“Maka tidak hairanlah Tun mencetuskan idea penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), dan walaupun parti ini digelar ‘parti nyamuk’ oleh pihak tertentu, parti ini seribu kali lebih mampu memperjuangkan maruah Agama, Bangsa dan Negara berbanding parti dinosaur seperti UMNO dan PAS, yang kepupusannya di dunia Melayu tidak akan membawa sebarang kerugian kepada penganut Agama Islam”
Raggie Jessy Rithaudeen
تون حميد هاروس سدر، اد ڤون ڤرتي ڽاموق سبب ڤرتي دينوساءور سڤرتي امنو، ڤاس ڬاڬل ڤرتاهن مرواه اڬام، بڠسا دان نڬارا
Saya terpanggil untuk mengulas satu kenyataan yang dibuat baru-baru ini oleh Bekas Ketua Hakim Negara yang amat saya hormati, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Dalam kenyataan itu, Tun Abdul Hamid berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memikirkan bagaimana mahu memperkuatkan kedudukan politik Melayu terlebih dahulu.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
“Selagi dua parti politik terbesar Melayu, iaitu UMNO dan Pas tidak bergabung serta selagi parti-parti nyamuk Melayu tidak dibubar atau dikuburkan, orang Melayu akan terus berpecah-belah, kuasa politik Melayu terus lemah dan kerajaan terpaksa mengharapkan sokongan parti-parti bukan Melayu termasuk yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen,” katanya.
Jika kenyataan Tun Abdul Hamid berhenti di situ, saya tidak akan melatah dan akan menganggapnya sebagai pandangan peribadi seorang tokoh veteran yang wajar dihormati.
Namun, apabila Tun Abdul Hamid mendakwa ‘parti ‘nyamuk’ Melayu’ adalah antara sebab orang Melayu terus berpecah-belah, saya terus mempersoalkan kemampuan beliau menghayati dilemma sebenar yang melanda masyarakat Melayu-Islam pada ketika ini.
Ekoran itu, saya memutuskan untuk menulis artikel ini untuk menjelaskan, secara terperinci, bagaimana saya beransur-ansur sedar bahawa perjuangan penyatuan ummah di Malaysia tidak mungkin berjaya selagi UMNO dan PAS tidak ‘diclorox’ sepenuhnya untuk membersihkan struktur kepimpinan di semua peringkat, bermula dengan pucuk pimpinan parti.
Perjalanan awal saya
Tun Abdul Hamid tidak perlu mencurigai saya atau mempersoalkan niat saya menulis artikel ini, kerana sejujurnya, saya mula menjiwai perjuangan penyatuan ummah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi dan menjadi antara penggerak utama perjuangan ini di kawasan Lembah Kelang tidak lama selepas Barisan Nasional tumbang.
Di sekitar Julai 2018, saya mengambil pendirian bahawa penyatuan ummah hanya boleh berjaya jika parti-parti politik yang bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam bersetuju untuk bekerjasama merentasi sempadan kerajaan-pembangkang dengan mengenepikan perbezaan ideologi masing-masing.
Untuk itu, perlu ada kumpulan-kumpulan bukan politik yang berupa ‘kuasa ketiga’ untuk memikul tanggungjawab menjadi jambatan di antara parti-parti politik pembangkang dan kerajaan.
Saya sedar bahawa perlembagaan persekutuan buta parti dalam soal pelantikan barisan Jemaah Menteri dan hanya berlandaskan keahlian seseorang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, melainkan pelantikan perdana menteri, yang memerlukan seseorng menjadi ahli Dewan Rakyat.
Justeru, jika parti-parti politik yang bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam berjaya disatukan merentasi sempadan pembangkang-kerajaan menerusi perjanjian yang sesuai, dan jika parti-parti ini menamakan seorang individu dari kalangan mereka sebagai calon perdana menteri, individu berkenaan berpeluang menubuhkan sebuah kerajaan ‘supermajoriti’ dengan sokongan hampir kesemua ahli-ahli parlimen Muslim, dan sokongan ini akan memampukannya melakukan satu perubahan luar biasa ke arah perpaduan yang menyeluruh dan berkekalan.
