The Star tidak belajar dari pengalaman lalu

Shah Alam: Akhbar The Star dilihat gagal mempelajari daripada insiden sebelum ini melibatkan isu sensitiviti umat Islam kerana mengulangi kesilapan yang sama.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata pihak kerajaan sepatutnya bertindak serius mengenai perkara ini.

“Sampai bila kesabaran umat Islam mahu diuji sedemikian rupa dan berterusan dicabar? Mereka cetus provokasi supaya keamanan dan kemakmuran negara tergugat kemudian sekali lagi jadikan kita sebagai kambing hitam?


“Kerajaan harus serius dalam isu sebegini, jangan bertindak lebih kurang dan beri muka berulang kali kepada penghinaan Islam dan provokasi terhadap umatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, muka depan akbar The Star memaparkan gambar umat Islam sedang menunaikan ibadah solat berjemaah beserta tajuk ‘Malaysian Terrorist Leader’.

[ARTIKEL BERKAITAN: Akhbar The Star mohon maaf]

Ini bukanlah kali pertama insiden seperti ini terjadi, sebelum ini akhbar Nanyang Siang Pau telah mempersenda Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menggunakan karikatur seekor monyet berserban.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan dari mana datangnya keberanian pihak-pihak terlibat untuk bersikap sedemikian.

“Permohonan maaf setelah berkali-kali insiden serupa berlaku juga merupakan satu lagi siri penghinaan.

“Persoalannya, kenapa mereka semakin berani? Sama ada mereka semakin angkuh dengan sokongan ekonomi dan politik yang diperolehi atau umat Islam yang semakin lemah kerana berpecah sesama sendiri,” tambahnya lagi.

Tambah Nasrudin lagi, beliau menyeru semua pihak agar berhenti dari melakukan sebarang provokasi untuk menguji kesabaran umat Islam.

“Jangan terus mencetus provokasi kerana ia tidak selamanya memberi keuntungan kepada mereka, kembalikan keamanan dan keharmonian negara dengan semua pihak khasnya media untuk saling hormat-menghormati dan memelihara sensitiviti keagaam dan kaum.

“Kami tidak mahu The Star mengambil sikap sama seperti DAP yang anti Islam mengeksploitasi isu kerana kami yakin di luar sana ramai orang bukan Islam yang tidak bersetuju dengan sikap sebegini,”katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian Online

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...