Tiga parti besar Melayu dijangka jadi pembangkang selepas PRU15 tidak kira berlaku kerjasama atau tidak

“Gabungan yang diumumkan oleh Tun Mahathir merangkumi parti-parti politik dan NGO-NGO yang berteraskan kepimpinan Melayu-Islam, sekaligus menjadikan gabungan ini “gabungan penyatuan ummah” dalam ertikata sebenar, berbanding UMNO, PAS dan Bersatu yang lebih mirip “gerombolan parti-parti politik berkepentingan”

Raggie Jessy Rithaudeen

تيڬ ڤرتي بسر ملايو دجڠك جادي ڤمبڠكڠ سلڤس ڤرو15 تيدق كيرا برلاكو كرجاسام اتاو تيدق

Saya tertarik dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, yang mendakwa, ketiga-tiga parti terbesar bangsa Melayu – PAS, Bersatu dan UMNO – bakal menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika terus berpecah seperti sekarang.




Menurut Idris, parti-parti kecil berteraskan Melayu yang lain juga tidak akan dapat memenangi PRU-15 untuk menjadi kerajaan sekiranya bertanding bersendirian.

“Sekiranya parti politik Melayu-Islam terus berpecah, maka tiada yang akan memenangi kerusi pilihan raya dan kembali menjadi pembangkang,” katanya merujuk kepada keputusan PRU-14 lalu.

“Tolong ‘listed’ (senaraikan) kerusi mana yang kita eksyen (berlagak) sangat kalau kita pecah kita boleh menang? Tolong listed. Sebab itu kalau kita pecah, PRU14 (dulu) result dia keputusan begitu,” katanya.

Sebenarnya, saya bersetuju dengan pendapat Idris bahawa ketiga-tiga parti terbesar bangsa Melayu yang disenaraikannya bakal menjadi pembangkang selepas PRU15.

Namun, saya tidak bersetuju bahawa keadaan ini boleh diubah jika ketiga-tiga parti ini bekerjasama dalam pilihan raya umum yang bakal diadakan.

Sejak Langkah Sheraton, masyarakat Melayu-Islam berpecah pada tahap yang tidak sepertinya sebelum ini, disebabkan pemimpin UMNO, PAS dan Bersatu bercakaran tak tentu hala demi kuasa dan kedudukan dań sanggup pijak-memijak satu sama lain demi mencapai matlamat peribadi masing-masing.

Walaupun dicap sebagai “kerajaan Melayu-Islam,” kerajaan gandingan UMNO-PAS-Bersatu inilah yang memecah-belahkan ummah setelah menjatuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, berbekalkan alasan kononnya penubuhan kerajaan Melayu-Islam amat perlu demi “menyatukan ummah.”

Loading...

Namun akhirnya, terbongkar juga percaturan rahsia UMNO bersama DAP dan PKR ke arah pembentukkan “Jajaran Politik Baharu” dan percubaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sokongan DAP bagi jawatan Perdana Menteri.

Masyarakat Melayu-Islam secara amnya berterabur, dan ramai membenci persengketaan di antara PAS, UMNO dan Bersatu serta hipokrisi kepimpinan parti-parti ini, disamping kemudaratan politik dan ekonomi yang dibawa oleh ketiga-tiga parti berkenaan menerusi percakaran sesama mereka.

Malah, ramai juga penyokong PAS yang membenci UMNO dan tidak ingin PAS bekerjasama dengan parti itu pada PRU15.

Begitu juga UMNO – ramai di kalangan penyokongnya tidak percayakan PAS dan menyalahkan PAS kerana ‘mengkhianati’ Muafakat Nasional’ untuk berdamping dengan Bersatu.

Tidak kira siapa yang betul atau siapa salah, inilah persepsi masyarakat Melayu-Islam pada ketika ini, khususnya dari kalangan penyokong PAS dan UMNO.

Jika UMNO tiba-tiba bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS, saya jangkakan akan berlaku pengunduran besar-besaran penyokong dari kedua-dua parti itu kepada satu gabungan besar yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Gabungan ini merangkumi parti-parti politik dan NGO-NGO yang berteraskan kepimpinan Melayu-Islam, sekaligus menjadikan gabungan ini “gabungan penyatuan ummah” dalam ertikata sebenar, berbanding UMNO, PAS dan Bersatu yang lebih mirip “gerombolan parti-parti politik berkepentingan.”

Ramai sudah meluat dengan PAS, Bersatu dan UMNO dan menyedari bahawa gabungan Tun Mahathir berlandaskan teras perjuangan Islam, dan saya percaya, masyarakat Melayu-Islam secara amnya sudah bersedia untuk memberi gabungan ini peluang pada PRU15.

Tidak sukar untuk membayangkan perkara ini, kerana sudah dua tahun lebih masyarakat Melayu-Islam memerhatikan bagaimana ‘kerajaan Melayu-Islam’ pimpinan PAS, UMNO dan Bersatu memudaratkan politik dan ekonomi negara serta memecah-belahkan ummah.

Kenyataan Idris sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa pertimbangan utama PAS adalah kuasa dan kedudukan, bukannya agama, bangsa dan negara.

Jika benar Idris menitikberatkan agama, bangsa dan negara, beliau perlu akur dengan kegagalan ‘kerajaan Melayu-Islam’ PAS, UMNO dan Bersatu dan bersedia untuk menjadi pembangkang jika kalah pilihan raya.

Ini lebih mulia daripada mengekalkan satu pergabungan yang terbukti gagal, semata-mata kerana ingin mengekalkan kuasa dan kedudukan, tanpa menghiraukan natijahnya kepada agama, bangsa dan negara.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...