TTF: Kadir Jasin menepis dakwaan Anwar berhubung perjanjian peralihan kuasa

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin percaya peralihan kuasa membabitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku seperti dijanjikan. Sumber (gambar): Fail TTF

Kadir Jasin secara halus menepis dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya wujud perjanjian peralihan kuasa bertandatangan yang mewajibkan Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan tampuk kepimpinan kerajaan kepada Anwar dua tahun selepas PRU14 (di bawah):


SHAH ALAM: Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin percaya peralihan kuasa membabitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku seperti dijanjikan.

Beliau juga yakin Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir.

“Dalam mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini, Dr Mahathir lagi sekali mengulangi kata untuk menepati janji peralihan kuasa. Beliau berkata ‘saya janji saya akan tepati.


“Mungkin ketika ini yang diperbahaskan sehingga menimbulkan kerisauan dari masa ke masa ialah bila (tarikh peralihan).. ia mungkin dalam tempoh dua tahun atau dua tahun lebih.

“Saya juga yakin Anwar juga akan menjadi Perdana Menteri kerana saya sudah melihat perkembangan mereka (Dr Mahathir dan Anwar) sejak dulu lagi dan mereka jugalah yang membawa kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) hari ini,” katanya pada Diskusi Buku bertajuk ‘Anwar PM ke-8’ tulisan Shahbudin Husin di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Dr Mahammad Redzuan Othman dan bekas Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M) Datuk Seri Akhbar Satar.

Abdul Kadir turut mengakui isu peralihan kuasa ini tidak hanya dibincangkan rakyat, tetapi juga pelabur asing yang mahu kepastian sama ada kepimpinan negara akan diserahkan kepada Anwar.

“Ketika ini pelabur menyokong dan yakin dengan reformasi yang berlaku dalam negara, tetapi mereka juga prihatin terhadap situasi peralihan kuasa… adakah akan berlaku peralihan yang lancar dan jawapan saya (kepada pelabur) adalah ya.

“Isu peralihan kuasa kali ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia kerana proses pemilihan Perdana Menteri ditentukan menerusi deklarasi 7 Januari 2018 iaitu oleh parti, watak yang terbabit dan rakyat.

“Adalah perkara biasa apabila masing-masing mempunyai pendirian peribadi, tetapi saya yakin ia adalah peralihan kuasa seperti dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, Mahammad Redzuan mendedahkan kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan 45 peratus daripada 1,597 responden di seluruh negara memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.

Beliau berkata, kajian ini turut menunjukkan selepas Anwar, sebanyak 16 peratus memilih Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (11 peratus) dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu (satu peratus).

“Sebanyak 27 peratus memilih lain-lain pemimpin politik iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (masing-masing satu peratus), manakala bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (enam peratus),” katanya.

Beliau berkata, menerusi kajian itu juga, 75 peratus responden mahu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak melebihi dua tahun, manakala 22 peratus lagi memilih tidak perlu melepaskan jawatan.

“Sebagai seorang akademik, saya tidak boleh bercakap melalui pandangan sendiri, sebaliknya pandangan rakyat dan kajian khusus ini dijalankan dengan hanya dua soalan iaitu siapa paling layak menjadi Perdana Menteri dan bila Dr Mahathir perlu berundur,” katanya.

Diadaptasi dari:

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...