“Anehnya, Anwar, yang kini kelihatan begitu prihatin terhadap permasalahan rakyat dan aktif ‘menasihati’ serta ‘menegur’ kerajaan, duduk membisu apabila wabak Covid-19 mula-mula melanda”
Raggie Jessy Rithaudeen
#TTFCovid19
#تتفچوۏيد19: انور كيني برلاڬق سڤرتي ڤاكر چوۏيد-19 ءترسوهورء
Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menzahirkan rasa bimbangnya jika para pekerja, terutamanya golongan miskin, terpaksa menggunakan simpanan hari tua dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampan kesan hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.
Demikian menurut laporan sebuah porta berita berdasarkan sidang media secara langsung yang dibuat oleh Anwar di akaun Facebook beliau.
Dalam sidang tersebut, Anwar berkata kerajaan perlu memberikan bantuan sebanyak RM250 sebulan kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya prihatin dengan isu berikan ruang kepada pekerja keluarkan caruman dari KWSP. Ini simpanan untuk masa depan mereka, kelompok kaya tak membimbangkan tetapi dalam kelompok pendapatan rendah ini dikhuatiri jejaskan masa depan mereka.
“[…] tapi saya rasa kerajaan kena pertimbangkan semula, jangan beban hanya pada mereka, sepatutnya paling tidak kerajaan bagi sumbangan sebahagian kepada semua, kalau kata lah RM250 kalau mereka perlu tambahan keluarkan RM250 saja (dari KWSP).
“Kerajaan harus fikirkan untuk belanja dari rizab negara. Ini keadaan kritikal sekarang,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan jumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan bagi meringankan beban kos sara hidup akibat impak wabak Covid-19.
Dalam sidang media khas di Bangunan Perdana Putra hari ini, beliau berkata, inisiatif itu dijangka akan memberi manfaat kepada 12 juta pencarum KWSP, dengan anggaran pengeluaran RM40 bilion.
Tetapi Anwar tidak bersetuju.
Menurut beliau, pencarum seharusnya dibenarkan mengeluarkan hanya RM250 daripada akaun KWSP, manakala kerajaan pula menambah bantuan sebanyak RM250.
Menjelaskan lanjut, katanya, bantuan RM250 itu boleh disalurkan daripada rizab negara atau pun hasil keuntungan Petronas.
“Saya pendapat ini adalah keperluan yang harus diberikan pertimbangan segera, hari ini atau esok kerana penjaja atau nelayan, kalau mereka tak kerja tiga ke empat hari mereka tiada simpanan yang panjang.
“[…] guna rizab yang besar yang ada sama ada dalam kerajaan atau Petronas untuk selamatkan rakyat sekarang,” katanya lagi.
Sebelum ini, Anwar menimbulkan persoalan mengapa kerajaan perlu kerahkan anggota tentera bagi membantu pihak polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jumaat lalu, beliau menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengerahkan tentera mulai Ahad ini sebagai ‘tidak masuk akal’.
“Bagi saya, ini sebenarnya tidak masuk akal untuk mengerahkan tentera pada waktu polis masih boleh mengawal keadaan,” katanya kepada CNBC.
Anehnya, Anwar, yang kini kelihatan begitu prihatin terhadap permasalahan rakyat dan aktif ‘menasihati’ serta ‘menegur’ kerajaan, duduk membisu apabila wabak Covid-19 mula-mula melanda.
Pada ketika itu, beliau merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintah tetapi menolak terus penyertaan dalam kerajaan pusat atas alasan ingin ‘rehat’ dan tunggu gilirannya menjadi Perdana Menteri.
Tetapi dalam pada beliau ‘berehat’, beliau berulang kali memainkan polemik peralihan kuasa hingga para pelabur mula khuatir keadaan politik di Malaysia boleh meletus pada bila-bila masa dan takut untuk berurusan di sini.
