahawa China cukup kuat dan tidak memerlukan AS.

Pada pembacaan saya, Xi berharap negara-negara Asia yang terkesan dengan langkah Trump akan berani mengalihkan sebahagian besar tumpuan dagangan mereka daripada AS kepada China setelah melihat ‘keberanian’ Xi.

Namun, bukan hanya majoriti negara dunia memilih untuk berunding dengan Trump, Trump terus melengahkan tarif ke atas semua negara melainkan China selama 90 hari.

Xi kini terperangkap, dan langkah paling logik baginya ialah berunding dengan rakan-rakan dagang lain di Asia Tenggara—khususnya, Malaysia.

Malaysia terkenal dengan lokasi strategiknya yang secara tidak langsung menarik pelabur melalui aktiviti import dan eksport.

Manakala itu, Pelabuhan Klang terkenal dengan tahap operasinya yang cekap dan pantas.

Kecekapan ini, di samping lokasi Malaysia yang strategik, menjadikan negara ini salah satu pilihan utama bagi aktiviti ‘transshipment’.

Untuk makluman, ‘transshipment’ merujuk kepada aktiviti memindahkan barangan yang tiba di Malaysia ke kawasan kastam atau gudang berlesen untuk simpanan sementara sebelum dipindahkan ke kapal atau kenderaan lain untuk dihantar ke destinasi akhir.

Amalan ini berisiko mengundang pertikaian perdagangan, tarif dan undang-undang.

Maka tidak mustahil Malaysia telah diletakkan dibawah pantauan AS secara senyap bagi mengelak kemungkinan pelabuhannya digunakan sebagai pusat untuk mengelak tarif melibatkan eksport dari China.

Ini mungkin menjadi salah satu faktor kepada pengenaan tarif sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia, namun hal ini hanya boleh disahkan bila kepimpinan teratas Malaysia mengadakan rundingan secara terus dengan kepimpinan teratas AS.

Walau apa pun, adalah menjadi fakta bahawa syarikat-syarikat tertentu menggunakan kaedah transshipment menerusi pelbagai pelabuhan di seluruh dunia sebagai kaedah mengelak tarif tinggi.

Menurut laporan Management Study Guide, terdapat barangan dari China yang dihantar terlebih dahulu ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia sebelum dihantar ke AS.

Benar atau tidak, transshipment umumnya sah di sisi undang-undang. Ia hanya menjadi salah apabila negara asal disembunyikan secara sengaja daripada negara penerima.

Dalam industri seperti keluli dan aluminium, terdapat laporan bahawa sesetengah syarikat menghantar barangan separa siap ke negara-negara Asia Tenggara, di mana ia menjalani pemprosesan minimum sebelum dihantar ke AS.

Masalahnya, pemprosesan minimum ini tidak melayakkan produk berkenaan untuk dilabel sebagai “dibuat di negara berkenaan.”

Di Malaysia, untuk mendapat kelayakan “Dibuat di Malaysia” atau “Barangan Buatan Malaysia,” syarikat yang terbabit mestilah memenuhi beberapa syarat, antaranya:

(i) Syarikat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau badan berdaftar lain;

(ii) Mempunyai lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT);

(iii) Mempunyai lesen pengilang (jika berkenaan);

(iv) Terlibat dalam aktiviti pembuatan;

(v) Produk yang dihasilkan perlu dibuat di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51% kandungan tempatan atau bahan dari dalam negara; dan

(vi) Syarikat tersebut digalakkan memohon pendaftaran harta intelek melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Selain itu, syarikat terbabit perlu mengemukakan Sijil Asal (Certificate of Origin) yang mengesahkan lokasi sebenar produk dibuat, dipasang, atau diproses.

Untuk layak, pengilang, pengeksport, atau pedagang mestilah berdaftar dengan SSM dan produk mereka perlu menepati salah satu syarat berikut:

1. 100% dihasilkan atau dibuat di Malaysia;

2. Diproses hingga menukar kod tarif produk di peringkat enam digit; atau

3. Mengandungi sekurang-kurangnya 25% bahan yang dihasilkan secara tempatan.

Berdasarkan syarat-syarat ini, presiden China berkemungkinan besar akan berunding dengan Kerajaan Malaysia dalam masa terdekat untuk menubuhkan syarikat-syarikat usaha sama yang dibiayai oleh China bagi menghasilkan barangan China di Malaysia yang mematuhi syarat-syarat di atas.

Jika dikendalikan dengan baik, inisiatif sebegini boleh memberi manfaat besar kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang—terutamanya ketika AS semakin memperketat pemantauan terhadap aktiviti perdagangan di Asia Tenggara dan sebarang cubaan untuk mengelak tarif yang dikenakan terhadap China.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...