“Selasa lalu, Zahid seolah-olah mengesahkan ramalan saya apabila berkata, pemilihan UMNO bagi memilih barisan kepimpinan parti yang baharu mungkin dijalankan lebih awal sebelum Jun tahun depan”
Raggie Jessy Rithaudeen
تيدق مستحيل زاهيد چوبا خيانتي انور
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu pemilihan UMNO disegerakan bagi mengurangkan risiko dirinya ditolak oleh para perwakilan sekiranya jawatan presiden dicabar.
Ini kerana kes mahkamah Zahid membabitkan 47 pertuduhan jenayah dijangka akan diputuskan pada Mac atau April tahun depan.
Sekiranya Zahid didapati bersalah, sekalipun beliau merayu keputusan mahkamah, kemungkinan untuk beliau diterima semula sebagai presiden UMNO akan berlipat kali ganda susah.
Dan sekiranya Zahid tercicir dari jawatan presiden, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan dengan risiko yang cukup besar kerana presiden baharu berkemungkinan besar tidak ingin meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Manakala itu, jika Zahid berjaya kekalkan kedudukannya sebagai presiden UMNO, dan jika mahkamah mendapatinya tidak bersalah, tidak ada apa-apa yang menghalang Zahid daripada cuba berbaik semula dengan PAS.
Jangan lupa, Zahid memainkan peranan yang cukup besar dalam menjayakan Langkah Sheraton, dan beliau pernah mengaku bahawa misi utama UMNO di bawah kepimpinannya adalah untuk menguasai semula kerajaan.
Misi ini terbukti wujud apabila Zahid sendiri terlibat dalam satu gerakan sulit ala Langkah Sheraton untuk menumbangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekutunya dałam Langkah Sheraton, agar sebuah kerajaan baharu yang dipimpin oleh UMNO dapat dibentuk.
Apakah anda yakin manusia dengan rekod pengkhianatan sebegini tidak akan cuba untuk menumbangkan sekutunya yang terkini, Anwar Ibrahim?
Sebelum ini, saya meramalkan bahawa pemilihan UMNO akan berlaku seawal bulan Febuari atau Mac tahun depan.
Selasa lalu, Zahid seolah-olah mengesahkan ramalan saya apabila berkata, pemilihan UMNO bagi memilih barisan kepimpinan parti yang baharu mungkin dijalankan lebih awal sebelum Jun tahun depan.
“191 bahagian akan adakan persidangan serentak di seluruh negara dan adakan pemilihan kepimpinan bahagian dan pusat.
“Ertinya, tak perlu tunggu cukup tempoh enam bulan untuk pemilihan parti. Mungin diadakan awal. Kita kena ingat 22 atau 23 Mac sudah Ramadan, Syawal dan bulan haji,” katanya.
Ujar Zahid lagi, perwakilan UMNO akan memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti nanti.
Namun, UMNO tidak boleh menghalang secara paksa pertandingan jawatan presiden, melainkan perlembagaan parti dipinda menerusi Perhimpunan Agung Umno khas bagi menyelitkan klausa yang berkaitan.
Sebelum ini, saya menulis:
Menurut fasal 9.3 perlembagaan UMNO, Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden yang dipilih, tiga orang Naib Presiden dan dua puluh lima orang Ahli Majlis Kerja Tertinggi hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Perwakilan Bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali.
Perlunya pemilihan ini secara otomatik bermakna mana-mana ahli UMNO berhak untuk menawarkan diri sebagai calon untuk dipilih, dan tidak ada mana-mana fasal atau klausa dalam perlembagaan UMNO yang menafikan hak ini.
Sekalipun Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk tidak membenarkan jawatan presiden dipertandingkan, parti itu tidak boleh bertindak terhadap mana-mana ahli parti yang melanggar keputusan itu.
