Terdesak, Muhyiddin mungkin masuk perjanjian dengan Anwar Ibrahim

“Andai kata Muhyiddin bersetuju untuk memasuki perjanjian peralihan kuasa dengan Anwar tanpa pengetahuan Datuk Seri Azmin Ali dan PAS, kita akan menyaksikan satu pengumuman mengejut di mana Anwar akan menzahirkan sokongan PKR terhadap Perikatan Nasional”

Raggie Jessy Rithaudeen

TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini

Ada pihak tertentu yang meminta saya merumuskan kemelut yang melanda UMNO, PAS dan PPBM dan kemungkinan UMNO berjaya di Pilihan Raya Umum ke-15 seandainya Barisan Nasional bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Berikut adalah rumusan saya:




A – KEDUDUKAN PPBM, PAS DAN PERIKATAN NASIONAL

1. PPBM hampir tidak memiliki akar umbi dan kepimpinan bahagian dan sudah pasti akan pupus jika tidak dibantu oleh jentera Pilihan Raya PAS.

2. Malangnya, PAS hanya kukuh di sekitar kawasan luar bandar di beberapa buah negeri dan tidak mampu menandingi jentera UMNO di kebanyakkan kawasan di semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak.

3. Disebabkan penolakan Melayu-Islam terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional, kedua-dua PAS dan PPBM dijangka akan mencatatkan prestasi yang lebih buruk berbanding pencapaian mereka di Pilihan Raya Umum ke-14.

4. PAS turut akan dihukum oleh pengundi kerana kegagalannya menjadikan Muafakat Nasional platform utama gandingannya bersama PPBM.

5. Kegagalan ini menonjolkan sikap ‘pengkhianat’ PAS dan penekanan yang diberikan oleh parti itu terhadap politik kuasa dan kedudukan daripada politik penyatuan ummah.

6. Biarpun begitu, PAS akan memenangi jauh lebih banyak kerusi berbanding PPBM atas kekuatan jenteranya itu.

7. Ini akan menimbulkan satu suasana pelik, memandangkan PPBM dipimpin oleh Muhyiddin selaku calon Perdana Menteri Perikatan Nasional.

Loading...

8. Untuk menyelamatkan keadaan, Muhyiddin terdesak mendapatkan kerjasama UMNO tetapi tidak ingin melutut kepada kluster mahkamah selagi beliau masih mempunyai masa untuk membuat percaturan.

B – KEDUDUKAN BARISAN NASIONAL 

1. Seperti PPBM dan PAS, UMNO dijangka akan mencatatkan perosotan dalam prestasinya berbanding pencapaiannya di Pilihan Raya Umum ke-14.

2. Salah satu sebab bagi perosotan ini adalah peningkatan dalam kesedaran masyarakat Melayu-Islam berkenaan agenda politik “kluster mahkamah” yang selama ini memperdaya ummah dengan menjaja konsep ‘penyatuan ummah’.

3. Percakaran antara UMNO dan PAS di samping kegagalan UMNO mendaftarkan Muafakat Nasional sebagai tanda komitmennya terhadap perjuangan penyatuan ummah turut akan menyumbang kepada perosotan dalam prestasi UMNO.

4. Atas kesedaran ini, kluster mahkamah terdesak untuk menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan melainkan Muhyiddin memasuki perjanjian “peralihan kuasa” dan bersetuju agar UMNO bertanding jauh lebih banyak kerusi berbanding PPBM di Pilihan Raya Umum ke-15.

C – KERJASAMA BARISAN NASIONAL DAN PAKATAN HARAPAN

1. Jika UMNO bekerjasama dengan DAP, sebahagian besar akar umbi parti itu akan beralih sokongan kepada blok kuasa ketiga dengan syarat blok tersebut tidak berurusan secara rasmi dengan Perikatan Nasional, Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

2. Kemunculan blok kuasa ketiga turut dijangka mengurangkan perolehan kerusi DAP yang bakal dihukum oleh sebahagian besar pengundi Cina seandainya kerjasama UMNO-DAP terjalin.

3. Manakala itu, masyarakat Cina yang kekal bersama DAP akan menyumbang kepada perolehan undi Barisan Nasional yang sebelum ini ditolak terus oleh pengundi Cina.

4. Persoalannya, adakah sumbangan ini mampu mengatasi pengurangan mendadak dalam perolehan undi UMNO dari masyarakat Melayu-Islam?

5. Ada yang berpendapat bahawa penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu meningkatkan perolehan undi UMNO asalkan UMNO menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

6. Tetapi bukankah PKR hampir hangus di Pilihan Raya Negeri Sabah hanya beberapa hari selepas Anwar mendakwa memiliki sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri?

