“Jika benar Zahid kesal dengan tindakkannya, sudah pasti Team A akan bersetuju untuk membenarkan PPBM mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri dari parti itu sebagai Menteri Besar. Ini tidak, yang menggulingkan Menteri Besar ialah UMNO, yang menggantikan Menteri Besar juga UMNO. PPBM terpaksa melutut kepada Zahid kerana khuatir Sultan Perak mungkin mengisytiharkan Darurat Politik jika kesepakatan tidak tercapai”
Raggie Jessy Rithaudeen
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini meluahkan apa yang selama ini dapat dilihat dengan kelas oleh segenap lapisan masyarakat, khususnya mereka yang beragama Islam.
Menurut Seri Paduka Tuanku Baginda, pelantikan Menteri Besar sebanyak tiga kali di Perak sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah cerminan kegagalan kepemimpinan ahli politik untuk mendapat sokongan padu dan bukannya satu kejayaan.
“Sejak berlangsungnya PRU ke-14, sudah tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan, perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.
“Kegagalan kepemimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah Seri Paduka Baginda Tuanku pada Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14, di Istana Iskandaria.
Secara tidak langsung, Sultan Nazrin menyuarakan apa yang dilihat oleh ramai pengundi Melayu-Islam, iaitu sandiwara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang berpura-pura sepakat tetapi sentiasa pijak memijak satu sama lain demi wang, kuasa dan kedudukan (wkk).
Ini jelas diperhatikan sebaik selepas Langkah Sheraton yang dicetuskan menerusi subahat Team A (UMNO) bersama kem Tan Sri Muhyiddin Yassin, melibatkan Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Tan Sri Annuar Musa, Zahid Md Arip, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Tan Sri Rais Yatim.
Ketika Langkah Sheraton, Team A bersetuju dengan PPBM untuk menubuhkan Perikatan Nasional dan menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.
Namun, sebaik selepas Perikatan Nasional ditubuhkan, Team A enggan menyertai gabungan tersebut dengan alasan kerjasama UMNO-PPBM-PAS sekadar “gandingan ahli-ahli parlimen blok kerajaan,” tidak lebih dari itu.
Sikap Team A jelas mempamirkan niatnya untuk memperdaya PAS dari awal lagi dengan harapan palsu kononnya UMNO akan berkongsi kuasa dengan PPBM ke arah Pilihan Raya Umum ke-15.
Hakikatnya, Team A, yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya menunggang PAS dan PPBM untuk cuba merampas kembali tampuk kepimpinan negara dan menganggap Langkah Sheraton sebagai langkah pertama daripada beberapa siri langkah ke arah itu.
Langkah seterusnya adalah bagi UMNO menerajui seberapa banyak negeri yang mungkin di Semenanjung dan Malaysia Timur agar jentera pentadbiran negeri-negeri berkenaan dapat membantu UMNO ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Inilah sebabnya UMNO dan PPBM tidak pernah mencapai persetujuan dalam hal pelantikan ketua eksekutif di Sabah, Johor dan Perak.
Dari satu sudut, UMNO, PPBM dan PAS mengaku ‘bermuafakat’ dan ‘sepakat’ dalam mentadbir negara, tapi dari sudut lain, Perikatan Nasional sentiasa berselisih dengan Barisan Nasional dalam semua isu dan dilihat cantas-mencantas satu sama lain.
Cuba renung kembali apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri Sabah.
Walaupun Perikatan Nasional dan Barisan Nasional terlibat bersama dalam Gabungan Rakyat Sabah, kedua-duanya berkempen secara berasingan dan menggunakan bendera masing-masing malah bertembung di beberapa kerusi.
Bila sampai pula masa untuk melantik Ketua Menteri, kedua-duanya bergelut hingga ramai pengundi pro-PPBM dan UMNO menyuarakan rasa kesal mereka menerusi media sosial.
Di Perak pula, UMNO menggulingkan Menteri Besar dari PPBM walaupun kedua-dua parti itu terlibat bersama dalam blok kerajaan.
Kemudian, apabila percubaan UMNO untuk membentuk kerajaan bersama DAP dan PKR gagal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpaksa merangkak kembali ke Muhyiddin dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memohon maaf.
Itu pun sandiwara semata-mata, kerana jika benar Zahid kesal dengan tindakkannya, sudah pasti Team A akan bersetuju untuk membenarkan PPBM mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri dari parti itu sebagai Menteri Besar Perak.
Ini tidak, yang menggulingkan Menteri Besar ialah UMNO, yang menggantikan Menteri Besar juga UMNO. PPBM terpaksa melutut kepada Zahid kerana khuatir Sultan Perak mungkin mengisytiharkan Darurat Politik jika kesepakatan tidak tercapai.
Nampak?
Pernah tak saudara-saudari melihat perkara sebegini berlaku sebelum ini?
Perebutan kuasa, rasuah jawatan, penggulingan kerajaan – bukannya pembangkang yang mengancam kerajaan, tetapi kerajaan sendiri yang mengancam kerajaan!! Gila tak gila??
Cuba tanya diri sendiri, apakah pengundi Melayu-Islam akan yakin terhadap PPBM dan UMNO selepas ini?
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