Bagi saya, inilah satu-satunya cara masyarakat Melayu-Islam dapat diyakinkan, bahawa;
1. kedudukan mereka sebagai masyarakat pribumi akan sentiasa terjamin tanpa kemungkinan diganggu-gugat oleh parti-parti politik yang tidak bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam, dan
2. penubuhan kerajaan perpaduan yang benar-benar adil dalam konteks masyarakat majmuk boleh dicapai tanpa menggadaikan hak istimewa masyarakat Melayu-Islam.
Pada ketika itu, saya percaya bahawa UMNO, selaku parti politik Melayu yang terbesar di tanah air, perlu menerajui inisiatif ini dengan bantuan kumpulan-kumpulan bukan politik – termasuk kumpulan yang saya dirikan – agar Melayu-Islam dapat kembali bersatu dan menjadi satu suara di meja bulat bagi merunding semula kontrak sosial bersama kaum lain.
Jika penyatuan ini mampu dijayakan, saya bertegas agar Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya perkataan ‘rasmi’ dapat diselitkan dalam Perkara 3, agar Islam diiktiraf sebagai agama “rasmi” persekutuan tanpa menggadaikan hak masyarakat bukan Islam untuk menganut agama lain.
Menerusi pindaan ini;
1. kerajaan persekutuan akan mempunyai alasan yang kukuh untuk mengubal undang-undang ketat bagi membasmi gejala Islamophobia, dan mengenakan hukuman berat kepada mana-mana pihak yang menghina Nabi-Nabi Islam, sahabat-sahabat Nabi, agama Islam, penganut agama Islam serta budaya dan sejarah Islam itu sendiri.
2. Kerajaan persekutuan boleh mempertimbangkan pindaan-pindaan susulan yang bersesuaian, agar Yang di-Pertuan Agong, selaku Ketua Agama Islam, diberi kuasa untuk mengisytiharkan, di mana perlu, bahawa sesuatu gejala, kelakuan ataupun kenyataan merupakan ancaman kepada status rasmi agama Islam dan Islam itu sendiri.
3. parti-parti politik yang tidak berteraskan kepimpinan Melayu-Islam tidak lagi mempunyai asas untuk mempersoalkan status Malaysia sebagai negara Islam atau mempersoalkan apa-apa yang membabitkan agama Islam, penganut agama Islam serta budaya dan sejarah Islam itu sendiri
Untuk memajukan idea-idea ini, saya bertindak menubuhkan Gerakan Bangsa Nasional (GBN) dan menganjurkan ceramah demi ceramah di beberapa hotel di Subang Jaya dan juga di sebuah Dewan Serbaguna di Petaling Jaya, bersama tetamu-tetamu jemputan dari kalangan pemimpin utama PAS, UMNO dan NGO-NGO yang bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.
Pada 15hb April 2019, beberapa wakil NGO berserta wakil dari PAS dan UMNO bersetuju untuk melafazkan ikrar aku janji bersama saya dan GBN, bagi menyatakan komitmen kami terhadap sembilan teras yang digariskan oleh GBN (disertakan di hujung bawah) menerusi pelancaran Deklarasi Selangor.
Turut hadir dalam acara ini ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii; Penasihat Seni Silat Kalam, Prof. Dr Zahalan Man dan Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat, Ustaz Sallehen Mukhyi.
Sebelum itu, pada satu perhimpunan di hadapan Sogo, Kuala Lumpur, saya berikrar di hadapan lebih 3,000 pejuang Melayu-Islam bahawa saya akan sentiasa menjiwai perjuangan penyatuan ummah, berbekalkan keyakinan bahawa UMNO dan PAS akan mampu bersatu dan menyediakan landasan penyatuan bagi kumpulan-kumpulan politik yang bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.