7. Bukankah ini petanda jelas Anwar makin ditolak oleh penyokong tradisi PKR?

8. Ramai kenalan saya dari kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan bersetuju dalam hal ini.

9. Malah, perpecahan yang melanda PKR dan peralihan sokongan 13 ahli parlimen dari parti itu kepada Perikatan Nasional mengurangkan lagi keyakinan pengundi terhadap kemampuan Anwar menerajui kerajaan.

11. Kesemua ini petanda jelas Barisan Nasional akan menghadapi pelbagai kesukaran dan berkemungkinan tinggi gagal jika bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

D – KERJASAMA UMNO DAN BLOK KUASA KETIGA

1. Setakat ini, kita sudah melihat bagaimana kemunculan blok kuasa ketiga mampu mengurangkan perolehan undi UMNO, PAS dan PPBM biarpun tidak memiliki jentera Pilihan Raya yang kukuh.

2. Jika UMNO bertembung dengan PPBM atau PAS di mana-mana kerusi, ianya hanya akan meningkatkan kemungkinan blok kuasa ketiga memenangi kerusi itu.

3. Namun, jika UMNO bersetuju untuk menyertai blok kuasa ketiga bawah gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Tengku Razaleigh Hamzah, UMNO, PEJUANG, WARISAN dan beberapa pihak lain dijangka akan menang besar di Pilihan Raya Umum ke-15.

4. Syaratnya, kluster mahkamah perlu duduk tepi dan bersetuju untuk membawa perubahan kepada pucuk pimpinan UMNO dengan kadar segera.

5. Malangnya, kluster mahkamah (atau Team A) sudah bau kemungkinan ini dan sedang bertungkus lumus meyakinkan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

6. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih bimbang masuk penjara dan rela Barisan Nasional menanggung risiko kalah di bawah kepimpinannya daripada menang di bawah gandingan Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah.

7. Ini sedang memarahkan ramai pemimpin UMNO yang dijangka akan mengorak langkah pada bila-bila masa melainkan Zahid menurut telunjuk mereka pada Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini.

8. Apakah anda fikir Muhyiddin belum bau semua ini?

E – KETERDESAKAN MUHYIDDIN

1. Seandainya ahli-ahli parlimen Barisan Nasional menarik sokongan mereka terhadap Perikatan Nasional dalam masa terdekat, Muhyiddin akan hilang terus sokongan sekurang-kurangnya 31 ahli parlimen.

Nota: Ini tidak termasuk lapan ahli parlimen berjawatan menteri dan timbalan menteri yang dikatakan penyokong tegar Muhyiddin, termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Ismail Sabri.

2. Ini menyebabkan Muhyiddin tertekan untuk masa dan dijangka akan melakukan apa sahaja bagi memastikan sokongan 31 wakil rakyat itu dapat diganti sebelum parlimen bersidang semula.

3. Ini mungkn menjelaskan ‘pengkhianatan’ tiga ahli parlimen dari PKR baru-baru ini dan tekanan yang diberikan oleh pihak tertentu terhadap beberapa ahli parlimen dari parti itu, termasuk Anwar sendiri.

5. Andai kata Muhyiddin memasuki perjanjian peralihan kuasa dengan Anwar tanpa pengetahuan Datuk Seri Azmin Ali dan PAS, kita akan menyaksikan satu pengumuman mengejut di mana Anwar akan menzahirkan sokongan PKR terhadap Perikatan Nasional.

6. Pengumuman ini akan membolehkan Muhyiddin meyakinkan lebih ramai ‘orang Anwar’ dari kalangan ahli-ahli parlimen untuk menyokong Perikatan Nasional dan memberikan keyakinan kepada Muhyiddin untuk membenarkan parlimen bersidang.

7. Sekiranya berjaya, Muhyiddin sudah pasti akan menangguhkan pembubaran parlimen sehingga 2023 dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha menggabungkan UMNO dan PPBM selepas kes mahkamah Zahid diputuskan.

8. Pada ketika itu, PAS dan Azmin tidak akan ada pilihan melainkan bersetuju dengan segala rancangan Muhyiddin demi kelangsungan politik masing-masing.

9. Kemungkinan untuk rancangan ini berjaya amat tipis sekali tetapi tidak mustahil. Pokoknya, Muhyiddin akan membuat apa sahaja untuk memastikan dia menang dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kembali sebagai Perdana Menteri.

10. Memandangkan Mahathir merupakan musuh ketat Anwar, peluang bagi Anwar ‘membalas dendam’ merupakan umpan paling berkesan bagi mendapatkan sokongan PKR secara en bloc dalam masa terdekat.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...