Sultan Nazrin perkenan jawatan pengerusi masjid, surau digantung sementara siasatan dilakukan

 

Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti. Sumber (gambar): ISMAWeb

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan Pengerusi Jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatan, sementara siasatan dilakukan.

Baginda memberi perkenan terhadap cadangan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, itu dan menitahkan Mohd Yusop melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda terhadap program dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Baginda menegaskan bahawa masjid dan surau adalah rumah ibadat, berperanan untuk menyatukan ummah, justeru jika program atas nama parti politik dibenarkan menular dalam masjid dan surau, dibimbangi status itu akan tercemar.


IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan Pengerusi Jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatan, sementara siasatan dilakukan.

Selaras itu, baginda memperkenan tanggungjawab bagi jawatan itu diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10(2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015.


Baginda memberi perkenan terhadap cadangan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, itu dan menitahkan Mohd Yusop melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda terhadap program dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Ia berlaku di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang Ipoh pada 24 Mei, serta program atas nama parti politik yang dilangsungkan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti.

Baginda memaklumkan menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik, yang dilangsungkan dalam bangunan dan perkarangan masjid dan surau di Perak.

Kenyataan media dengan titah baginda itu, dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Toh Raja Diraja Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, di sini, hari ini.

“Baginda turut dimaklumkan terdapat pemimpin daripada parti politik, berceramah agama, tanpa mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk), dan beberapa program atas nama parti politik, dilangsungkan dalam masjid dan surau tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, baginda menegaskan terdapat asas kebenaran aduan yang diterima daripada ramai ahli kariah, mengenai parti politik di Perak menganjurkan aktiviti dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau, juga pemimpin parti politik berceramah agama tanpa tauliah.

Baginda merumuskan, perkembangan sangat tidak sihat sedang berlaku, berpotensi menjejaskan kesucian masjid dan surau melalui persaingan aktiviti yang semakin rancak dilakukan oleh parti politik sama ada parti pemerintah dan pembangkang, menggunakan pelbagai alasan seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran, bantuan, tetapi pada masa sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing, dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau.

Berikutan itu, Sultan Nazrin menitahkan pemimpin enam parti politik utama di Perak menghadap baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada jam 4 petang semalam.

Mereka ialah Menteri Besar yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Asmuni Awi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pesuruhjaya PAS Negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Dalam sesi menghadap itu, Sultan Nazrin telah menegaskan pendirian baginda selaku Ketua Agama Islam negeri, tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.

“Semua enam pemimpin parti politik yang hadir itu memberikan komitmen menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia, untuk memulihara kesucian masjid dan surau daripada dicemari oleh kegiatan politik berparti.

“Setiap seorang memberikan pengakuan akan mengarahkan ahli parti masing-masing untuk tidak lagi menganjurkan program atas nama parti di masjid dan surau, atau merentang sepanduk parti dalam bangunan atau kawasan masjid dan surau atau mengundang penceramah agama berceramah tanpa terlebih dahulu mendapat tauliah berceramah dan kelulusan pihak berkuasa agama Islam negeri,” titah baginda dalam kenyataan itu.

Baginda menegaskan bahawa masjid dan surau adalah rumah ibadat, berperanan untuk menyatukan ummah, justeru jika program atas nama parti politik dibenarkan menular dalam masjid dan surau, dibimbangi status itu akan tercemar.

“Akan berlaku suasana masjid di dalam sesuatu kariah, memiliki identiti dan asosiasi dengan parti politik tertentu, menyebabkan masjid dan surau dikunjungi oleh ahli parti politik berkaitan sahaja dan dijauhi oleh ahli daripada parti politik berlainan,” titah baginda.

Sumber:

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...