Sayangnya, saya mengambil masa yang begitu lama untuk sedar betapa naifnya diri saya dan segala impian saya.
Semuanya membuang masa
Di sekitar pertengahan 2019, saya mula sedar bahawa konsep penyatuan ummah secara menyeluruh amat sukat dikecapi di negara ini selagi usaha sebegini diterajui oleh UMNO dan PAS.
Ini kerana;
1. UMNO gagal menangkis keraguan masyarakat Melayu-Islam terhadap kepincangan pentadbiranya, apabila gagal mengenepikan atau merehatkan pemimpinnya yang terpalit dengan jenayah.
2. Disebabkan itu, UMNO tidak mungkin menjadi “tokoh pemimpin ummah,” kerana mana-mana pihak yang diamanahkan tanggungjawab sebagai “tokoh pemimpin ummah” wajib menangkis keraguan masyarakat Melayu-Islam terhadapnya, atau bertindak dengan cara yang tidak menimbulkan keraguan.
3. Disebabkan UMNO gagal mengenepikan atau merehatkan pemimpinnya yang terpalit dengan jenayah, ramai mula ragu-ragu dengan keikhlasan UMNO berdamping dengan PAS menerusi Muafakat Nasional.
4. PAS pula menggelarkan dirinya sebagai “Parti Islam,” bermakna kepimpinan parti itu melabelkan dirinya sebagai “mewakili Islam,” sekaligus meletakkan diri mereka pada tahap yang “lebih Islam” berbanding penganut agama Islam yang lain.
Saya tidak percaya bahawa sebuah parti yang menggelarkan dirinya sebagai “Parti Islam” mampu menyatukan ummah, kerana dari segi penubuhan dan asas Agama, parti itu sudah tersasar jauh dari landasan kebenaran dan lebih mirip “parti ajaran sesat” yang pernah diwar-warkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kesedaran ini mula timbul dalam diri saya setelah saya mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada beberapa tokoh ilmuan Islam, termasuk Tok Guru saya.
Saya mula sedar bahawa PAS meletakkan pelbagai syarat yang menjadikannya sukar bagi parti-parti tertentu menemuinya di pentas muzakarah, bermakna penyatuan yang ingin dikecapinya ialah “penyatuan parti-parti politik berkepentingan,” bukannya “penyatuan ummah” atau “penyatuan parti-parti politik bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam.”
Apakah ini yang dituntut Islam dalam perjuangan perpaduan ummah?
Ummah seksa di bawah kepimpinan UMNO dan PAS
Tidak lama selepas Langkah Sheraton, PAS dan UMNO mula bercakaran tak tentu hala berhubung soal kuasa dan kedudukan serta agihan kerusi.
Dalam pada itu, UMNO juga mengumumkan bahawa kerjasamanya dengan PPBM hanyalah untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan akan berakhir sebaik selepas parlimen dibubarkan.
Pengumuman ini membuktikan bahawa konsep “penyatuan ummah” dan “penubuhan kerajaan Melayu-Islam” yang diwar-warkan oleh UMNO dan PAS ketika Langkah Sheraton semuanya pembohongan belaka.
Hakikatnya, konsep ini dijaja dan ditunggang oleh kepimpinan UMNO dan PAS untuk menghalalkan misi peribadi masing-masing, yang jelas didorong oleh nafsu kepentingan yang menggebu di kalangan pemimpin Kluster Mahkamah dan PAS.
Nafsu inilah yang menjadi penggerak utama misi “menumbangkan kerajaan negeri pimpinan pembangkang,” yang bermula sejurus selepas Langkah Sheraton di Kedah, Perak, Sabah dan sedikit sebanyak di Selangor.
Misi ini didalangi oleh pemimpin-pemimpin PPBM dan UMNO yang menjanjikan wang, kuasa dan kedudukan kepada wakil rakyat pembangkang agar wakil rakyat ini akan berpaling tadah dan menyertai Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
Tindak-tanduk pemimpin-pemimpin ini akhirnya menggangu gugat kestabilan politik dan usaha mengekang penularan penyakit di negeri-negeri berkenaan, khususnya di Sabah, di mana Pilihan Raya Negeri yang tercetus menjurus kepada kegilaan dalam penularan penyakit yang berterusan sehingga suku pertama 2022.
Majoriti yang menanggung seksa adalah masyarakat Melayu-Islam, khususnya, peniaga-peniaga kecil dan sederhana besar yang terpaksa gulung tikar setelah perniagaan mereka mengalami kerugian teruk akibat pelbagai bentuk kekangan pergerakan yang dikenakan bagi tempoh lebih setahun setengah.
Bukan hanya sejuta lebih rakyat Malaysia hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, bilangan kes bunuh diri meningkat secara mendadak. Semua ini menjadikan rakyat resah, gelisah, keliru dan tidak tenteram.
Apakah ini kesudahannya dalam perjuangan penyatuan ummah?
PAS hanya jadi kuda tunggangan Kluster Mahkamah
Makin lama makin timbul kesedaran dalam diri saya bahawa pemimpin-pemimpin UMNO yang terpalit dengan jenayah sebenarnya menunggang PAS untuk kekal berkuasa sambil meraih simpati ummah.
Pemimpin-pemimpin ini pada awalnya ditolak oleh majoriti bahagian dan cawangan UMNO selepas kekalahan teruk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Buktinya, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa meletakan jawatan sebagai presiden UMNO untuk memberi ruang kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih sehingga pemilihan UMNO.
Namun, apabila Zahid mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden UMNO, ramai menyuarakan rasa tidak puas hati, menyebabkan beliau terpaksa bercuti dan menyerahkan tugas-tugas presiden buat sementara waktu kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada ketika itu, majoriti bahagian dan cawangan mahukan seorang presiden yang tidak terpalit dengan tuduhan jenayah untuk menerajui parti dan menekan Zahid untuk bercuti sehingga namanya dibersihkan.
Biarpun begitu, dalam senyap, Zahid menggunakan Mohamad Hasan untuk menjalin hubungan mesra dengan PAS, sehingga PAS bersetuju untuk menubuhkan sebuah ‘pentas pseudo-politik’ (Muafakat Nasional) bersama UMNO.
Setelah Zahid yakin bahawa PAS tidak akan berpaling tadah, beliau secara tiba-tiba mengumumkan kembali aktif dalam arena politik dan mengambil alih tugas presiden daripada Mohamad Hasan.
Pengumuman ini bukan hanya mengejutkan Mohamad Hasan, ianya mengejutkan kepimpinan PAS, khususnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang lebih yakin dengan kepimpinan Mohamad Hasan berbanding kepimpinan Zahid.
Namun, disebabkan persetujuan sudah dicapai, Zahid akhirnya memetrai Piagam Muafakat Nasional bersama pucuk pimpinan PAS, dan ini menyebabkan penerimaan terhadapnya bertambah baik di peringkat bahagian dan cawangan.
Tidak lama kemudian, Zahid mengorak langkah memperkukuhkan kedudukannya dalam UMNO dengan mangatur semula struktur kepimpinan parti menerusi lantikan-lantikan tertentu ke Majlis Kerja Tertinggi.
Kemudian, setelah menyedari bahawa Barisan Nasional boleh menang pilihan raya umum jika terlalu ramai tidak keluar mengundi, Zahid bertindak ‘mencampakkan’ PAS ke tepi dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal.
Apakah ini yang dikatakan “tokoh pemimpin ummah?”
Hanya Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah jujur memperjuangkan maruah Agama, Bangsa dan Negara
Satu-satunya pemimpin UMNO yang tidak gentar bersuara demi prinsip adalah Tengku Razaleigh Hamzah, dan buktinya, beliau mengambil sikap berkecuali dan tidak menyokong kerajaan baharu yang didirikan oleh Kluster Mahkamah bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pintu belakang.
Pada 22hb September 2021, Tengku mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO setelah menyuarakan kekecewaannya terhadap jemaah menteri pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sikap berprinsip inilah yang harus ada pada “tokoh pemimpin ummah,” dan atas keyakinan inilah saya meyuarakan secara peribadi kepada Tengku baru-baru ini bahawa beliau merupakan antara tokoh negarawan yang amat diperlukan untuk menyelamatkan negara daripada kehancuran yang dibawa oleh UMNO dan PAS.
Selain Tengku Razaleigh, seorang lagi tokoh negarawan amat saya sanjungi dan yang layak diberi pengiktirafan sebagai “tokoh pemimpin ummah” tidak lain dan tidak bukan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Saya masih lagi ingat peristiwa penubuhan pentas Maruah Melayu, di mana berbeza dengan PAS, Tun tidak meletakkan sebarang syarat bagi penyertaan parti-parti politik atau perkumpulan bukan politik asalkan semua terbabit melibatkan kepimpinan Islam.
Sebab itulah pentas Tun diwakili oleh berbelas-belas perkumpulan Islam dan parti-parti politik berteraskan kepimpinan Islam dari kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan tanpa mengambil kira kecenderungan politik masing-masing.
Inilah yang dinamakan pentas muzakarah, dan disebabkan inisiatif ini, kita berpeluang melihat wakil-wakil dari PAS, UMNO, PPBM, AMANAH dan PKR berkongsi pentas buat kali pertama untuk menyuarakan segala apa yang perlu disuarakan demi Agama, Bangsa dan Negara.
Mahathir tidak memilih mereka yang sealiran dengan beliau untuk berucap, kerana misi penyatuan dalam ertikata sebenar tidak kenal perbezaan ideologi, darjat atau kaum, cuma kerelaan seseorang membincangkan bersama halatuju ummah di pentas muzakarah.
Inilah yang diperlukan di negara kita, dan saya terkejut apabila Tun mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan yang benar-benar mirip struktur kerajaan yang saya idamkan selama ini.
Malangnya, perkara ini tidak difahami oleh pemimpin Melayu-Islam yang berfikiran cetek seperti Hadi, Zahid dan Najib.
Pemimpin-pemimpin “aliran sempit” ini sanggup mengeksploitasi idea Tun untuk menumbangkan kerajaan mandat rakyat dan menubuhkan sebuah kerajaan “pintu belakang” yang bertemakan “kuasa dan kedudukan,” demi memajukan agenda peribadi masing-masing.
Apakah ini yang dinamakan perjuangan penyatuan ummah?
Apabila seseorang pemimpin Islam bercerita perihal “penyatuan ummah” tetapi menghadkan muzakarah kepada parti-parti politik yang “sealiran,” niat sebenar pemimpin berkenaan bukanlah “penyatuan ummah,” tetapi “pergabungan parti-parti politik berkepentingan.”
Itulah bezanya antara Zahid, Hadi dan Mahathir – Zahid dan Hadi terkenal kerana memecah-belahkan ummah, manakala Tun terkenal di seluruh dunia sebagai pejuang Islam sejati yang tidak pernah gentar dengan tekanan dunia Barat.
Saya lihat, matlamat Tun hanyalah satu, iaitu memperkukuhkan kemuliaan dan martabat Islam sebagai agama persekutuan, di samping menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang benar-benar adil dalam konteks masyarakat majmuk.
Bukankah ini yang harus kita kecapi?
Maka tidak hairanlah Tun mencetuskan idea penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), dan walaupun parti ini digelar ‘parti nyamuk’ oleh pihak tertentu, parti ini seribu kali lebih mampu memperjuangkan maruah Agama, Bangsa dan Negara berbanding parti dinosaur seperti UMNO dan PAS, yang kepupusannya di dunia Melayu tidak akan membawa sebarang kerugian kepada penganut Agama Islam.
Wallahu A’lam
