
Raggie Jessy Rithaudeen
Kalau sebelum ini, media didominasi pergeseran kepimpinan Bersatu dan PAS berhubung isu-isu berkait kuasa dan kedudukan—siapa harus jadi calon PM, siapa harus jadi pengerusi PN dan sebagainya.
Kini, media menumpu kepada pergeseran’ antara Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mula-mula, satu klip berdurasi dua minit tular di WhatsApp, yang memaparkan Mahathir kononnya menuduh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencuri wang parti.
Namun, Ketua Armada Johor, Alias Rasman, mendakwa pihak tertentu telah “memanipulasi” rakaman video pertemuan mereka dengan Mahathirdi Putrajaya awal minggu ini.
Ini disusuli oleh penafian daripada Muhyiddin bahawa beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumahnya.
Setakat ini, Mahathir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan penafian, dan ini pada saya agak pelik, kerana jika benar hubungan antara Muhyiddin dan Mahathir baik, Muhyiddin sudah pasti akan menghubungi Mahathir untuk mendessaknya membuat penafian bersama.
Mungkin juga Muhyiddin telah pun menghubungi Mahathir, dan Mahathir mengesahkan kebenaran atau kesahihan mesej dalam klip video yang tular.
Apa yang pasti, mereka ingin menumpaskan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi penubuhan “payung besar,” namun, kepimpinan utama payung ini sedang bergeser tak tentu hala – Muhyiddin dengan Hamzah Zainudin, Muhyiddin dengan kepimpinan PAS, dan yang terkini, Muhyiddin dengan Mahathir.
