
Gesaan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021 adalah bukti Anwar tidak memiliki sokongan majoriti di parlimen dan bimbang akan kemaraan Dato’ Seri Azmin Ali.
Biarpun tahu beliau tidak lagi menguasai PKR, Anwar tetap berdegil untuk menimbulkan persepsi tersebut bagi meyakinkan ahli-ahli parlimen yang beralih ke kem Azmin untuk kembali bersamanya.
Atas sebab itulah beliau mengerahkan orangnya ke RoS dengan alasan ingin pemerincian berhubung perlembagaan parti bagi menentukan nasib Azmin.
Beliau menjangkakan tindakan tersebut akan berjaya meyakinkan ahli-ahli parlimen bahawa beliau sudah memperolehi sokongan majoriti di parlimen tetapi tidak boleh bergerak selagi Azmin masih lagi memegang jawatan timbalan presiden PKR.
Tetapi sebaliknya, lebih ramai ahli parlimen yakin bahawa Anwar tidak lagi menguasai parti dan hanya berpura-pura memiliki kuasa penuh.
SUBANG JAYA: Gesaan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021 adalah bukti Anwar tidak memiliki sokongan majoriti di parlimen dan bimbang akan kemaraan Dato’ Seri Azmin Ali.
Sebelum ini, Anwar berulang kali menyuarakan keyakinan bahawa Mahathir akan menyerahkan kuasa kepadanya apabila masa sampai dan kerapkali menegaskan perlunya Perdana Menteri diberikan masa yang cukup untuk memulihkan ekonomi negara.
Walaubagaimanapun, di belakang tabir, beliau mengerahkan kumpulan-kumpulan seperti Otai Reformasi untuk memberikan tekanan kepada Mahathir untuk menetapkan satu tempoh peralihan kuasa yang jelas.
Apabila ditanya, Anwar terus berselindung di belakang alasan bahawa mana-mana pihak di negara ini bebas bersuara kerana kebebasan bersuara merupakan tuntutan asas mana-mana demokrasi.
Kesemua ini berubah apabila saya mendedahkan kewujudan akuan-akuan bersumpah palsu Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tidak lama selepas pendedahan tersebut, Anwar mula khuatir akan kekuatan sokongan ahli-ahli parlimen PKR terhadap Azmin dan sedar bahawa beliau tidak lagi menguasai parti tersebut seperti dahulu.
Beliau turut menanggung malu kerana tidak dapat memenuhi janjinya kepada beberapa ahli parlimen untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan 149 akuan bersumpah.
Bagi mengekalkan keyakinan ahli-ahli parlimen tersebut, beliau menggunakan alasan kedudukan Azmin dalam parti perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan isu semburit menghantui kerajaan baru.
Ini menjurus kepada satu sidang media di mana Anwar memberitahu Azmin secara halus untuk berundur dari jawatan timbalan presiden sekiranya penglibatannya dalam video semburit disahkan pihak berkuasa.
Pada tanggapan Anwar, kenyataan tersebut mampu mendorong ahli-ahli parlimen PKR yang beralih ke kem Azmin kembali bersamanya kerana khuatir kedudukan Azmin di dalam parti tergugat akibat kes semburit.
Tetapi sebaliknya yang berlaku.
Sebilangan besar ahli parlimen yang dahulunya pro-Anwar naik berang, kerana sebelum ini, apabila Anwar dituduh meliwat, Azmin terus mengekalkan bahawa beliau tidak bersalah biarpun Mahkhamah sendiri menyabitkan kesalahan tersebut.
Malah, bukan hanya ahli-ahli parlimen tersebut ‘dipelihara’ Azmin ketika Anwar berada dalam penjara, beliau turut membiayai aktiviti dan sara diri mereka dengan menggunakan sebahagian daripada dananya sendiri.
Melihatkan perkembangan ini, Anwar terus menjadi resah dan mengarahkan semua kumpulan penyokongnya, termasuk Otai Reformasi, untuk berhenti memberi tekanan terhadap Mahathir.
Beliau kemudiannya menjemput Mahathir sebagai tetamu kehormat di ‘retreat’ Port Dickson di mana beliau berpura-pura menyatakan sokongan padu dan rasa ‘cintanya’ terhadap pengorbanan Mahathir selama ini.
Tetapi Mahathir tidak mempedulikan semua itu dan terus memberi amaran secara halus kepada Anwar dan kuncu-kuncunya untuk melepaskan PKR kepada Azmin dengan berpura-pura bercerita berkenaan gejala jahat dalam PH yang perlu dibendung.
Amaran tersebut sah ditujukan kepada Anwar dan kuncu-kuncunya kerana sebelum menghadiri retreat tersebut, Mahathir memberikan amaran kepada Azmin untuk tidak hadir bersama orang-orangnya agar mesejnya hanya sampai ke telinga Anwar.
Dengan rasa terhina dan tercabar, Anwar terus mengerahkan kuncu-kuncunya untuk mengumpulkan tandatangan ketua-ketua cabang dimana sebilangan tertentu mereka samada diugut ataupun disajikan dengan pelbagai janji manis.
Biarpun tahu beliau tidak lagi menguasai PKR, Anwar tetap berdegil untuk menimbulkan persepsi bahawa parti tersebut ‘miliknya’ bagi meyakinkan ahli-ahli parlimen yang beralih ke kem Azmin untuk kembali bersamanya.
Atas sebab itulah beliau mengerahkan orangnya ke RoS dengan alasan ingin pemerincian berhubung perlembagaan parti bagi menentukan nasib Azmin.
Beliau menjangkakan tindakan tersebut akan berjaya meyakinkan ahli-ahli parlimen bahawa beliau sudah memperolehi sokongan majoriti di parlimen tetapi tidak boleh bergerak selagi Azmin masih lagi memegang jawatan timbalan presiden PKR.
Tetapi sebaliknya, lebih ramai ahli parlimen mula yakin bahawa Anwar tidak lagi menguasai parti dan hanya berpura-pura memiliki kuasa penuh.
Kesemua ini menunjukkan betapa taksubnya Anwar terhadap jawatan Perdana Menteri sehingga jauh tersasar dari realiti.
Tindakan terbaru tiga buah NGO yang menggesa Mahathir letak jawatanselewat-lewatnya pada 9 Mei 2021 hanya sekadar mengukuhkan keyakinan ahli-ahli parlimen bahawa Anwar tidak sedar apa yang dilakukannya.
Sekiranya benar Anwar mempunyai sokongan majoriti di parlimen, beliau tidak akan teragak-agak mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan bukti sokongan terhadapnya supaya beliau diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.
THE THIRD FORCE
