“Rakyat perlu sedar, dalam situasi sebegini, semua pihak perlu sama-sama memikul tanggungjawab dan harus bersedia mengubah cara hidup masing-masing atas dasar “berat sama dipikul, ringan sama dijinjang”
Raggie Jessy Rithaudeen
#تتفچوۏيد19: جاڠن ماءين كريتيك ساج ايسو ڤڠلوارن واڠ قوسڤ
#TTFCovid19:
Saya tidak nampak apa-apa masalah dengan tindakan kerajaan membenarkan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam membantu pencarum mengharungi impak penularan Covid-19
Langkah jangka pendek ini sebenarnya bijak dan amat perlu kerana ianya dapat membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna dengan wang tunai yang sampai terus ke poket.
Memang ada pendapat yang menyatakan wang caruman ini adalah bekalan hari tua warga Malaysia dan kerajaan harus lebih bertanggungjawab terhadap kesempitan rakyat dan mengagihkan terus wang tunai bagi tempoh tertentu.
Tetapi saya fikir pihak yang mengutarakan pandangan sedemikian tidak memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap beberapa isu dan kebenaran berbangkit yang mungkin sengaja tidak diendahkan atau dilepas pandang.
Mereka perlu sedar, pandemik Coronavirus Covid-19 yang melanda merupakan pengalaman baharu bagi kerajaan di seluruh dunia memandangkan pandemik pada skala ini tidak pernah melanda sejak wabak ‘selsema Perancis’ berakhir pada tahun 1919.
Justeru, dalam membuat apa jua pertimbangan, kerajaan perlu memastikan terdapat rizab jangka sederhana dan panjang bagi menangani impak pandemik ini jika ianya berlarutan lebih daripada tiga gelombang sepertimana pandemik-pandemik lain sebelum ini.
Ini memandangkan kelakuan, kadar mutasi dan sifat-sifat lain melibatkan virus SARS-CoV-2 tidak difahami sepenuhnya dan perlu beberapa bulan, mungkin juga tahun untuk dikaji secara menyeluruh.
Saya yakin pihak kerajaan telah mengambil kira semua ini dalam mencapai keputusan membenarkan pengeluaran caruman KWSP bagi memastikan rizab yang ada cukup dan mampu membantu rakyat sekiranya pandemik ini berlarutan di luar tempoh jangkaan.
Ada juga pihak yang menuntut agar cukai-cukai dan bil-bil tertentu dilupuskan sama sekali oleh pihak kerajaan bagi tempoh enam bulan hingga satu tahun.
Sebenarnya, kerajaan sudahpun mengumumkan beberapa inisiatif kecemasan bagi membantu rakyat, misalnya penangguhan bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi tempoh yang sama, diskaun bil elektrik, bantuan RM600 untuk pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan lain-lain lagi.
Tetapi memandangkan skop kemusnahan dan kesulitan rakyat serta tempoh sebenar pandemik yang melanda ini masih belum dapat dikenalpasti, jumlah yang mampu diperuntukan oleh kerajaan bagi meringankan kesulitan rakyat ada batasnya.
Rakyat perlu sedar, dalam situasi sebegini, semua pihak perlu sama-sama memikul tanggungjawab dan harus bersedia mengubah cara hidup masing-masing atas dasar “berat sama dipikul, ringan sama dijinjang.”
Ini termasuklah kesediaan mengurangkan pergantungan kepada benda-benda atau aktiviti-aktiviti yang tidak tergolong dalam “keperluan asasi manusia” agar kos sara bidup mampu dikurangkan.
Jangan lupa, jumlah RM500 yang dibenarkan oleh kerajaan kepada pencarum KWSP adalah nilai maksimum, di mana pencarum boleh menggunakan budi bicaranya sendiri untuk mengeluarkan wang setakat mana yang perlu bagi memenuhi keperluan asasi jika ada kekurangan.
Semua perkara lain boleh dibawa bincang kemudian, khususnya bila pandemik yang melanda ini benar-benar berakhir.
Pada ketika itulah kerajaan boleh menganggarkan impak sebenar pandemik ini kepada ekonomi negara, ekonomi dunia dan sistem perbankan secara menyeluruh dan membuat perhitungan-perhitungan tepat berdasarkan keadaan semasa.
Mana tahu, pada ketika itu, kerajaan-kerajaan dunia akan mengambil inisiatif untuk membuat penetapan nilai-nilai matawang dan (atau) melupuskan hutang-hutang bagi sektor-sektor tertentu untuk kebaikan semua.
Tidak mustahil perkara ini akan berlaku, kerana sepertimana yang telah saya katakan, pandemik ini merupakan pengalaman terus yang baharu bagi kerajaan di seluruh dunia, termasuk kerajaan Amerika Syarikat.
Sekiranya benar pengeluaran wang dari KWSP bakal membawa impak buruk kepada negara, maka bila tiba masanya, kerajaan boleh melancarkan inisiatif baharu bagi satu tempoh masa tertentu untuk membantu rakyat meningkatkan simpanan hari tua mereka.
