Berikut adalah surat Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditujukan kepada ahli-ahli Parti Pejuang Tanah Air, sepertimana ianya diterbitkan menerusi Facebook Dr Mahathir bin Mohamad:
Mahathir Mohamad
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh kepada semua ahli dan pemimpin Pejuang.
Pertamanya, saya ingin ucap berbanyak terima kasih di atas doa untuk kesihatan saya.
Walaupun saya masih perlu berada di hospital untuk beberapa waktu.lagi, alhamdulillah saya telah beransur sihat berkat doa saudara dan saudari berserta rakyat Malaysia yang lain.
InsyaAllah, saya akan kembali pulih seperti sediakala dan kita akan dapat bertemu dan bersama-sama meneruskan perjuangan.
Saya merasa agak terkilan kerana buat masa ini tubuh badan saya tidak dapat bersama saudara dan saudari di dalam menghadapi pilihan raya Negeri Johor.
Namun begitu percayalah, semangat dan jiwa saya mengiringi saudara dan saudari di dalam setiap langkah yang diambil.
Saya sedar ramai yang berkata mengapa perlu saya ambil peduli dengan soal-soal duniawi dan seharusnya menumpu kepada perkara-perkara akhirat dan ibadah.
Bagi saya perjuangan untuk Negara tidak pernah ada noktah seperti juga melaksana ibadah yang perlu.
Perjuangan juga bagi saya satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan.
Tetapi itu hak masing-masing. Yang penting niat dan tujuan kita melaku sesuatu.
Begitu juga dengan penglibatan Pejuang di dalam pilihan raya Negeri Johor.
Kita bertanding kerana kita tidak mahu kumpulan yang tidak amanah,rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa dan terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama dan Negara.
Kuasa itu bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuas nafsu duniawi. Ia untuk melepas Negeri dari cengkaman mereka yang sedemikian.
Kerana itu perjuangan ini menjadi satu tanggungjawab, satu amanah yang perlu dipikul oleh setiap dari kita yang mempunyai kesedaran.
Pasti juga yang akan mempertikai dan bertanya apa beza Pejuang dan parti-parti lain.
Pejuang berbeza kerana ia ditubuh oleh mereka yang sanggup melepas jawatan dan kedudukan kerana prinsip perjuangan.
Pejuang juga berbeza kerana ia terdiri dari mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.
Saudara dan saudari di Johor seharusnya merasa bangga kerana dipimpin oleh Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang sanggup melepas jawatan
dan kedudukan kerana tidak mahu bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.
Dr Shahruddin berdiri sebagai bukti bahawa pejuang-pejuang kita tidak meletak kepentingan diri sebagai objektif perjuangan.
Namun kita juga sedar laluan yang kita ambil bukanlah mudah. Tetapi perjuangan lahir dari jalan-jalan yang berliku yang penuh dengan onak dan duri.
Keberanian menghadapi cabaran; yakin bahawa perjuangan kita itu suci dan ikhlas; mempertahan agama, bangsa dan tanah air itu satu tanggungjawab, satu amanah dan juga satu ibadah; InsyaAllah, kita tidak akan tergelincir dari landasan kebenaran.
Saya yakin saudara-saudari akan sentiasa teguh memegang amanah dan tanggungjawab ini.
Saya juga berdoa agar perjuangan kita akan sentiasa dirahmati dan mendapat keredhaaan Allah SWT.
Teruskan perjuangan dan jangan sekali-kali kita mundur, tidak kira apa rintangan dan cabaran yang mendatang.
Terima kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam perjuangan
WAJIB BACA:
KLUSTER MAHKAMAH BINCANG KEMUNGKINAN PRU15 SERENTAK PRN JOHOR, NAMUN ADA KRISIS
