“Saya berharap Tengku Razaleigh Hamzah yang amat saya sanjungi dan hormati akan membuat satu kenyataan politik berprinsip dalam masa terdekat dengan mengisytiharkan keluar dari UMNO dan berdiri bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai calon Blok Bebas Kuasa Ketiga”
Raggie Jessy Rithaudeen
Kegagalan Team A pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib untuk mendapat sokongan padu UMNO, DAP dan AMANAH ke arah pembentukan sebuah gabungan kerjasama antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat sokongan majoriti.
Justeru, peluang bagi Team A mencetuskan pembentukan kerajaan baharu dalam dengan Anwar sebagai Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 gagal apabila Anwar tidak berjaya mengumpulkan Surat Akuan Bersumpah dalam bilangan yang mencukupi sebelum undi Belanjawan 2021 petang tadi.
Team A khuatir Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali sebagai Perdana Menteri seandainya belanjawan tidak diluluskan dan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang.
Team A tahu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong tidak akan bersetuju untuk membubarkan parlimen dalam masa terdekat melainkan angka jangkitan Covid-19 turun kembali ke angka dua digit.
Disebabkan itu, Team A kini memberi tumpuan kepada pembubaran parlimen bulan depan atau sebelum Mac tahun depan agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan sebelum kes rasuah Zahid dan kes rayuan Najib diputuskan.
Bagaimanapun, saya tidak dapat memberi kepastian buat ketika ini mengapa Team B tidak bersekutu dengan blok pembangkang untuk menolak Belanjawan 2021 jika itulah yang diperjuangkan selama ini.
Saya difahamkan, ada di kalangan ahli-ahli parlimen Team B yang mungkin ingin parlimen dibubarkan terlebih dahulu sebelum mereka bersekutu secara terbuka dengan Blok Bebas Kuasa Ketiga ke arah Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut sumber dalaman, kumpulan ahli-ahli parlimen dari UMNO ini tidak yakin sebuah kerajaan stabil mampu terbentuk memandangkan sikap “dua kali lima” ahli-ahli parlimen lain dan lebih rela berjuang di pentas pilihan raya.
Ada juga yang dikhabarkan keliru dengan halatuju sebenar WARISAN setelah parti itu tidak memberi sokongan kepada PEJUANG 26hb November lalu apabila Belanjawan 2021 melalui undian peringkat dasar.
Apa pun, saya tidak lagi menaruh harapan terhadap Team B dan bersetuju agar penumpuan diberikan sepenuhnya kepada pembubaran parlimen dalam masa terdekat.
Saya amat yakin Blok Bebas Kuasa Ketiga mampu meraih sekurang-kurangnya 25 – 35 kerusi sekiranya bertanding di semua kerusi UMNO dan PPBM dan menjelma sebagai “King Maker” selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Saya turut berharap Tengku Razaleigh Hamzah yang amat saya sanjungi dan hormati akan membuat satu kenyataan politik berprinsip dalam masa terdekat dengan mengisytiharkan keluar dari UMNO dan berdiri bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai calon Blok Bebas Kuasa Ketiga.
Team A kini sedang bergolak, begitu juga PAS dan DAP.
Di sebelah PAS, terdapat desakan serius dari kumpulan akar umbi dan beberapa ulamma agar kepimpinan PAS menjarakkan diri dari PPBM sebelum parlimen dibubarkan.
Di sebelah DAP pula, kem anti-Lim Guan Eng begitu berang dengan kem Lim Guan Eng kerana bersekongkol dengan UMNO dan inginkan Lim letak jawatan sebagai setiausaha agung parti.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
