
Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,
AsSalamualaikum dan Salaam Sejahtera
1. Saya perlu tegaskan di awal penulisan ini bahawa saya masih belum berpeluang membaca keseluruhan kandungan buku memoir TOMMY THOMAS – My Story: Justice In The Wilderness, yang saya akan perolehi esok, tetapi saya terpanggil untuk memberi komen awal atas kandungan laporan MALAYSIAKINI 31.01.2021 bertajuk “Agong pernah cadangkan Wan Azizah jadi PM tapi Dr M tak setuju – Thomas” yang memetik antara lain pendapat dan ulasan TOMMY THOMAS berhubung pergolakan tadbir urus negara pada 24.01.2020, iaitu tarikh TUN DR MAHATHIR menghadap KeBawah Duli YDP AGONG dan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-7, dan disusuli dengan lantikan beliau sebagai Perdana Menteri Interim.
2. Apa yang menjadi MUSYKIL dalam catatan TOMMY THOMAS seperti yang dipetik oleh Laporan MALAYSIAKINI itu adalah:
“Punca utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, perdana menteri Mahathir. Pemimpin PH bertanggungjawab atas kegagalan ini, … “,
“Namun dakwa Thomas, Mahathir segera mencalnkan namanya kembali untuk jawatan perdana menteri ketika berlaku ketidaktentuan politik dalam negara.” dan
βIni bukan satu kebiasaan dalam politik moden. Perdana menteri yang selesa berkuasa, mengundurkan diri atas kehendak dan kemahuan sendiri.”
3. Ada sekurang-kurangnya EMPAT (4) isu kemusykilan pokok yang timbul daripada catatan dan pandangan TOMMY THOMAS itu, iaitu:
a. Yang pertamanya, saya sesungguhnya percaya bahawa sebagai seorang PEGUAM NEGARA pada ketika itu, iaitu jawatan tertinggi perundangan dalam negara, TOMMY THOMAS sepatutnya tahu dan faham konsep “SOKONGAN MAJORITI” daripada Ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana Perdana Menteri mesti ada pada setiap masa, untuk seseorang Perdana Menteri itu, untuk kekal sebagai Perdana Menteri menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
b. Hatta, dengan berlakunya “SHERATON MOVE” pada 23.02.2020, iaitu satu FAKTA yang TOMMY THOMAS wajib tahu adalah TIDAK DIPERTIKAIKAN, di mana segolongan Ahli Wakil Rakyat dari PAKATAN HARAPAN yang diketuai oleh TS MUHYIDDIN YASSIN dari Parti BERSATU dan AZMIN ALI dari Parti PKR, telah akibatkan “KEJATUHAN SOKONGAN MAJORITI” yang dipegang oleh TUN DR MAHATHIR pada ketika itu, maka bagaimanakah dalam nafas yang sama, TOMMY THOMAS boleh menggesa bahawa ” … Perdana menteri yang selesa berkuasa, mengundurkan diri atas kehendak dan kemahuan sendiri. … “, sedangkan dari sudut keperluan Perlembagaan, menurut Perkara 43(4) itu, TUN DR MAHATHIR telah WAJIB menghadap KeBawah Duli YDP AGONG untuk meletakkan jawatan, seperti yang beliau lakukan pada 24.02.2020 itu?
c. Yang keduanya, untuk TOMMY THOMAS mengatakan bahawa” …
keputusan untuk melantik Dr Wan Azizah – yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Mahathir – pasti menjadi keputusan perlembagaan yang betul. … “, juga amat mengejutkan sebagai kenyataan yang datang dari seorang Peguam Negara pada masa itu, sedangkan jika pada hakikatnya PAKATAN HARAPAN sudah hilang majoriti, maka sesiapa sahaja Menteri Kanan, mahupun Timbalan Perdana Menteri, tiada mempunyai HAK untuk terus mentadbir negara dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri secara automatik selepas itu, sebab PAKATAN HARAPAN sudahpun HILANG MAJORITI untuk kekal sebagai Kerajaan.
d. Perkara asas berkaitan kedudukan Perdana Menteri itu, seharusnya dalam pengetahuan mana-mana Peguam biasa, dan amat mengejutkan apabila TOMMY THOMAS sebagai PEGUAM NEGARA pada ketika itu, boleh mempunyai pandangan yang sebaliknya berkaitan isu asas ini, sehingga ianya boleh menimbulkan persepsi – “Adakah catatan dan pandangan TOMMY THOMAS itu satu pandangan jujur dan ikhlas seorang PEGUAM NEGARA ketika itu, ataupun dicemari dengan fahaman, pegangan dan sokongan POLITIK semata-mata?
