SURAT TERBUKA KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG 

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Sumber (gambar): The Sun Daily

8 April 2019

3 Sha’ban 1440

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong


Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan kebesaran dan kemuliaan yang dikurniakan Allah, Raja Segala Raja.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ampun Tuanku,

Dengan segala hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa ke Hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada dalam bimbingan, perlindungan, afiat dan kerahmatan dari Allah setiap masa dan berlanjutan sampai akhirat nanti.

Ampun Tuanku,

MEMOHON SEMBAH MAKLUM PANDANGAN PATEK AKAN PERLUNYA TUANKU DIBERI KUASA MEMECAT PERDANA MENTERI

Daulat Tuanku!

Patik dengan penuh takzim menerusi warkah ini, ingin merafakkan sembah akan perjuangan hamba-hamba rakyat Tuanku di Gerakan Bangsa Nasional (GBN) bagi memartabatkan kedudukan Islam di Malaysia agar Islam dihormati oleh semua lapisan masyarakat sebagai agama rasmi persekutuan dengan Tuanku dijunjung sebagai Ulul-Amri (Amir) untuk negara Malaysia dalam ertikata yang sebenarnya.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patek harap diampun,

Tuanku merupakan payung kepada semua orang Melayu-Islam dan kaum lain selaku hamba-hamba rakyat Tuanku yang menjunjung kasih Tuanku sebagai Raja mereka. Orang Melayu-Islam di Malaysia sememangnya terkenal dengan ketaatan dan kesetiaan mereka terhadap Raja-Raja dan berpegang teguh bahawa Tuanku merupakan Ulul-Amri (Amir) untuk negara. Justeru, bukan hanya Tuanku merupakan satu-satunya ketua untuk orang Melayu-Islam dan ketua kepada semua rakyat Malaysia, Tuanku turut merupakan satu-satunya harapan rakyat agar sistem pentadbiran di negara tercinta ini sentiasa berpaksikan kebenaran dan tidak tersasar dari nilai peradaban Islam.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patek harap diampun,

Menurut sejarah Islam, empat orang sahabat Nabi Muhammad SAW telah menjadi khalifah dan dikenali sebagai Khulafa Ar-Rasyidin atau Khulafa Ar-Rasyidun (jamak kepada Khalifatur Rasyid) yang membawa maksud wakil-wakil atau khalifah-khalifah yang benar atau lurus. Mereka mewarisi kepimpinan Nabi Muhammad Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda Muhammad. Pada ketika itu, salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW telah dilantik menjadi Raja. Justeru, apabila orang Islam terdiri daripada orang yang beriman maka sistem pemerintahan khalifah atau sistem Beraja adalah sistem yang paling sesuai untuk dilaksanakan.

Orang Islam di Malaysia akan menjadi orang yang beriman kepada Allah SWT apabila mereka menjalankan kerja yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan bersungguh-sungguh. Untuk itu, kepimpinan negara memerlukan seorang Amir yang mampu membimbing rakyat ke arah yang benar selaras dengan perintah Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Jika Malaysia ingin melaksanakan sistem pemerintahan Islam, maka sistem pemerintahan beraja adalah sistem yang paling sesuai untuk dilaksanakan.

Menerusi sistem ini, Tuanku selaku Yang Di-Pertuan Agong dan Amir kepada rakyat Malaysia, akan bersama-sama dengan ahli ahli majlis mesyuarat menentukan perlantikan Perdana Menteri. Perdana Menteri pula akan melantik menteri kabinet menerusi perkenan Tuanku bagi membantunya menjalankan tugas-tugas perlaksanaan polisi dan arahan sepertimana ianya diputuskan oleh Tuanku. Di sini, Tuanku akan memiliki kuasa eksekutif mutlak dan tidak wajib mendengar nasihat Perdana Menteri.

Malangnya, sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia hari ini tidak berfungsi seperti itu. Hari ini, Tuanku lebih berfungsi sebagai ketua eksekutif simbolik dan tidak memiliki kuasa eksekutif mutlak. Ini sekaligus bermakna peranan Tuanku selaku Amir menjadi kurang aktif dan berkesan. Hakikatnya, sistem Raja Berpelembagaan adalah berpandukan sistem demokrasi yang tidak pernah diguna pakai oleh Nabi Muhammad SAW, sahabat-sahabat Nabi dan orang-orang Islam terdahulu. Sistem ini merupakan sistem pemerintahan yang dicipta oleh orang-orang Rom kuno yang terdiri dari kalangan mereka yang bukan Islam. Dalam sistem ini, golongan majoriti akan diberi kuasa untuk memerintah biarpun mereka terdiri dari kalangan orang yang buruk.

Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patek harap diampun,

Tidak seharusnya wujud keadaan di mana umat Islam di Malaysia tidak mempunyai Amir dalam ertikata yang sebenarnya. Hakikatnya, jika umat Islam di Malaysia tidak mempunyai Amir dan tidak melakukan apa-apa, mereka tidak mentaati perintah Allah. Sistem Raja Berpelembagaan yang ada hari ini membenarkan ketua parti politik yang memiliki bilangan majoriti di parlimen dilantik sebagai Perdana Menteri. Adalah tidak wajar sekiranya Tuanku dilantik dari kalangan Raja-Raja Melayu sebagai Yang Di-Pertuan Agong dan bergelar Amir tetapi tidak memiliki kuasa untuk memecat Perdana Menteri.

Hakikatnya, Perdana Menteri bukanlah Ulul-Amri, kerana menurut Islam, tidak boleh wujud dua Amir pada satu-satu masa. Apabila dikaji secara teliti, Perdana Menteri Malaysia tidak mampu dikawal oleh Tuanku sekiranya gagal menjalankan tugas dengan baik sepertimana yang patut. Ini memandangkan Tuanku tidak berkuasa untuk melucutkan jawatan Perdana Menteri dan mengambil alih tugas beliau tanpa apa-apa sekatan biarpun negara berada dalam keadaan huru hara atau umat Islam dikecam musuh Islam. Atas kesedaran ini lah GBN membuat keputusan untuk mendesak kerajaan Malaysia agar Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya Tuanku diberi kuasa sepenuhnya untuk memecat Perdana Menteri tanpa sekatan dari mana-mana pihak sekiranya hajat Tuanku dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.

Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patek harap diampun,

Patek berpendangan bahawa kuasa mutlak untuk mentadbir negara ini seharusnya milik Tuanku dan Raja-Raja Melayu sepenuhnya dan bukanlah milik ahli ahli politik. Hakikatnya, kuasa dan kemuliaan adalah milik Allah dan tiada yang memiliki kuasa dan kemuliaan kecuali Allah. Mengikut ajaran Islam, adalah menjadi perintah Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW ‘apabila ada tiga orang dikalangan kamu, salah seorangnya mesti menjadi Amir’. Amir diberikan amanah dengan kuasa dan Amir mestilah menggunakan kuasa untuk menegakkan perintah-perintah Allah. Selagi seseorang yang dilantik itu menjadi Amir, selagi itu semua arahannya yang tidak bertentangan dengan perintah Allah mestilah didengar, ditaati dan diikuti.

Maka, Malaysia mestilah mempunyai Amir yang dirahmati oleh Allah SWT. Sistem Raja Berperlembagaan yang diguna pakai hari ini merupakan sistem yang diwarisi dari puak bukan Islam yang pernah menjajahi tanah air tercinta ini. Puak tersebut memperlekehkan Institusi Diraja dengan membenarkan Raja-Raja Melayu digelar Amir tanpa memberikan mereka kuasa eksekutif sepenuhnya. Ini secara tidak langsung menjadikan Perdana Menteri lebih berkuasa daripada Yang DiPertuan Agong dalam hampir semua hal yang melibatkan cabang eksekutif Kerajaan Persekutuan.

Maka sudah tiba masanya untuk kita umat Islam memperbetulkan keadaan ini dengan menuntut agar Raja Berperlembagaan diberikan kuasa memecat Perdana Menteri agar perintah Allah dan sunnah Nabi Muhammad SAW ditaati setiap masa. Kami di GBN berikrar akan menumpukan sepenuh perhatian dalam menuntut perkara ini agar Tuanku diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai Amir dalam ertikata yang sebenar. Patek dengan ini mengakhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekali lagi mempersembah pohonan ampun atas apa jua kekhilafan patik menerusi warkah ini.

Payungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berserta Duli-Duli Raja-Raja seluruhnya, akan meletakkan negara ini kekal merdeka, berdaulat, aman, makmur dan diredhai Maha Pencipta.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya;

Rosdzaman Dato’ Mohd Yusup

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...