Takiyuddin: Kerajaan BN dulu pun beri pinjaman, tak pernah hina Kelantan seperti Guan Eng

Ahli Parlimen pembangkang mendesak Menteri Kewangan,  Lim Guan Eng menarik balik kenyataan yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak ada duit untuk membayar gaji kakitangan awam.

“Kerajaan BN dulu pun beri pinjaman, tak pernah menghina kerajaan Kelantan seumpama ini,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Pagi tadi, Lim Guan Eng mendakwa di Dewan Rakyat bahawa kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak mempunyai duit untuk membayar gaji kakitangan.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mendesak Menteri Kewangan,  Lim Guan Eng menarik balik kenyataan yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak ada duit untuk membayar gaji kakitangan awam.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan Guan Eng kononnya Kelantan tidak mempunyai duit untuk membayar gaji kakitangan  ialah satu penghinaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas itu.

“Kami ahli parlimen pembangkang, dengan ‘standing order’ minta Menteri Kewangan tarik balik perkataan ini kerana sebut kerajaan negeri (Kelantan) tak ada duit bayar gaji kakitangan awam, ini satu penghinaan, tak pernah berlaku dalam Malaysia ini.

“Kalaupun kerajaan negeri itu kekurangan kewangan, meminta pinjaman daripada kerajaan pusat, itu perkara biasa, mana ada kerajaan negeri tak meminjam daripada kerajaan pusat,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa sebelum ini, kerajaan BN juga memberikan pinjaman namun tidak pernah menghina Kelantan seperti itu.

“Kerajaan BN dulu pun beri pinjaman, tak pernah menghina kerajaan Kelantan seumpama ini.

“Kami rasa kenyataan yang dikeluarkan menteri kewangan menghina kerajaan Kelantan, semua kerajaan negeri  yang meminjam sebagainya satu penghinaan, kononnya kerajaan sekarang ini PH seolah-olah tak buat pinjamanlah,” sindirnya.

Hal demikian, ahli Parlimen pembangkang mendesak Guan Eng sama ada di dalam atau luar dewan untuk menarik balik perkataan tersebut dan meminta maaf terhadap dakwaan tersebut.

“Sekiranya beliau tidak mengemukakan permintaan maaf dan tarik balik, kami mungkin buat satu usul supaya beliau  dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,bahawa ahli itu boleh dirujuk hak dan kebebasan kesalahan itu, semua orang dengar.

“Saya rasa bukan hanya terhadap penghinaan kerajaan negeri sahaja tapi seluruh rakyat negeri tersebut.

“Negeri Kelantan dapat pencapaian lima bintang indeks pengurusan kewangan 2015, perbadanan Menteri Besar Kelantan empat bintang, perbadanan ikhtisas negeri Kelantan 5 bintang, anugerah kecemerlangan sama 2016 ini pengurusan kewangan berhemah pada pandangan PAC,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Guan Eng ini satu penghinaan dan salah kenyataan, ia satu kenyataan memesongkan Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Guan Eng mengulang pendiriannya bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu untuk membayar gaji kakitangan awam.

Katanya, fakta ini pernah disebutkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Kelantan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk membayar gaji kakitangan awam maka sudah semestinya tidak mampu untuk mengambil alih pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Sumber: Sinar Online

Comments

Comments


Loading...