e. Yang ketiganya, untuk TOMMY THOMAS seterusnya mencadangkan bahawa ” … Dr Mahathir Mohamad didakwa campur tangan dan berkeras ingin menjadi perdana menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu … “, secara salah menimbulkan satu KONTROVERSI yang mewajibkan pengesahan FAKTA samada apa yang dikatakan oleh TOMMY THOMAS itu betul ataupun tidak, yang mana secara KONTROVERSI lanjutan akan mengheret nama baik Istana dan KeBawah Duli YDP AGONG ke arena pertikaian yang tidak pernah dibangkitkan berkaitan isu itu setakat ini dari sudut fakta dan rentetan peristiwa sehingga kini.
f. Walhal, nampaknya TOMMY THOMAS sendiri telah menimbulkan percanggahan dengan pandangan dan kenyataan beliau yang terdahulu, di mana MALAYSIAKINI bertarikh 24.02.2020 bertajuk “AG: No time limit for interim PM, can appoint cabinet members”, di mana TOMMY THOMAS telah dipetik berkata sebagai PEGUAM NEGARA pada ketika itu:
“There is no time limit attached to the office of the interim prime minister, who may decide whether to appoint cabinet members at his discretion, said Attorney-General Tommy Thomas.
“An interim PM has all the powers attached to the office of prime minister. That includes appointing or not appointing cabinet members as he wishes. ”
(Link Laporan MALAYSIAKINI bertarikh 24.02.2020 bertajuk “AG: No time limit for interim PM, can appoint cabinet members” : https://www.malaysiakini.com/news/512090)
g. Hatta, jika TOMMY THOMAS secara jujur berpendapat bahawa apa yang dilakukan oleh TUN DR MAHATHIR pada 24.02.2020, termasuk bersetuju untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka mengapakah TOMMY THOMAS tidak memberi nasihat yang betul kepada TUN DR MAHATHIR sebagai Perdana Menteri pada ketika itu, mahupun kepada KeBawah Duli YDP AGONG sepertimana yang WAJIB mana-mana PEGUAM NEGARA lakukan, iaitu memberi nasihat yang tepat dan sempurna di bawah Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan?
h. Yang keempatnya, bagi saya secara profesional, sedikit sebanyak mana-mana PEGUAM NEGARA adalah terikat kepada konsep “kepentingan peguamcara – anakguam”, iaitu perkara-perkara yang menjadi intipati nasihat semasa melaksanakan tugas sebagai Peguam, yang pada hakikatnya, melainkan dalam keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh undang-undang, TIDAK BOLEH didedahkan di khalayak ramai, kerana struktur kepercayaan dan integriti guaman akan tercemar, jika ianya dilakukan secara semberono, apatah lagi oleh sesseorang PEGUAM NEGARA mahupun bekas PEGUAM NEGARA !!
4. Sememangnya, seperti yang saya tegaskan di atas, kenyataan saya di sini adalah berpandukan kepada kandungan laporan MALAYSIAKINI 31.01.2021 semata-mata, dan adalah tertakluk lanjut kepada keseluruhan kandungan catatan dan pandangan dalam buku memoir TOMMY THOMAS – My Story: Justice In The Wilderness, yang saya difahamkan baru diedarkan mulai semalam, 30.01.2021, yang mana akan saya baca dan susuli dengan mana-mana pandangan lanjut, jika perlu.
5. Walau apa pun, ianya menjadi tanggungjawab mana-mana Peguam untuk memberi pandangan jujur dan ikhlas berhubung kontroversi terkini yang dibangkitkan di khalayak ramai berhubung catatan dan pandangan TOMMY THOMAS itu, seperti yang dilaporkan setakat ini oleh media, supaya Rakyat yang prihatin boleh mendapat fahaman dan pengetahuan yang lengkap dan sempurna, yang mana adalah hasrat sebenar tulisan saya ini setakat ini.
P/S (Diedit pada 31.01.2021 @ 2016)
Selepas saya muat niak Siri : 2466 ini, saya difahamkan oleh seorang rakan pemberita, yang telah mulai membaca buku TOMMY THOMAS itu, bahawa TOMMY THOMAS ada menyentuh di beberapa bahagian dalam buku memoir TOMMY THOMAS – My Story: Justice In The Wilderness itu, berkaitan diri saya (Haniff Khatri) secara peribadi. Bagi saya, SAYA TIDAK PENTING ! Negara dan undang-undang itu adalah TERPENTING ! Hatta, saya cuma akan memberi komen berkaitan perkara-perkara yang disentuh berhubung diri saya oleh TOMMY THOMAS, jika perlu, pada masa yang sesuai kelak, setelah membaca bukunya itu. IN SHAA ALLAH!
WAJIB BACA:
Tommy Thomas sahkan Lim Kit Siang ingin jadikannya Peguam Negara sejak 2013
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
