
“Berdasarkan siasatan, hampir kesemua ahli parlimen tahu perihal sandiwara yang dimainkan oleh Anwar dan otai-otainya, malah ada juga yang menyifatkan sandiwara ini sebagai perkara “paling bodoh yang boleh dilakukan oleh seorang yang dakwa dia sesuai menjadi Perdana Menteri”
Raggie Jessy Rithaudeen
Semalam, saya mendedahkan bagaimana Anwar terkena getah dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjanji untuk membawa UMNO seketul menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Saya menulis:
Sehingga kini, Zahid gagal meyakinkan ahli-ahli parlimen dari UMNO walaupun memberikan ‘tiket percuma’ kepada mereka untuk menyokong Anwar apabila mengumumkan beliau tidak dapat menghalang mana-mana ahli parlimen dari Barisan Nasional yang ingin berbuat demikian.
Jumlah keseluruhan ahli parlimen dari Barisan Nasional yang menyokong Anwar tidak melebihi sepuluh orang, manakala jumlah yang menyokong kepimpinan Muhyiddin kurang dari angka itu.
Anwar kini berada dalam keadaan amat terdesak susulan tindakan Yang Di-Pertuan Agong yang bijaksana memperkenan permohonan Anwar untuk menghadap Baginda Tuanku Selasa depan (13hb Oktober 2020).
Ini kerana dakwaan kononnya beliau memiliki sokongan majoriti hampir dua per tiga bukan hanya rekaan, jumlah ahli parlimen yang menyebelahinya tidak pernah melepasi angka 91.
Semalam, saya turut mengisytiharkan, secara rasmi, bahawa Anwar tidak akan mampu membuktikan apa-apa kepada Yang Di-Pertuan Agong apabila menghadap Baginda Tuanku kelak kerana senarai Anwar disediakan dengan cara “tangkap muat” sahaja tanpa izin ramai ahli parlimen.
Malah, sehingga kini, ramai ahli parlimen sudah membuat penafian secara terbuka malah ada di kalangan mereka turut membuat laporan polis.
Ketahuilah, bahawa senarai yang disediakan oleh Anwar hanya berdasarkan “keyakinan peribadi” beliau dan “janji-janji manis yang ditabur” oleh beberapa individu, termasuk Zahid, dan bukanlah bukti kukuh sepertimana yang didakwa oleh blogger-blogger dan Laskar Siber Anwar dan Najib.
Justeru, Anwar mempunyai hak untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong pada 13hb Oktober 2020 dan mempersembahkan apa jua dokumen yang ingin dipersembahkannya.
Walaubagaimanapun, dokumen-dokumen ini tidak akan membawa apa-apa perubahan, kerana Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan “persembahan senarai nama” atau “akuan bersumpah” kepada Yang Di-Pertuan Agong sebagai asas untuk menumbangkan sesebuah kerajaan.
Saya tidak menafikan, bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memiliki sokongan majoriti dan tidak seharusnya kekal sebagai Perdana Menteri memandangkan sokongan ahli-ahli parlimen terhadapnya jauh kurang dari angka 111.
Biarpun begitu, cara yang betul ialah bagi Muhyiddin memanggil sidang tergempar parlimen untuk membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan usul tidak percaya yang dicadangkan olehnya kepada mantan Speaker Dewan Rakyat sebelum ini.
Sekiranya sidang tergempar benar-benar berlaku dan Muhyiddin terbukti tidak memiliki majoriti, beliau memiliki opsyen untuk samada meletakkan jawatan bersama barisan Jemaah Menteri atau menasihati Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.
Sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan, barulah Yang Di-Pertuan Agong akan bertindak bertemu dengan ahli-ahli parlimen satu per satu untuk melihat siapa yang benar-benar memiliki sokongan majoriti.
Pada ketika itulah satu Malaysia akan tahu nama individu yang benar-benar disokong oleh majoriti ahli-ahli parlimen dan betapa besarnya penipuan Anwar.
Apa pun, Yang Di-Pertuan Agong masih lagi berhak bertemu dengan kesemua ahli parlimen pada bila-bila masa selepas Anwar menghadapnya bagi menyiasat kesahihan senarai yang dipersembahkan oleh Anwar.
Inilah yang diharapkan oleh Anwar, dan segala propaganda yang dimainkan oleh blogger-blogger serta Laskar Sibernya pada ketika ini bertujuan untuk memperdaya seberapa ramai ahli parlimen yang mungkin agar mereka bergegas menyokong Anwar kerana takut terpinggir sekiranya Anwar membentuk kerajaan baharu.
Tetapi ahli-ahli parlimen kita bukannya kerbau.
Berdasarkan siasatan, hampir kesemuanya tahu perihal sandiwara yang dimainkan oleh Anwar dan otai-otainya, malah ada juga yang menyifatkan sandiwara ini sebagai perkara “paling bodoh yang boleh dilakukan oleh seorang yang dakwa dia sesuai menjadi Perdana Menteri.”
Rata-ratanya, majoriti ahli parlimen tahu bahawa dakwaan “kerajaan akan tumbang Selasa depan” adalah retorik semata-mata, tidak masuk akal, tidak mungkin berlaku berdasarkan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan permainan pelik oleh seorang yang sudah berpenyakit kerana terlalu kemaruk kuasa.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
