Raggie Jessy Rithaudeen
Sejak pagi tadi, ada bermacam-macam pandangan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak berhubung pencalonan wakil Barisan Nasional dari MCA di pilihanraya kecil (PRK) Tanjung Piai, termasuk dari Pengerusi Bersama GBN, Rosdzaman Dato’ Haji Mohd Yusup.
Ada yang berpendapat bahawa pencalonan tersebut adalah eksklusif kepada Barisan Nasional dan tidak harus dibincangkan oleh mana-mana pihak yang tidak merupakan ahli kepada gabungan pembangkang tersebut.
Di sini, ingin saya tegaskan bahawa isu pencalonan oleh mana-mana parti politik di mana-mana kawasan sememangnya merupakan isu bersama kerana rakyatlah yang akhirnya akan menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah.
Malah, perbincangan sebegini wajar, memandangkan wakil rakyat dari sesebuah parti bukan hanya berkhidmat untuk partinya sendiri tetapi juga untuk semua pengundi di kawasan yang diwakilinya, baik dari kalangan mereka yang mengundinya mahupun mereka yang menolaknya.
Dalam konteks perpaduan ummah pula, isu pencalonan merupakan satu isu yang harus dipikul oleh semua yang bergelar umat Islam, lebih-lebih lagi selepas pemimpin-pemimpin dari PAS, UMNO, PPBM dan PKR bersalam-salaman ketika Kongres Maruah Melayu sambil melaung-laungkan penyatuan di pentas yang sama.
Saya berharap laungan ini bukanlah sekadar gelegar buluh semata-mata atau sandiwara untuk meredakan gelombang permuafakatan dan kesedaran yang makin lama makin merebak di kalangan masyarakat Melayu-Islam.
Apapun, janganlah digembar-gemburkan sesuatu perbincangan sehingga ianya menjadi polemik yang merugikan semua apabila kita terlepas pandang isu-isu semasa yang lebih serius. Masing-masing dah utarakan pandangan, biarlah BN buat keputusan.
Saya mengambil sikap berkecuali buat ketika ini dan akan berbincang dengan rakan-rakan saya di GBN tidak lama lagi sebelum memberikan pandangan berhubung pencalonan kedua-dua wakil dari PH dan BN.
Pandangan ini akan dibuat menerusi satu sidang live pada pukul 11 malam menerusi FB Raggie Jessy Rithaudeen dan juga Gerakan Bangsa Nasional.
