“Saya mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kerajaan bersama-sama seorang lagi tokoh politik negara yang dihormati dan disegani, Tengku Razaleigh Hamzah”
Raggie Jessy Rithaudeen
Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia bersama seluruh barisan Jemaah Menteri menurut peruntukan-peruntukan Perkara 43(2), 43(3) dan 43(5) Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin harus berbuat demikian dengan kadar segera bagi mengelakkan pembubaran Dewan Rakyat sekiranya keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata benar-benar menjadi pertimbangan utama beliau.
Ini kerana Muhyiddin sah kehilangan kepercayaan dan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen yang kini bersekutu dengan gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama seorang lagi tokoh politik yang terkenal.
Pada hemat saya, pentadbiran Muhyiddin bersama gandingan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional merupakan pentadbiran paling buruk sepanjang 63 tahun negara merdeka dan bersifat “kuku besi,” “buli rakyat,” “hukum rakyat” dan “zalimi rakyat.”
Selama lebih tujuh bulan, rakyat Malaysia ditimpa pelbagai kesempitan hidup bukan disebabkan wabak Covid-19, tetapi sikap kemaruk “Wang, Kuasa dan Kedudukan” oleh pemimpin-pemimpin barisan pemerintah yang lebih mementingkan poket dan kedudukan masing-masing daripada kesempitan hidup rakyat jelata.
Sikap ini menyebabkan Muhyiddin terpaksa berpaut pada “politik darjat” dan “petik dalil” untuk kekal berkuasa sehingga ideologi politik baharu yang terpesong ini menjadi asas dan tonggak perjuangan menteri-menteri kerajaan dan ahli-ahli parlimen pro-kerajaan.
Fokus utama pentadbiran Muhyiddin ialah untuk mengayakan menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli parlimen pro-kerajaan menerusi pengagihan jawatan dalam kadar yang tidak pernah dilihat sepertinya sebelum ini, berbekalkan dana negara milik rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang mengalami kesempitan disebabkan wabak Covid-19.
Pentadbiran Muhyiddin turut memberikan keutamaan kepada usaha menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri pilihan rakyat tatkala wabak Covid-19 melanda sehingga tumbangnya beberapa kerajaan negeri secara “pintu belakang” dan tercetusnya Pilihan Raya Negeri di Sabah.
Tatkala puak pentadbir bermaharajalela dengan politik “dua darjat,” “petik dalil” dan “Wang, Kuasa serta Kedudukan” (WKK), rakyat jelata hidup seksa akibat daripada sikap kerajaan yang menghukum orang awam atas kesalahan-kesalahan kecil.
Tatkala menteri dan ahli-ahli parlimen terang-terang melanggar SOP di peringat persekutuan dan di Sabah, orang awam diheret ke Mahkamah dan dikenakan tindakan begitu tegas walaupun sekadar “memakai topeng muka dengan cara yang tidak betul.”
Disebabkan “politik darjat” dan “petik dalil” ini, Agama Islam dihina oleh seorang ahli parlimen dari parti yang bergelar parti Islam apabila kisah Al-Quran dipetik dan diputar belit untuk menghalalkan kesalahan seorang menteri yang sendiri mengaku melanggar undang-undang.
Banyak lagi kepincangan dalam pentadbiran Muhyiddin, banyak penipuan-penipuan yang terbongkar. Pentadbiran ini terbukti pentadbiran “rakyat jaga rakyat, menteri jaga poket, negara makin jahanam.”
Disebabkan Muhyiddin, negara kita amat tenat dari segi politik, ekonomi dan sosial hingga menakutkan para pelabur yang tidak percaya lagi terhadap kemampuan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mentadbir.
Cukup-cukuplah dengan keseksaan ini, cukup-cukuplah dengan sikap kemaruk “Wang, Kuasa dan Kedudukan” tahap lampau yang terang-terang dipamirkan oleh Muhyiddin dan barisan kepimpinan UMNO, PPBM dan PAS.
Disebabkan pentadbiran ini, bukan hanya Agama, Bangsa dan Negara terancam, banyak bukti menunjukkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman orang awam terancam teruk dan mungkin menjurus kepada anarki seandainya perkara ini tidak ditangani dengan kadar segera
Saya mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kerajaan bersama-sama seorang lagi tokoh politik negara yang dihormati dan disegani, Tengku Razaleigh Hamzah.
Saya percaya, gandingan mantap berjiwa pejuang ini memiliki kebolehan, kecekalan, kewibawaan, kelayakkan, jatidiri dan kredibiliti untuk menyelamatkan negara serta mampu memartabatkan lagi kemuliaan Agama dan Bangsa.
Saya bersetuju jika Yang Di-Pertuan Agong bertindak mengisytiharkan Darurat menurut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan (rujuk artikel di bawah) dan mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kerajaan bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan berganding bahu dengan Baginda Tuanku untuk memperkenalkan Ordinan-Ordinan Darurat yang ketat agar sosioekonomi dan sosiopolitik negara dapat dipulihkan seperti sediakala.
BACA:
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
