6 Oktober 2020
Safar 19, 1442 AH
Menghadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan kebesaran dan kemuliaan yang dikurniakan Allah, Raja Segala Raja.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Ampun Tuanku,
Dengan segala hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa ke Hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada dalam bimbingan, perlindungan, afiat dan kerahmatan dari Allah setiap masa dan berlanjutan sampai akhirat nanti.
Ampun Tuanku,
MENJUNJUNG KASIH TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG BERHUBUNG CADANGAN PELETAKKAN JAWATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-8, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Daulat Tuanku!
Patik dengan penuh takzim menerusi warkah yang ringkasnya seperti ini, merafakkan sembah rayuan patik selaku hamba Tuanku terhadap Tuanku yang hamba sanjungi sebagai Raja Berperlembagaan, Ketua Agama Islam dan Ulil Amri kepada hamba Tuanku semua untuk menasihati Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun,
Tuanku merupakan payung kepada semua orang Melayu-Islam dan kaum lain selaku hamba rakyat Tuanku yang menjunjung kasih Tuanku sebagai Ketua Utama Negara dan Ketua Agama Islam. Tuanku turut dijunjung sebagai “the people’s ruler” (raja berjiwa rakyat) dan begitu dikagumi segenap lapisan masyarakat. Justeru, patik pasti segala apa keputusan yang dicapai oleh Tuanku adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terjamin di samping memastikan bahawa kemuliaan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan Institusi Diraja sebagai payung negara serta lambang perpaduan dan penyumbang kepada kelangsungan kemajuan ekonomi rakyat terus dimartabatkan.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun,
Sudah tiba masanya untuk kita rakyat Malaysia mengakui kerakusan kuasa puak pentadbir pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama UMNO dan PAS serta politik “dua darjat,” “petik dalil” dan “Wang, Kuasa serta Kedudukan” (WKK) yang dilihat menjadi asas dan tonggak perjuangan menteri-menteri kerajaan dan ahli-ahli parlimen pro-kerajaan. Sudah tiba masanya untuk kita mengakui ancaman puak pentadbir ini terhadap Agama, Bangsa dan Negara, di mana ancaman ini sungguh hebat dan tidak pernah jadi sepertinnya di zaman-zaman pentadbiran sebelum ini.
Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patik harap diampun,
Tatkala puak pentadbir bermaharajalela dengan politik “dua darjat,” “petik dalil” dan “Wang, Kuasa serta Kedudukan” (WKK), rakyat jelata selaku hamba-hamba Tuanku hidup seksa akibat daripada sikap kerajaan yang memerintah secara “kuku besi” dan menghukum orang awam atas kesalahan-kesalahan kecil. Tatkala menteri dan ahli-ahli parlimen terang-terang melanggar SOP di peringat persekutuan dan di Sabah, hamba-hamba Tuanku diheret ke Mahkamah dan dikenakan tindakan begitu tegas walaupun sekadat “memakai topeng muka dengan cara yang tidak betul.”
Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patik harap diampun,
Hamba-hamba Tuanku ramainya mengalami pelbagai kesempitan hidup akibat dari wabak Covid-19 tatkala pentadbiran persekutuan sibuk bercakaran, bercatur kuasa dan kedudukan serta mengayakan diri masing-masing dengan pengagihan jawatan dalam kadar yang tidak pernah dilihat sepertinya sebelum ini, berbekalkan dana negara milik rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membantu hamba-hamba Tuanku.
Pentadbiran persekutuan turut sibuk bercatur menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri pilihan rakyat tatkala wabak Covid-19 melanda sehingga tumbangnya beberapa kerajaan negeri secara “pintu belakang” dan tercetusnya Pilihan Raya Negeri di Sabah.
Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patik harap diampun,
Patik dengan ini mengakhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan menyembah pohon kepada Tuanku, dengan penuh rasa rendah diri, untuk terus diberikan petunjuk dan teguran sekiranya patik tersilap langkah atau terkhilaf dalam perjuangan patik yang berterusan untuk memartabatkan lagi maruah Agama, Bangsa dan Negara serta Institusi Diraja sebagai payung negara.
Patik dengan ini mengakhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekali lagi mempersembah pohonan ampun atas apa jua kekhilafan patik menerusi warkah ini.
Payungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berserta Duli-Duli Raja-Raja seluruhnya, akan meletakkan negara ini kekal merdeka, berdaulat, aman, makmur dan diredhai Maha Pencipta.
Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.
Amin Ya Rabbal Alamin
Ampun Tuanku,
Patik dengan segala hormat takzimnya;
Raggie Jessy Rithaudeen
WAJIB BACA:
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
