Tidak Salah Bincang Secara Akademik Kekeliruan Yang Timbul Berkait Kuasa Budi Bicara Agong Susulan Keputusan Kes Titah Adendum

Raggie Jessy Rithaudeen

Terdahulu, sebelum keputusan terkini Mahkamah Tinggi berhubung kes Titah Adendum berkait Datuk Seri Najib Tun Razak (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kes Titah Adendum”), saya pernah menjelaskan bahawa permohonan pengampunan Najib adalah kuasa budi bicara mutlak Yang Di-Pertuan Agong, bukannya Lembaga Pengampunan.

Penjelasan saya bersandar kepada perbincangan saya berulang kali bersama peguam pakar, yakni Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berpandu kepada tafsiran-tafsiran mahkamah ke atas peruntukan Perlembagaan Persekutuan.




Berikut adalah beberapa fakta susulan daripada tafsiran-tafsiran tersebut yang wajib diberi perhatian:

1. Mahkamah telah memberikan takrifan jelas tentang maksud perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dalam beberapa kes yang dibangkitkan di medan mahkamah sejak tahun 70-an lagi, termasuk kes membabitkan pengampunan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

2. Dengan merujuk kepada tafsiran/keputusan semua kes secara kolektif dan efektif, tanpa prejudis, mahkamah telah memutuskan dengan jelas bahawa budi bicara Agong adalah mutlak.

3. Malah, samada Lembaga Pengampunan dibentuk dengan sahih atau tidak adalah tidak relevan, dan samada Lembaga Pengampunan ada memberi nasihat atau tidak pun tidak penting.

4. Begitu juga, samada Peguam Negara ada memberi laporan kepada Lembaga Pengampunan atau tidak pun tidak relevan.

5. Pokoknya, Lembaga Pengampunan tidak mengikat keputusan Yang Di-Pertuan Agong, sekaligus bermakna ‘nasihat’ Lembaga Pengampunan bukannya sesuatu yang wajib dipatuhi.

6. Walaupun berlaku pindaan kepada Perkara 40, Fasal 1 (A) pada 20 Jun 1994, keputusan mahkamah bagi kes-kes selepas itu mengekalkan bahawa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pengampunan (Perkara 42) kekal mutlak.

Loading...

Saya tidak berniat mencampuri urusan permohonan pengampunan Najib, tetapi kesemua yang tersebut di atas adalah fakta.

Justeru, jika keputusan terkini dalam kes Titah Adendum menimbulkan kekeliruan, maka tidak salah untuk membincangkan kekeliruan tersebut, dan tidak bermakna pihak yang membincangkan kekeliruan itu sedang ‘menghasut’.

Kekeliruan yang dimaksudkan timbul kerana Hakim yang terpelajar dalam kes Titah Adendum telah memutuskan bahawa Titah Adendum yang dibeluarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong adalah tidak sah memandangkan apa yang terkandung dalam Titah tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Namun, sebelum ini, berdasarkan keputusan kes-kes terdahulu sepertimana yang telah saya huraikan di atas, sudah difahami bahawa tidak penting atau relevan jika Lembaga Pengampunan dibentuk dengan sahih atau tidak, atau jika Lembaga Pengampunan ada memberi nasihat atau tidak.

Justeru, wujud persoalan bagaimanakah titah yang tidak dibincangkan dalam Lembaga Pengampunan boleh dianggap sebagai tidak sah, sedangkan Lembaga Pengampunan tidak mengikat keputusan Yang Di-Pertuan Agong, berdasarkan tafsiran-tafsiran Mahkamah terdahulu.

Jika keputusan kes Titah Adendum dibaca bersama keputusan kes-kes terdahulu, ianya seolah-olah bermaksud kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong hanya tertakluk kepada apa yang dibincangkan dalam Lembaga Pengampunan, tidak kira jika Lembaga Pengampunan dibentuk dengan sahih atau tidak.

Ini sekaligus menimbulkan tanda tanya jika kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong ada batasan yang samada tidak disedari sebelum ini atau merupakan batasan yang baharu sahaja ditafsir oleh Mahkamah menerusi kes Titah Adendum.

Apa pun, saya menghormati Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Titah Adendum, namun semua pihak perlu akur bahawa keputusan ini tidak mutlak jika pasukan Najib memilih untuk mengemukakan rayuan.

Dan pada pendapat saya, pasukan Najib mempunyai asas kukuh untuk merayu keputusan itu atas dasar kekliruan yang timbul, di mana panel Hakim Mahkamah Rayuan boleh samada mengesahkan kesahian keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, ataupun membuat tafsiran baru yang mungkin lebih tepat di sisi undang-undang.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...