
(Harian Metro): Percubaan untuk menyelesaikan kes saman fitnah antara Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh gagal selepas kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan dalam proses mediasi di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.
Berikutan itu kes berkenaan diteruskan dengan perbicaraan penuh pada 12 dan 13 Februari depan di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim.
Proses mediasi itu dilakukan di hadapan Timbalan Pendaftar Bahagian Pengantaraan (Mediasi), Suzana Mokhtar di Bilik Mediasi Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.
Sebelum ini Teresa menghantar surat tuntutan kepada Dr Muhamad Akmal, meminta ganti rugi RM25 juta selain kos guaman dan perbelanjaan lain selepas mendakwa kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu terhadapnya mengenai isu pensijilan halal menerusi video dimuat naik ke TikTok, Facebook dan Instagram pada 7 September 2024 adalah tidak benar, berniat jahat serta bernada perkauman.

Melaka: Percubaan untuk menyelesaikan kes saman fitnah antara Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh gagal selepas kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan dalam proses mediasi di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.
Berikutan itu kes berkenaan diteruskan dengan perbicaraan penuh pada 12 dan 13 Februari depan di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim.
Peguam mewakili Teresa, Datuk SN Nair berkata, mediasi yang berlangsung hampir sejam itu diadakan mengikut arahan mahkamah, namun kedua-dua pihak tidak berjaya mencapai penyelesaian.
“Kami tidak dapat mencapai satu persetujuan di mediasi, oleh itu akan terus ke mahkamah untuk perbicaraan pada 12 dan 13 Februari depan.
“Walaupun ada alasan (kegagalan perbincangan), kami tak boleh sebutkan kepada luar daripada mahkamah,” katanya ketika ditemui media di luar bilik mediasi.
Menurutnya, kedua-dua pihak tidak dibenarkan mendedahkan butiran perbincangan selari dengan arahan mahkamah, namun mengesahkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan sebelum ini kekal.
Teresa ketika ditanya sama ada berpuas hati dengan perbincangan itu hanya menyatakan pihaknya akan berjumpa Dr Muhamad Akmal di mahkamah.
“Kami tidak mencapai persetujuan untuk selesaikan di luar mahkamah, jadi jumpa di mahkamah bulan dua,” katanya.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal yang diwakili peguam Syahrul Sazwan Salehin berkata, pihaknya menghormati arahan untuk mengadakan mediasi namun bersedia untuk memasuki perbicaraan penuh.
“Hari ini saya boleh rumuskan mediasi tidak berjaya. Insya-Allah, kita tunggu perbicaraan bulan dua… kita lawan nanti,” katanya.
Proses mediasi itu dilakukan di hadapan Timbalan Pendaftar Bahagian Pengantaraan (Mediasi), Suzana Mokhtar di Bilik Mediasi Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.
Sebelum ini Teresa menghantar surat tuntutan kepada Dr Muhamad Akmal, meminta ganti rugi RM25 juta selain kos guaman dan perbelanjaan lain selepas mendakwa kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu terhadapnya mengenai isu pensijilan halal menerusi video dimuat naik ke TikTok, Facebook dan Instagram pada 7 September 2024 adalah tidak benar, berniat jahat serta bernada perkauman.
Writ saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka pada 14 Oktober 2024.
Sumber:
