“Saya akan huraikan perkara ini dengan lebih lanjut (setakat mana yang perlu) menerusi satu sidang live pada pukul 9 malam esok menerusi Facebook Raggie Jessy Rithaudeen (klik di sini) dan beberapa saluran lain”
Raggie Jessy Rithaudeen
Berikut merupakan soalon-soalan yang diajukan kepada saya (dalam biru) oleh Nur Rashidin Maswari menerusi email [email protected] dan jawapan-jawapan saya menurut pemahaman saya terhadap situasi politik terkini.
1. Siapakah sebenarnya Pengerusi Bersatu ketika ini?
Perkara ini sebenarnya sudahpun diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar.
Pada 7hb April 2020, Hamid memaklumkan bahawa Tun Dr Mahathir tidak dicabar untuk jawatan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas proses penamaan calon ditutup baru-baru ini.
“Jawatan pengerusi hanya seorang calon dan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, masing-masing ada dua orang calon selepas ditolak pencalonan mereka yang tidak layak,” katanya.
Dalam satu kenyataan pada 29hb Febuari 2020, presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau memangku jawatan pengerusi parti susulan keputusan Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 24hb Februari 2020.
Kenyataan beliau menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli-ahli parti memandangkan Muhyiddin sendiri terlibat dalam satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang menolak peletakan jawatan Mahathir.
Susulan itu, Mahathir bersetuju mempengerusikan kembali PPBM sebelum beliau menang jawatan tersebut tanpa bertanding pada 16hb Mac 2020.
Apa pun, Mahathir kini bergelar pengerusi PPBM yang sah sepertimana yang diumumkan oleh Syed Hamid Albar.
2. Adakah tindakan penolakkan surat perletakkan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu oleh MPT Bersatu yang dihadiri sendiri oleh Presiden Bersatu dan PM ke-8 cukup untuk membuktikan bahawa jawatan tersebut masih lagi disandang oleh Tun Mahathir?
Ya.
Ini memandangkan keputusan MPT Bersatu merupakan keputusan parti pada tahap kepimpinan tertinggi menurut peruntukan perlembagaan parti.
3. Tun Mahathir terlihat tidak berapa terkilan terhadap penglibatan Datuk Seri Azmin Ali dalam isu PM ke-8. Adakah ia merupakan satu perangkap buat Perikatan Nasional? Perikatan Nasional tidak mempunyai bilangan ahli parlimen yang selesa dan peristiwa Langkah Sheraton mampu berulang.
Ya, tidak mustahil peristiwa yang seakan-akan sama dengan peristiwa Sheraton berulang selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat.
Tetapi apa yang pasti, penglibatan Azmin dalam isu pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-8 bukannya satu perangkap.
Mahathir sebenarnya tahu Azmin tersilap langkah dan tidak mempunyai masa depan cerah dalam PPBM kerana tidak memiliki sokongan akar-umbi yang kuat.
Atas sebab itulah beliau lebih bertumpu kepada Muhyiddin biarpun pengkhianatan terbesar dilakukan oleh Azmin (rujuk artikel bawah bagi penjelasan sepenuhnya).
Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Lima): Impian Azmin menjadi Perdana Menteri…
Sepintas lalu, Azmin merupakan individu yang bertanggungjawab meyakinkan Muhyiddin untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Perkara ini berlaku tidak lama selepas Muhyiddin mengumumkan sokongan penuh ahli-ahli Dewan Rakyat PPBM terhadap pencalonan Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Mahathir cukup tahu Muhyiddin akhirnya akan terpaksa bekerjasama juga dengannya memandangkan masa depan Muhyiddin tidak begitu terjamin dalam Perikatan Nasional.
Malah, sebilangan tertentu ahli parlimen dan ketua bahagian dari PPBM sudah mula rasakan kerjaya mereka bakal tergugat dan telah mengadakan komunikasi dengan kem Mahathir.
4. Tun Mahathir terkenal sebagai seorang yang pantang mengaku kalah. Adakah apa yang berlaku sekarang ini telah diramal oleh beliau dan merupakan salah satu daripada gameplan beliau yang sebenar? Ketika ini beliau merupakan PM yang paling singkat memerintah. Sekiranya beliau berjaya menumbangkan PM ke-8, maka PM ke-8 adalah PM yang paling singkat tempoh pemerintahannya. Saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak dijangka oleh pihak Perikatan Nasional sekarang.
Analisis ini agak tepat.
Saya akan huraikan perkara ini dengan lebih lanjut (setakat mana yang perlu) menerusi bahagian ke-8 siri berjudul “Komplot Tumbangkan Kerajaan Muhyiddin” (rujuk link di atas).
Saya turut akan huraikannya menerusi satu sidang live pada pukul 9 malam esok menerusi Facebook Raggie Jessy Rithaudeen (klik di sini) dan beberapa saluran lain.
