Sultan Selangor dukacita Melayu berpecah

Sultan Sharafuddin menegaskan, titah baginda hari ini berkenaan Melayu perlu bersatu itu bukan bermakna baginda bersikap rasis, sebaliknya itu tanggungjawab dan amanah baginda untuk memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat, terutama kepada rakyat berketurunan Melayu. Sumber (gambar): Fail TTF

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita atas perpecahan orang Melayu yang dilihat berada pada tahap merisaukan baginda.

Sultan Selangor bertitah, sekiranya orang Melayu berpecah dan hidup dalam keadaan porak peranda, ada pihak yang mendapat keuntungan sekaligus menyebabkan Melayu akan hilang segala-galanya, baik dari segi hak beragama, ekonomi, politik dan pendidikan.

Titah baginda, pemimpin Melayu jangan hanya memikirkan kepentingan jangka pendek dan hanya mencari populariti dalam satu kumpulan sehingga mengetepikan perkara asas dalam memelihara kepentingan orang Melayu.


SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita atas perpecahan orang Melayu yang dilihat berada pada tahap merisaukan baginda.

Sultan Selangor juga turut berdukacita kerana perpecahan berkenaan membabitkan masyarakat Melayu.

Berikutan itu, pada Ramadan ini, baginda menyeru seluruh orang Melayu supaya memulakan langkah untuk merapatkan saf, bersatu padu, melupakan sengketa dan perselesihan faham serta bangkit semula menjadi bangsa yang kuat, bermaruah dan bermatlamat demi kepentingan agama, bangsa dan negara.


“Rakyat sedia maklum bahawa Islam sentiasa mengutamakan nilai murni dalam diri umatnya. Agama Islam sentiasa menyeru umatnya supaya bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong menolong, bersatu padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia memaafkan antara satu sama lain.

“Namun demikian, semua nilai murni yang diunjurkan agama Islam yang sepatutnya mengalir di dalam diri setiap orang Melayu Islam, termasuk pemimpin Melayu ini tidak diamalkan dan seolah-olah kita lupa batas agama menghalang kita untuk berpecah-belah dan bertelingkah sesama kita,” titah baginda ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, Penyampaian Sumbangan Hari Raya dan Perasmian Masjid Taman Seri Muda, Seksyen 25, di sini, hari ini.

Sultan Selangor bertitah, sekiranya orang Melayu berpecah dan hidup dalam keadaan porak peranda, ada pihak yang mendapat keuntungan sekaligus menyebabkan Melayu akan hilang segala-galanya, baik dari segi hak beragama, ekonomi, politik dan pendidikan.

Titah baginda, rakyat tentu tidak mahu melihat orang Melayu merempat di tanah air, tempat tumpah darah sendiri.

“Adakah kita mahu melihat orang Melayu dijajah dari segi agama, ekonomi, kuasa politik, pendidikan, pemikiran dan pelbagai aspek kehidupan yang lain?

“Jika kita tidak berhati-hati dan berterusan bertelingkah dan berpecah, sama ada antara orang Melayu ataupun sesama pemimpin Melayu, maka beta percaya semua perkara yang beta sebutkan tadi akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menegaskan, titah baginda hari ini berkenaan Melayu perlu bersatu itu bukan bermakna baginda bersikap rasis, sebaliknya itu tanggungjawab dan amanah baginda untuk memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat, terutama kepada rakyat berketurunan Melayu.

Baginda berkenan untuk melihat semua rakyat dapat hidup di negeri dalam keadaan selesa, bersatu-padu, harmoni dan menikmati kekayaan negara secara adil dan sama rata.

“Pemimpin Melayu pula tidak kira dari kumpulan mana diminta menghentikan budaya politik retorik dan berhenti dari terus melabelkan orang Melayu dengan pelbagai kecaman yang negatif,” titah baginda.

Baginda bertitah, kita harus mengakui kelemahan orang Melayu namun itu boleh diatasi sekiranya orang Melayu mempunyai sikap baik sangka, tiada dengki khianat dan dendam, mempunyai sifat kerjasama erat, saling membantu dan tidak hanya bersikap mementingkan diri sendiri dengan melupakan kesusahan dihadapi bangsa sendiri.

Titah baginda, pemimpin Melayu jangan hanya memikirkan kepentingan jangka pendek dan hanya mencari populariti dalam satu kumpulan sehingga mengetepikan perkara asas dalam memelihara kepentingan orang Melayu.

“Sikap begini hanya menguntungkan kumpulan orang Melayu tertentu, sedangkan majoriti orang Melayu terus mundur dan tenggelam dalam arus kejayaan negara bak kata pepatah ‘menang sorak kampung tergadai, menang menjadi arang, kalah menjadi abu,” titah baginda.

Sumber:

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...