“Menurut sumber dalaman dari UMNO dan PPBM, ramai ahli parlimen daripada kedua-dua parti itu dijangka membuat keputusan sendiri Khamis ini tanpa mengambil kira kehendak pucuk pimpinan parti”
Raggie Jessy Rithaudeen
سورت تڠكو غزالياغ باكل ءسڠتء محي الدين
Tengku Razaleigh Hamzah didakwa mengedarkan suratnya mengenai Usul Tidak Percaya di meja semua ahli parlimen awal pagi tadi.
Pengedaran surat itu menimbulkan spekulasi akan berlaku kejutan Khamis ini apabila dasar Belanjawan 2021 diundi di Dewan Rakyat.
Surat tersebut, yang merupakan balasan Tengku Razaleigh kepada kenyataan Azhar bulan lalu, meletakkan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai syarat untuk veteran UMNO itu terlibat dengan perbahasan Belanjawan 2021.
Pendirian Tengku Razaleigh mendapat pujian daripada ramai netizen yang rata-ratanya terkejut tetapi bersetuju bahawa keengganan Azhar membenarkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin diberi keutamaan merupakan peristiwa hitam dalam sejarah demokrasi negara.
Menurut sumber dalaman dari UMNO dan PPBM, ramai ahli parlimen daripada kedua-dua parti itu dijangka membuat keputusan sendiri Khamis ini tanpa mengambil kira kehendak pucuk pimpinan parti.
Setakat yang saya difahamkan, beberapa ahli parlimen dari PPBM sudah mula merapati Tengku Razaleigh dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) kerana tidak berpuas hati dengan Muhyiddin dan kerjasama PPBM-Team A (UMNO).
Pengundian Khamis ini dijangka akan digunakan oleh ramai ahli parlimen sebagai pentas untuk menolak Belanjawan 2021 atas empat sebab:
1. Kegagalan Belanjawan 2021 mengutamakan permasalahan rakyat dan perang Covid-19 dan kerangka utama belanjawan tersebut yang dilihat terlalu menitikberatkan pengagihan dana untuk tujuan politik
2. Belanjawan 2021 disyaki dirangka sebegitu rupa untuk membantu propaganda kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
3. Unjuran pendapatan kerajaan dan kadar pengangguran bagi tahun 2021 tidak masuk akal dan mustahil dikecapi.
4. Kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Speaker Dewan Rakyat memberi keutamaan kepada usul tidak percaya yang dibentangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menentukan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sabtu lalu, saya menulis:
Zahid tidak lagi menguasai UMNO, dan segala apa yang diperkatakannya tidak lagi diterima oleh majoriti ahli-ahli parlimen dalam parti itu.
Bukan hanya Zahid sah menipu dan memperdaya semua ahli parlimen Barisan Nasional dalam isu sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (rujuk artikel bawah), majoriti ahli-ahli parlimen dari UMNO memandang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai presiden de facto parti itu.
Ya, Tengku Razaleigh Hamzah.
Sebab itulah Najib dikerahkan untuk membuat tuntutan terhadap Perikatan Nasional bagi pihak Zahid. Satu Malaysia tahu bahawa Zahid tidak lagi menguasai UMNO, malah Zahid sendiri pernah mengaku bahawa beliau “tidak dapat mengawal ahli-ahli parlimen Barisan Nasional.”
Jika itu keadaannya, masakan ahli-ahli parlimen ini akan melayan kenyataan yang dibuat oleh Najib, lebih-lebih lagi setelah mendapat tahu komplot yang dirancang oleh Zahid dan Najib bersama Anwar.
Hakikatnya, UMNO kini bukan hanya terbahagi kepada Team A (Najib-Zahid) dan Team B (Ku Li), Team B merupakan “UMNO sebenar,” atau “UMNO 3.0,” manakala Team A, yang hanya disokong oleh sembilan hingga sepuluh ahli parlimen, merupakan “UMNO atas kertas.”
Biarpun ahli-ahli “UMNO 3.0” senyap pada ketika ini, mereka sedang mengorak langkah. Bagi mereka, tidak ada gunanya bercakaran dengan Zahid dan Najib yang nyata tidak sedar diri dan bermimipi di siang hari.
Bila sampai masanya untuk mengundi dasar Belanjawan 2021 atau membuat sebarang keputusan lain, ahli-ahli “UMNO 3.0” ini akan membuat ketetapan masing-masing berdasarkan Peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan keahlian mereka dalam Dewan Rakyat, bukannya keahlian mereka dalam “UMNO atas kertas” pimpinan Zahid.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
