Sultan Sharafuddin dukacita Melayu menghina Raja

Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita ada pihak secara terbuka menghina dan memperlekehkan institusi raja.

Baginda bertitah, lebih mendukacitakan apabila hasutan itu dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu sendiri untuk membenci Raja Melayu.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita ada pihak secara terbuka menghina dan memperlekehkan institusi raja dengan menghasut dan mempengaruhi rakyat untuk membenci Raja-Raja Melayu.

Baginda bertitah, lebih mendukacitakan apabila hasutan itu dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu sendiri untuk membenci Raja Melayu.

“Peranan institusi raja adalah memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam serta kaum lain di negara ini.

“Penularan budaya ini dalam kalangan pihak tertentu perlu segera dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut membenci Raja Melayu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat terhakis.

“Beta menegaskan di sini bahawa institusi raja mempunyai peranan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini serta sentiasa mendokong prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya serta Perasmian Masjid Al Falah, Jalan Kebun di Klang, petang ini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS) Abdul Basith Hamid.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan supaya orang Melayu Islam khususnya di Selangor supaya mengelakkan perbalahan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat dan imej buruk kepada kesucian Islam.

“Agama Islam mengutamakan nilai-nilai positif dalam diri seseorang umatnya. Islam juga menyeru umatnya bersikap berbaik sangka, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan serta membantu antara satu sama lain,” titah baginda.

Baginda turut menyeru kepada seluruh rakyat Selangor agar terus bersatu padu dan mengukuhkan keharmonian tidak mengira pangkat, darjat, usia, bangsa atau agama.

“Beta harap di bulan yang mulia ini kita menambahkan ibadat dan menumpukan kepada perkara-perkara yang penting untuk kesejahteraan Selangor yang dikasihi. Rakyat juga perlu membantu dan menyumbang untuk kemajuan negeri dan negara.

“Jangan hanya pandai mengkritik, mengecam, mencela dan mencaci terutama di media sosial kerana ia bukan sahaja akan menyakitkan hati orang lain tetapi juga akan memberikan kesan negatif kepada rakyat dan pembangunan negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut melahirkan kesyukuran kerana dapat merasmikan Masjid Al Falah dan bertemu rakyat jelata pada Ramadan kali ini.

“Beta bersyukur pada Allah SWT kerana tahun ini Beta diberi kesihatan yang sempurna dan dapat menjalani ibadat puasa.

“Beta gembira kerana dapat bersama rakyat pada majlis ini dan berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya kepada fakir miskin dan saudara kita di sembilan daerah di Selangor ini.

“Beta juga dapat merasmikan tujuh buah masjid pada bulan Ramadan ini. InsyaAllah, Beta akan jadikan program ini sebagai program tahunan untuk Beta bertemu dengan rakyat Beta di Selangor ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor yang beragama Islam dan meminta mereka mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

Sumber: Harian Metro

Comments

Comments