Tanpa Mahathir, UMNO akan karam

“Jika UMNO ingin kekal relevan, kepimpinannya perlu berpaut pada realiti dan mempelawa Mahathir untuk kembali menerajui parti itu menerusi Perhimpunan Agung Tergempar (EGM)”

Raggie Jessy Rithaudeen

تنڤا محضير، امنو اكن كارم

Pada 16hb Januari 2021, saya menulis:

Disebabkan Darurat, Muhyiddin dijangka kekal berkuasa tidak kira berapa ramai ahli parlimen UMNO menarik sokongan darinya melainkan Yang Di-Pertuan Agong sendiri menitahkan Muhyiddin untuk letak jawatan dan melantik Perdana Menteri interim.




Zahid dan Najib pula amat tertekan disebabkan kes-kes Mahkamah yang akan diputuskan tidak lama lagi, di mana Najib berkemungkinan besar akan disabit bersalah di peringkat persekutuan sebelum tamat tempoh Darurat.

Persoalannya, adakah Zahid dan Najib akan memohon maaf kepada Muhyiddin sebelum bersetuju untuk menggabungkan UMNO dan PPBM dan menyerahkan jawatan presiden “UMNO 3.0” kepada Muhyiddin?

Atau adakah Team B pimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mencetuskan Perhimpunan Agung Tergempar (EGM) untuk memecat Zahid dan Najib sebelum mempelawa Mahathir untuk kembali menerajui UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-15?

Mungkinkah juga Team B membuat kejutan dan mempelawa Muhyiddin untuk menerajui UMNO, dan apakah itu sebabnya Muhyiddin berbaik-baik dengan Hishammuddin baru-baru ini?

Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari awal lagi adalah untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia mewakili Barisan Nasional.

Malangnya, rancangan itu terbantut apabila Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak memecat beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 sebelum melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penggantinya.

Tetapi bukan itu sahaja yang meyakitkan hati Muhyiddin.

Loading...

Setahun selepas pemecatannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Najib bertindak memecatnya dari UMNO atas alasan bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk menyerang kepimpinan UMNO.

Penyingkiran Muhyiddin menyebabkan beliau turut kehilangan jawatan timbalan presiden UMNO yang disandangnya sejak bulan April 2009 apabila beliau berjaya menumpaskan pencabarnya di Pilihan Raya parti tahun itu.

Yang paling memedihkan ialah pelantikan Zahid bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Muhyiddin, sekaligus bermakna Zahid mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi Perdana Menteri seandainya berlaku peralihan kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Justeru, satu-satunya cara bagi Muhyiddin memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri mewakili Barisan Nasional ialah dengan menumpaskan gabungan itu terlebih dahulu menerusi kerjasamanya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemudian, dengan menggunakan parti “pengganti UMNO” (PPBM) yang beliau sendiri bantu daftarkan, Muhyiddin bertindak meruntuhkan kerajaan baharu yang didirikan oleh Mahathir dengan berpura-pura berbaik dengan Zahid.

Langkah seterusnya ialah menggandingkan PPBM dengan PAS secara rasmi dalam gabungan Perikatan Nasional agar UMNO tidak mempunyai alasan untuk tidak bersama PPBM di bawah satu bumbung.

Kesemua ini dilakukan bagi memenuhi impian Muhyiddin untuk menggabungkan PPBM dan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut perkhabaran, nama yang dicadangkan oleh Muhyiddin bagi parti gabungan baharu itu ialah “Bersatu-UMNO.” Maka sudah pasti gabungan itu akan beransur-ansur dikenali sebagai “UMNO” sepertimana “UMNO Baru” dulu disingkatkan kepada “UMNO.”

Memandangkan Muhyiddin kini sudah menyandang jawatan Perdana Menteri, sudah pastilah beliau akan menjawat jawatan presiden “UMNO 3.0,” sekaligus memenuhi impiannya untuk menjadi Perdana Menteri mewakili Barisan Nasional.

Malangnya, rancangan ini turut terbantut apabila Zahid dan Najib enggan melibatkan UMNO secara langsung dalam Perikatan Nasional dan terus menggunakan komitmen UMNO terhadap Muafakat Nasional sebagai alasan.

Pada awalnya, Muhyiddin berdiam diri.

Tetapi apabila Zahid mengugut untuk menarik balik sokongan UMNO terhadap Perikatan Nasional dan setelah ahli parlimen Machang bertindak menarik sokongannya terhadap Muhyiddin secara rasmi, Muhyiddin bertindak mendapatkan persetujuan Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat.

Disebabkan itu, Zahid kini menerima tekanan hebat dari dalam UMNO untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden parti, dan desakan agar beliau berundur turut dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh.

Tetapi dalam pada Muhyiddin melakukan semua ini, tahap kebencian rakyat terhadapnya mencecah paras luasbiasa, jauh melebihi tahap kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Di dalam UMNO sendiri, tahap kebencian akar umbi terhadap Muhyiddin dan Perikatan Nasional begitu hebat sehingga majoriti pemimpin bahagian menekan kepimpinan parti untuk memutuskan terus hubungan UMNO dengan PPBM.

Justeru, jika Muhyiddin meneruskan juga rancangannya untuk menggabungkan PPBM dan UMNO, satu kelompok besar terdiri daripada pemimpin bahagian dan akar umbi dijangka akan beralih sokongan ke blok kuasa ketiga pimpinan Mahathir.

Sebaliknya, jika Muhyiddin bertindak mengharamkan UMNO sebelum menjenamakan semula PPBM, kelompok yang sama akan beralih sokongan atas dasar “benci Muhyiddin dan benci Perikatan Nasional.”

UMNO pula tidak akan mampu bekerjasama dengan PPBM menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 kerana perkara ini ditentang oleh majoriti pemimpin bahagian dan akar umbi.

Namun, jika UMNO berlaga dengan PPBM di mana-mana kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, perpecahan dalam undi Melayu-Islam yang sudah pasti menyusul akan menguntungkan terus blok kuasa ketiga pimpinan Mahathir.

Ya, pandang kiri kanan, yang untung blok kuasa ketiga.

Justeru, jika UMNO ingin kekal relevan, kepimpinannya harus berpaut pada realiti dan mempelawa Mahathir untuk kembali menerajui parti itu menerusi Perhimpunan Agung Tergempar (EGM).

Sekiranya UMNO tidak melakukan demikian, blok kuasa ketiga tetap akan mendahului semua dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan dijangka akan merampas banyak kerusi UMNO di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



Your donation is much appreciated and will go a long way towards helping us serve you better. Click the donate button below to make a contribution (you don't need a Paypal account to donate through Paypal, simply follow the instructions once you click the button).


SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...